Saturday, November 29, 2008

Perbankan dan Kewangan Islam yang kehilangan ruh 'Islam'nya

Dalam menyiapkan diri untuk menyambung pengajian, ramai di kalangan teman-teman mengingatkan agar jangan ditinggalkan al-Quran dan al-Sunnah. Jangan biar ekonomi Islam rosak binasa seperti rosak binasa perbankan dan kewangan Islam. Eh, bagaimana pula begitu?

Kata mereka, inilah akibatnya apabila kekayaan mengatasi agama. Perbankan dan kewangan Islam yang ada sekarang, benarkah ia Islam? Atau sekadar halal memenuhi syarat-syarat teknikal fiqh? Mana ruh dan objektif Islam yang memperjuangkan keadilan dan membantu golongan kurang bernasib baik?

Pengalaman dan pemerhatian penulis seakan membenarkan tuduhan tersebut. Perbankan Islam yang ada, benarkan ia membantu contohnya orang miskin dan anak-anak yatim? Orang-orang miskin yang tidak memiliki rumah tidak mungkin dapat memiliki rumah dengan meminjam dari perbankan Islam. Sama saja seperti perbankan konvensional.

Pernah penulis hadir ke persidangan perbankan dan kewangan Islam. Ada seorang professor dari Pakistan yang membantah riba al-fadl dengan alasan ia bercanggah dengan al-Quran. Maka yang ada hanyalah riba yang disebut dalam al-Quran, kerana al-Quran itu lebih tinggi daripada al-Sunnah. Lantas penulis bangun membantah. Sayang sekali pengerusi ketika itu dengan selamba menegur perbuatan penulis kerana bantahan tersebut bersifat akademik dan bukannya bersifat praktikal. Asalkan sesuatu produk itu boleh mendatangkan keuntungan, lantas diberi cop lulus.

Zakat juga begitu. Jika bersolat subuh mestilah berqunut kerana bermazhab al-Syafi'e, tetapi membayar zakat boleh saja dengan wang, padahal mengikut mazhab al-Syafi'e zakat tidak boleh dilunaskan melainkan dengan makanan ruji yakni beras di Malaysia. Duit punya pasal, keluar mazhab tidak mengapa. Bayangkan jika zakat dibayar dengan beras, pasti pusat pungutan zakat tidak akan menyimpan lama beras-beras tersebut. Sebaliknya akan terus diagih-agihkan kepada faqir miskin sebelum ianya rosak. Jika faqir miskin menjual beras tersebut, biarkanlah itu hak mereka. Lihat apabila zakat dikutip dalam bentuk wang, maka dibiar berkepuk dalam bank pun tidak mengapa sebab takkan rosak. Yang faqir miskin perlu menunggu.

Banyak kontrak-kontrak perbankan dan kewangan Islam yang diragui. Biarpun syarat-syarat teknikal fiqh dipenuhi, malangnya kontrak-kontrak ini tidak menjurus kepada ruh dan objektif yang dibawa Islam secara menyeluruh. Disebabkan itu ramai yang beranggapan kontrak-kontrak ini hanya sekadar ditukar nama daripada istilah konvensional kepada istilah Arab. Mudharabah? Tidak mungkin kerana berisiko tinggi. Bay' al-Ienah? Yes, pasti sebab boleh jamin untung riba dengan buat helah.

Macam-macam lagilah kegagalan perbankan dan kewangan Islam hari ini. Biarpun begitu, jangan dinafikan sumbangan perbankan dan kewangan Islam. Mungkin sekarang masih peringkat yang terlalu awal. Banyak ruang yang tersangat perlu diperbaiki. Insya-Allah, harapnya ekonomi Islam tidak akan menjadi seperti itu.

No comments: