Showing posts with label Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Terengganu. Show all posts

Wednesday, March 25, 2009

Jalan Jabor-Al Muktafi Billah Shah

Jika sebelum ini asyik menggunakan jalan pantai (Federal Route #3), kali ini penulis dan keluarga memilih untuk menggunakan jalan Jabor-Al Muktafi Billah Shah (Federal Route #14) untuk ke Kuala Terengganu. Ada beberapa pros & cons.

Pertama, jalan pantai lebih indah dan menarik berbanding jalan Jabor-AMBS. Kalau rasa ingin berhenti di kawasan pantai untuk berehat atau makan minum, jalan pantai lebih elok kerana terdapat banyak gerai dan pekan. Jalan Jabor-AMBS hanya melalui kawasan ladang kelapa sawit. Gerai makan sangat sedikit.

Kedua, jalan pantai terlalu banyak trafik dan persimpangan. Jalan pantai juga lebih sibuk berbanding jalan Jabor-AMBS. Seingat penulis, sepanjang jalan ke Kuala Terengganu, hanya ada dua persimpangan lampu insyarat di jalan Jabor-AMBS berbanding jalan pantai yang ada berpuluh-puluh. Sekejap-sekejap perlu berhenti di jalan pantai. Jalan Jabor-AMBS pula lebih sunyi, tidak banyak kenderaan yang menggunakannya.

Ketiga, sekiranya ingin cepat untuk sampai ke Kuala Terengganu, lebih baik guna jalan Jabor-AMBS. Kalau rasa ingin bersantai dan punya banyak masa, pilih jalan pantai.

Penulis dan keluarga berhenti rehat seketika di Bandar Al Muktafi Billah Shah untuk solat dan makan. Kemudahan di Bandar AMBS sangat hebat, masjid besar, perpustakaan dan bermacam-macam lagi. Yang tidak nampak ialah penghuni dan rumah kediaman. Di mana agaknya kawasan perumahan bandar ini? Penulis difahamkan bahawa Bandar AMBS ini sebenarnya hanyalah pekan bagi kawasan FELDA berdekatan. Sudah menjadi tanda pembangunan Kerajaan Negeri Terengganu menghabiskan peruntukan yang banyak untuk membina masjid dan pelbagai kemudahan lain pada skala yang besar dan indah.

Selesai solat kami menuju ke kawasan R&R di persimpangan jalan masuk ke masjid. Makanan yang ada tidak menarik sama sekali. Layanan agak baik. Tandas dan bilik mandi ada disediakan. Pengunjung boleh memilih sama ada hendak makan di dalam bilik berhawa dingin. Mungkin sebelah petang baru menu lebih meriah. Untuk makan tengahari hanya ada nasi putih, lima jenis lauk dan laksa. Masakan panas sebelah petang baru ada. Kebersihan boleh diterima. Tetapi lain kali jangan berhenti makan di sini, lebih baik teruskan perjalanan seketika sehingga di persimpangan Bukit Besi-Dungun. Di situ ada medan selera yang besar dan ramai pengunjung.

Mihrab Masjid Bandar AMBS

Chandelier - besarnya!

Ruang kawasan solat yang kosong

Siling masjid

Tangga untuk ke dewan solat, tak boleh pakai kasut ketika menaiki tangga,
bila panas tangga akan menjadi sangat panas

Eh, besarnya masjid sampai tak muat masuk kamera - kena ambil long shot

Inilah R&R Bandar AMBS

Gambar masjid diambil dari kawasan R&R

Lagi gambar masjid

Tanda menyambut kedatangan pengunjung ke Bandar AMBS

Dah 15 tahun usia R&R ni - menteri yang rasmi pun dah tak jadi menteri lagi dah

Stesen minyak Petronas berdekatan - mana la tahu nak isi minyak nanti!

Sarapan Nasi Lemak di Kampung Sungai Pusu

Pantai Timur lagi! Seorang kerabat dari keluarga isteri meninggal dunia pagi semalam di Taman Haji Da, Kuala Terengganu, kira-kira seminggu selepas ibu saudaranya meninggal di Seberang Takir, Kuala Terengganu. Disebabkan masing-masing ada komitmen yang perlu diselesaikan pada pagi Isnin, maka penulis dan keluarga memutuskan untuk berziarah pada hari Selasa.

Kira-kira pukul 7:00 pagi, penulis dan keluarga bergerak meninggalkan Taman Tun Dr. Ismail menuju ke arah timur. Oleh kerana semua masih belum bersarapan, kami memutuskan untuk bersarapan dahulu sebelum meneruskan perjalanan panjang ke Kuala Terengganu. Destinasi kali ini ialah gerai nasi lemak Kampung Sungai Pusu di belakang kampus UIA Gombak.

Gerai nasi lemak Kampung Sungai Pusu adalah antara gerai kegemaran penulis sewaktu menuntut di UIA Gombak. Nasi lemak dan lauk yang dihidangkan di sini memang sedap. Ditambah pula dengan suasana kampung yang terpencil dan nyaman, sangat mendamaikan. Perlu layan diri untuk mengambil nasi lemak dan lauk yang diinginkan. Bila sudah habis makan perlu beritahu kepada Makcik Zaharah (pemilik gerai) lauk apa yang diambil. Gerai nasi lemak Kampung Sungai Pusu hanya beroperasi pada hari bekerja, seawal 7:00 pagi sehingga 9:00 pagi sahaja.

Pilihan lauk-pauk yang ada

Selepas kira-kira tiga tahun tidak ke sini, nampaknya kualiti makanan masih sama. Memang layan nasi lemak di sini. Suasana kampung masih ada, walaupun sudah nampak beberapa perubahan akibat pembangunan. Minuman pun sedap. Kena datang lagi, insya-Allah!

Aiman di gerai nasi lemak Kampung Sungai Pusu

Lebih kurang pukul 8:00 pagi kami sudah memasuki Lebuhraya Pantai Timur.

Wednesday, March 18, 2009

Semoga Allah merahmati pemergiannya

Awal pagi semalam, kira-kira jam 3:00 pagi mendapat panggilan kecemasan dari saudara isteri di Kuala Terengganu. Ibu saudara yang terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah sejak sebulan lalu disahkan meninggal dunia. Lantas penulis dan keluarga berangkat ke sana. Keluar dari Kuala Lumpur tepat jam 4:00 pagi berkehendakkan Kuala Terengganu.

Hentian pertama ialah di Stesen Petronas Karak. Sekadar melapik perut bagi mereka yang lapar. Kemudian singgah lagi di R&R Temerloh untuk Solat Subuh. Kemudian terus lagi, sehingga tiba di Pekan Chukai kira-kira pukul 8:30 pagi. Singgah bersarapan di Kedai Kopi Hai Ping.

Suasana dalam Kedai Kopi Hai Ping.

Seakan-akan menjadi kemestian untuk singgah di Kedai Kopi Hai Ping untuk sarapan. Kopi memang sedap. Roti bakar biasa saja. Kalau minta telur setengah masak, kena buat sendiri. Tauke kedai akan beri kole berisi air panas dan telur, pandai-pandai kita tunggu 5 minit untuk telur tu setengah masak. Suasana kedai kopi biasa la, sempit dan bising. Orang merokok pun ada. Keadaan tandas boleh diterima. Ada makanan lain seperti nasi lemak, nasi dagang, bihun 'bodo' (yakni bihun goreng kosong bungkus dalam plastik kecil), char koay gergasi, ketupat palas, karipap dan lain-lain. Kalau beli air bungkus, telah tersedia dalam gelas plastik berpenutup. Memang hygenik.

Kemudian terus mara ke Kuala Terengganu, menuju ke Seberang Takir tempat kediaman saudara. Tiba kira-kira pukul 11:00 pagi. Jenazah sudah berada di rumah. Sanak saudara dan jiran tetangga ramai yang datang berziarah mengucapkan takziah di samping memberi penghormatan terakhir. Makanan dan minuman untuk tetamu dari jauh dan mereka yang menolong membantu menguruskan jenazah tersedia. Penyediaan makanan dan minuman seperti ini tidak termasuk dalam perkara yang dilarang agama disebabkan niat dan cara makanan disediakan. Pertama, makanan bukan untuk kenduri arwah, sebaliknya khusus buat tetamu dari jauh dan mereka yang menghulur tangan membantu menguruskan jenazah. Kedua, makanan tidaklah dihidang secara terbuka, sebaliknya diletakkan di sudut dapur dan belakang surau. Siapa yang mahu sila ambil sendiri. Tidak ada yang menghidang. Apabila jenazah selesai dikebumikan, barulah hilang keperluan menyediakan makanan. Barulah termasuk dalam perkara yang dilarang agama menyediakan makanan tatkala jenazah selesai dikebumi. Untuk apa tuan rumah bersusah payah lagi? Sepatutnya jiran tetangga menghantar makanan kepada mereka.

Selesai Solat Zuhur, jenazah dibawa ke surau untuk dimandikan dan dikafankan. Solat jenazah diadakan pada pukul 3:00 petang, diimami oleh suami si mati sendiri. Kemudian jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Keadaan tanah perkuburan yang dipenuhi dengan pepohon kelapa.

Seeloknya masuk ke kawasan perkuburan mesti buka kasut. Cuma di sini, kawasan perkuburan penuh dengan rumput dan semak. Boleh jadi bahaya jika dibuka kasut. Selesai jenazah dikebumikan, kesemua hadirin berdiri mengelilingi kubur. Selaras dengan perintah agama yang melarang duduk di kubur. Tiada talqin mahupun tahlil. Si suami sekadar membaca doa-doa panjang untuk si isteri. Itu lebih baik dari talqin dan tahlil melayu yang tiada dalam nas agama.

Selesai di tanah perkuburan, penulis dan keluarga menuju ke Pantai Teluk Ketapang untuk mengisi perut.

Suasana di Pantai Teluk Ketapang

Gerai pilihan. Gerai Abe Yi & Kak Ti. Papan tanda di depan gerai tertulis: Sotong C Tepung, Udang C Tepung, Ikang C Tepung, Ketang C Tepung, Bahasa Ganu. Kesemua dalam loghat Terengganu. Keadaan gerai sangat tidak memuaskan. Kebersihan tak terjaga. Layanan kurang mesra. Nasi goreng banyak penambah perisa. Air minuman baik jangan pesan. ABC pun kurang. Gelas-gelas plastik tidak bersih sepenuhnya. Tandas? Baik jangan masuk. Ada sikit saja yang sedap, iaitu sotong + udang + ikang c tepung. Ikang c tepung tu yang sedap sangat.

Lebih kurang pukul 6:00 petang bertolak kembali ke Kuala Lumpur. Berhenti rehat, solat dan makan di R&R Gambang. Tiba di ibu kota pukul 1:00 pagi. Rindu pada Maryam dan Aiman.

Sunday, February 22, 2009

Pulang ke Kuala Lumpur

Dari Pulau Wan Man, kami menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Seberang Takir untuk menghantar saudara yang akan pulang dengan kapal terbang. Lebih kurang pukul 1:30 petang kami mula bergerak meninggalkan Seberang Takir untuk pulang ke Kuala Lumpur. Cadangan asal hendak berhenti rehat di Mesra Mall, Kijal. Tetapi apabila tiba di sana, kesemua penumpang tidur kecuali pemandu. Lantas lebih baik teruskan perjalanan sahaja.

Destinasi rehat kami ialah R&R Temerloh. Makan mee goreng mamak. Gerai yang mula-mula sekali. Sedap yang amat. Mula-mula pesan sepinggan. Bila dah rasa sedap, pesan lagi satu. Kemudian pesan lagi satu. Memang sedap, satu mana cukup.

Maryam makan telur rebus. Nasi lemak tak sedap. Lain kali jangan beli.
Sebab tu Maryam makan telur sahaja.

Pukul 7:00 malam kami melintasi kawasan rehat Lentang. Jalan sesak teruk kerana ada banyak pembaikan jalan menyebabkan hanya satu lorong lebuhraya yang dibuka. Dekat pukul 9:00 malam baru tiba di Taman Tun Dr. Ismail. Rindu Aiman!

Taman Tamadun Islam Part II

Selesai check-out dari Rumah Peranginan Bank Negara, penulis dan keluarga menuju ke Taman Tamadun Islam. Ingin masuk ke Taman Monumen pula. Jumaat lepas hanya sempat melawat ke Masjid Kristal. Kadar menyewa dua buah banglo lima bilik Rumah Peranginan Bank Negara untuk tiga malam hanya RM 90. Memang murah!

Tiket masuk ke Taman Monumen ialah RM 10. Katanya kadar akan naik ke RM 20 pada bulan Mac nanti. Di dalam taman, boleh pilih sama ada hendak berjalan kaki atau naik tram. Ada banyak monumen masjid-masjid terkenal dari seluruh dunia Islam. Antaranya Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Masjid Kubah Batu di Baitul Maqdis, Masjid Negara, Masjid Xian di China, Masjid Badshahi di Pakistan, Taj Mahal di India, Masjid Sulaymaniyah di Turki, Kompleks Istana Alhambra di Sepanyol, dan banyak lagi. Daripada banyak-banyak monumen, ada empat monumen yang ada panggung teater dan tempat pameran: Masjid Negara, Taj Mahal, Masjid Kubah Batu dan Masjidil Haram. Lagi satu, pelawat boleh masuk ke dalam model Masjid Kubah Batu. Kawasan dalam monumen dibina sama dengan keadaan sebenar, cuma pada skala yang lebih kecil.

Maryam di monumen Taj Mahal.

Nampak Masjid Badshahi dan Masjid Kubah Batu.

Habis lawatan monumen, singgah sebentar di restoran yang ada di Taman Monumen. Guna kupon yang diberi percuma sewaktu masuk ke taman.

Gerai Tiga Nasi di Kuala Ibai

Hari terakhir di Kuala Terengganu. Subuh tadi ada saudara yang ke Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai untuk bersolat. Sebelum pulang dari masjid, beliau sempat bertanyakan tempat menjual nasi dagang yang sedap. Ada yang memberitahunya, ada gerai yang sedap di persimpangan jalan depan masjid sebelum bangunan Mydin. Lantas kami menuju ke Kuala Ibai untuk bersarapan.

Ada dua gerai, masing-masing bertentangan antara satu sama lain. Kedua-duanya sebelum bangunan Mydin. Oleh kerana tidak pasti yang mana satu kedainya, kami masuk sahaja ke salah satu gerai dan terus duduk. Gerai yang kami pilih nampak baru sedikit. Ada tiga jenis nasi: nasi putih, nasi minyak dan nasi tomato. Nasi dagang tiada. Nyata sekali kami telah tersilap pilih gerai. Tetapi alang-alang sudah duduk, kami membuat keputusan untuk makan di situ sahaja. Gerai buruk di seberang jalan sebenarnya yang menjual nasi dagang. Tapi sejak hari pertama sampai hari-hari asyik sarapan dengan nasi dagang. Tukar selera pula.

Nasi minyak dengan lauk ayam goreng berempah. Layan! Memang sedap.

Laksam. Kurang sikit.

Maryam bermain di playground Rumah Peranginan Bank Negara.
Selepas ini nak check-out dah.

Saturday, February 21, 2009

Makan Malam di Mydin

Dari Pantai Batu Burok, penulis dan keluarga menuju ke Pasaraya Mydin. Besar. Dua tingkat. Beli barang sikit. Kemudian makan di medan selera yang ada di Pasaraya Mydin. Hebat. Macam-macam makanan ada di sini. Pilihan terlalu banyak.

Maryam makan kentang goreng. Cicah dengan air. Tengok kat dalam mangkuk depan dia. Banyak. Baju pun dah kotor.

Pantai Batu Burok

Hari ketiga di Kuala Terengganu. Selesai menghantar sanak saudara ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, penulis dan keluarga membuat keputusan untuk bersiar-siar di Pantai Batu Burok. Kawasan pantai luas dan panjang. Ada ramai pengunjung, maklum sahajalah hujung minggu. Ombak dan angin kuat. Di sini dilarang mandi.

Pengunjung yang bermain layang-layang.

Bangunan Hospital Sultanah Nur Zahirah dilihat dari kawasan pantai.

Maryam baru bangun tidur waktu sampai di pantai.

Maryam tengok kuda. Nak naik ke? Tunggu besar sikit. Sekarang kecil lagi, bahaya.

Keropok Lekor Losong Part II

Petang. Pergi semula ke Losong kerana masih ada yang belum beli keropok lekor semalam. Kali ini tidak terus berhenti di kedai pertama. Lebih kurang lepas dua tiga kedai baru penulis dan keluarga berhenti.

Inilah kedai yang kami pilih.

Salah satu sebab kenapa kami pilih kedai ini ialah sebab bungkusan nampak menarik. Tak macam kedai semalam, bungkus keropok dengan surat khabar saja. Yang ni memang menarik dan praktikal. Senang nak susun beli banyak-banyak dan senang nak bagi buah tangan kepada rakan-rakan. Yang kotak hitam keropok yang sudah direbus, tetapi belum digoreng. Harganya RM 5 sekotak. Yang paket kuning kat sebelah tu keropok yang dah siap digoreng. RM 3 sepeket.

Ini gambar rumah di sebelah kedai. Penulis pun dah tak ingat kenapa ambil gambar rumah usang ni. Mungkin sebab senibina rumah yang nampak tradisional.

Maryam di Masjid Abidin

Berdekatan dengan Restoran Sofinaz ialah Masjid Abidin atau Masjid Putih disebabkan keseluruhan masjid dicat dengan warna putih.

Masjid ini pada asalnya dibina oleh Sultan Zainal Abidin II antara tahun 1793 sehingga 1808. Kiranya suatu ketika dahulu masjid ini merupakan masjid utama di Kuala Terengganu.

Maryam di tempat wuduk Masjid Abidin. "Nak swimming!" Maryam, mana boleh swimming kat sini. Ini tempat ambil wuduk. Ikut Baba nanti boleh solat sama-sama. Maryam geram saja tengok tempat wuduk, Baba pun cuak, risau kot-kot Maryam terus lompat dalam kolah.

Maryam sedang mengambil wuduk.

Maryam sedang sujud. Qiblat tersenget sikit. "Banyaknya flowers kat sini!"

"Baba, Maryam tengah solat, mana boleh take picture!"

Selesai solat, terus pulang ke Rumah Peranginan Bank Negara. Semua dah penat.

Nasi Padang Sumatera di Restoran Sofinaz

Hari kedua di Terengganu. Selesai ziarah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, penulis dan keluarga pergi ke Restoran Sofinaz yang berhadapan dengan medan letak kereta Istana Maziah. Restoran Sofinaz menghidangkan nasi Padang dari Sumatera.

Semua pelanggan perlu beratur di kaunter untuk membuat pesanan, tidak kira untuk makan di sini atau tapau. Nasi memang sedap. Macam-macam lauk pilihan ada. Semuanya dari citarasa Padang, Sumatera. Keadaan restoran kurang memuaskan, tiada pengaliran udara yang baik. Kebersihan setakat boleh diterima sahaja.

Friday, February 20, 2009

Keropok Lekor Losong Part I

Malam mencari keropok lekor di Losong. Terpaksa berhenti bertanyakan arah. Ini gerai pertama yang kami jumpa sepanjang perkampungan keropok lekor losong. Mereka yang hendak pulang ke Kuala Lumpur malam ini sahaja yang beli, yang lain belum nak beli lagi. Jadi tidak terlibat dengan tawar menawar dan tidak tahu harga.

Yang pasti, mereka yang lemah semangat janganlah sesekali ke tandas gerai ini. Jauh kat belakang peti sejuk, kat kawasan gelap tu. Ada kena lalu kat kawasan stor yang penuh dengan kayu kayan.

Restoran A&W Pantai Batu Burok

Petang. Sementara menunggu kaum keluarga menziarah hospital, penulis dan keluarga singgah pula di Restoran A&W Pantai Batu Burok. Tak jauh dari hospital. Oleh kerana Jumaat adalah cuti umum di Terengganu, kawasan pantai penuh dengan manusia.

Inilah bangunan Restoran A&W.

Maryam dah tak sabar nak masuk.

Restoran memang cantik. Dua tingkat. Ada balkoni terbuka di tingkat atas dan bawah mengadap laut. Cuma kaunter wafel dan aiskrim tersangatlah lembab servisnya. Pesan wafel kena tunggu dekat 30 minit baru dapat. Pihak pengurusan pun sepatutnya peka, hari minggu mesti ramai pengunjung, takkanlah seorang pekerja saja yang jaga kaunter wafel. Nak ambil pesanan dan bayaran pun dia, nak masak wafel dan buat aiskrim pun dia, nak hantar pesanan ke meja pelanggan pun dia. Alahai kesiannya! Bila dah lambat, dah tentu pelanggan marah. Dia juga yang kena.

Taman Tamadun Islam Part I

Selepas habis membeli-belah di Pasar Kedai Payang dan bersiar-siar di Bukit Puteri, penulis dan keluarga bergerak ke Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Kami tiba hampir jam 12:00 tengahari. Taman pula akan ditutup pada 12:15 tengahari. Dalam masa yang singkat, kami menaiki tram ke Masjid Kristal.

Hebat tak Masjid Kristal? Masjid yang penuh dengan kontroversi.
Solat Jumaat tidak dilaksanakan di sini.

Maryam berlari-lari dalam masjid sambil pegang telefon bimbit
yang baru dibeli dari Pasar Kedai Payang.

Lampu chandelier Masjid Kristal. Pandangan tembus ke langit.

Kolam air di Masjid Kristal. Maryam pantang nampak air. Perasan tak telefon bimbit sudah tiada di tangan Maryam? Cuba teka ke mana perginya telefon tu? Maryam dah campak ke dalam kolam air tu. Tamatlah riwayat telefon tu, tak sampai sejam beli.

Lebih kurang 12:15 tengahari, penulis dan keluarga meninggalkan Taman Tamadun Islam menuju ke Hospital Sultanah Nur Zahirah. 12:30 waktu melawat. Belum ada kesempatan untuk masuk Taman Memorial.

Selesai melawat, singgah sebentar di Restoran KFC di Kompleks Renang bersebelahan dengan hospital. Sedapnya Maryam makan!

Bukit Puteri

Di puncak Bukit Puteri. Selepas bayar tiket masuk, perlu naik anak tangga pula untuk ke atas. Menurut sejarah, Bukit Puteri adalah pertahanan utama Terengganu terhadap sebarang serangan, terutama dari laut. Bukit Puteri pernah menyaksikan peperangan di antara Kesultanan Terengganu dan Kerajaan British, di mana Kesultanan Terengganu telah menang.

Maryam di atas meriam ibu.

Inilah meriam ibu dan anak. Boleh nampak muara Sungai Terengganu dengan jelas.
Senang nak tembak kapal-kapal musuh dari sini.

Ini kubu utama atas Bukit Puteri. Ada singgahsana raja,
stor peluru meriam, beberapa meriam kecil, tiang bendera dan rumah api.

Pemandangan Masjid Abidin atau Masjid Putih dari Bukit Puteri. Bangunan berbumbung merah di bawah adalah sebahagian bangunan utama Istana Maziah.

Genta besar yang digunakan untuk hebahan rakyat, seperti waktu imsak,
serangan musuh, orang gila mengamuk dan lain-lain.