Awal pagi semalam, kira-kira jam 3:00 pagi mendapat panggilan kecemasan dari saudara isteri di Kuala Terengganu. Ibu saudara yang terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah sejak sebulan lalu disahkan meninggal dunia. Lantas penulis dan keluarga berangkat ke sana. Keluar dari Kuala Lumpur tepat jam 4:00 pagi berkehendakkan Kuala Terengganu.
Hentian pertama ialah di Stesen Petronas Karak. Sekadar melapik perut bagi mereka yang lapar. Kemudian singgah lagi di R&R Temerloh untuk Solat Subuh. Kemudian terus lagi, sehingga tiba di Pekan Chukai kira-kira pukul 8:30 pagi. Singgah bersarapan di Kedai Kopi Hai Ping.
Seakan-akan menjadi kemestian untuk singgah di Kedai Kopi Hai Ping untuk sarapan. Kopi memang sedap. Roti bakar biasa saja. Kalau minta telur setengah masak, kena buat sendiri. Tauke kedai akan beri kole berisi air panas dan telur, pandai-pandai kita tunggu 5 minit untuk telur tu setengah masak. Suasana kedai kopi biasa la, sempit dan bising. Orang merokok pun ada. Keadaan tandas boleh diterima. Ada makanan lain seperti nasi lemak, nasi dagang, bihun 'bodo' (yakni bihun goreng kosong bungkus dalam plastik kecil), char koay gergasi, ketupat palas, karipap dan lain-lain. Kalau beli air bungkus, telah tersedia dalam gelas plastik berpenutup. Memang hygenik.
Kemudian terus mara ke Kuala Terengganu, menuju ke Seberang Takir tempat kediaman saudara. Tiba kira-kira pukul 11:00 pagi. Jenazah sudah berada di rumah. Sanak saudara dan jiran tetangga ramai yang datang berziarah mengucapkan takziah di samping memberi penghormatan terakhir. Makanan dan minuman untuk tetamu dari jauh dan mereka yang menolong membantu menguruskan jenazah tersedia. Penyediaan makanan dan minuman seperti ini tidak termasuk dalam perkara yang dilarang agama disebabkan niat dan cara makanan disediakan. Pertama, makanan bukan untuk kenduri arwah, sebaliknya khusus buat tetamu dari jauh dan mereka yang menghulur tangan membantu menguruskan jenazah. Kedua, makanan tidaklah dihidang secara terbuka, sebaliknya diletakkan di sudut dapur dan belakang surau. Siapa yang mahu sila ambil sendiri. Tidak ada yang menghidang. Apabila jenazah selesai dikebumikan, barulah hilang keperluan menyediakan makanan. Barulah termasuk dalam perkara yang dilarang agama menyediakan makanan tatkala jenazah selesai dikebumi. Untuk apa tuan rumah bersusah payah lagi? Sepatutnya jiran tetangga menghantar makanan kepada mereka.
Selesai Solat Zuhur, jenazah dibawa ke surau untuk dimandikan dan dikafankan. Solat jenazah diadakan pada pukul 3:00 petang, diimami oleh suami si mati sendiri. Kemudian jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Seeloknya masuk ke kawasan perkuburan mesti buka kasut. Cuma di sini, kawasan perkuburan penuh dengan rumput dan semak. Boleh jadi bahaya jika dibuka kasut. Selesai jenazah dikebumikan, kesemua hadirin berdiri mengelilingi kubur. Selaras dengan perintah agama yang melarang duduk di kubur. Tiada talqin mahupun tahlil. Si suami sekadar membaca doa-doa panjang untuk si isteri. Itu lebih baik dari talqin dan tahlil melayu yang tiada dalam nas agama.
Selesai di tanah perkuburan, penulis dan keluarga menuju ke Pantai Teluk Ketapang untuk mengisi perut.
Gerai pilihan. Gerai Abe Yi & Kak Ti. Papan tanda di depan gerai tertulis: Sotong C Tepung, Udang C Tepung, Ikang C Tepung, Ketang C Tepung, Bahasa Ganu. Kesemua dalam loghat Terengganu. Keadaan gerai sangat tidak memuaskan. Kebersihan tak terjaga. Layanan kurang mesra. Nasi goreng banyak penambah perisa. Air minuman baik jangan pesan. ABC pun kurang. Gelas-gelas plastik tidak bersih sepenuhnya. Tandas? Baik jangan masuk. Ada sikit saja yang sedap, iaitu sotong + udang + ikang c tepung. Ikang c tepung tu yang sedap sangat.
Lebih kurang pukul 6:00 petang bertolak kembali ke Kuala Lumpur. Berhenti rehat, solat dan makan di R&R Gambang. Tiba di ibu kota pukul 1:00 pagi. Rindu pada Maryam dan Aiman.
No comments:
Post a Comment