Kehidupan sebagai penuntut ilmu di menara gading memang sibuk, tambah pula pada musim peperiksaan ini. Namun, dalam kesibukan kita, jangan kita lupa atau lalai dari Allah. Allah berfirman: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” [Surah al-Baqarah, 2:186]. Allah sentiasa sedia mendengar apa sahaja permintaan kita, namun kita sering lupa atau lalai dari merasa kehadiran-Nya. Allah yang mentadbir seluruh ‘alam ini sentiasa mendengar permohonan kita dan berjanji pula untuk menunaikan permohonan tersebut, tetapi kita yang enggan memohon dari-Nya disebabkan kita ditipu dengan kesibukan dunia. Peperiksaan merupakan satu ujian buat para penuntut ilmu, oleh itu, sibuk macam mana sekalipun, pastikan kita senantiasa berdoa kepada Allah.
Fitrah manusia, untuk memulakan sesuatu perkara baik dalam hidup amat menyusahkan. Namun, insya-Allah lama-kelamaan ia akan menjadi tabiat yang sukar dilepaskan. Begitu juga dengan Islam. Janganlah kita jadikan Islam sebagai satu perkara tambahan, seperti aktiviti ko-kurikulum yang tidak lebih dari sekadar tempelan akademik. Sebaliknya jadikan Islam sebagai kehidupan kita.
Para Sahabah radiyallahu ‘anhum adalah generasi yang paling mulia. Kemuliaan mereka bukanlah disebabkan mereka pandai, kerana ada di antara mereka yang tidak tahu membaca pun, tetapi mereka menjadikan Islam sebagai hidup mereka.
Antara mereka ada yang dipesan: “Kata: Aku beriman kepada Allah, dan kemudian ikutilah jalan yang lurus.” Lihat, mereka adalah generasi paling mulia di sisi Allah kerana iman mereka. Iman mereka paling sempurna, dan iman sempurna ini mereka peroleh dari ajaran-ajaran mudah yang disampaikan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Mereka tidak perlu membaca tulisan al-Ghazali untuk memahami iman – bahkan jika buku-buku karangan al-Ghazali dan imam-imam mulia yang lain diberi kepada mereka, belum tentu mereka boleh mencerna sepenuhnya isi kandungan buku-buku tersebut. Adakah syarat untuk beriman kepada Allah maka kita perlu bertaqlid dengan tulisan al-Ghazali, Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’e, Ahmad ibn Hanbal, al-Asy’ari, al-Maturidi?
Jadikan Islam sebagai hidup kita. Hidup dalam Islam. Praktikkan. Semoga Allah memberkati kita.
2 comments:
Tetapi tak salahkan baca buku Imam al-Ghazali? Wpun mgkn pening2, ttp pasti ada juga terkesan ketika membacanya.
Insya-Allah, seeloknya kita kena rajin kaji buku-buku 'ulama Islam. Cuma untuk tujuan khutbah, eloklah jika khatib melihat situasi mereka yang hadir untuk Solat Jumaat, mereka datang dari pelbagai latar belakang: siswa, budak sekolah, orang tua, pekerja kilang, dan lain-lain.
Dalam membaca buku-buku 'ulama Islam juga, elok jika kita letakkan priority kepada buku-buku ilmu-ilmu Islam dahulu (seperti kitab Tafsir, hadith, aqidah, fiqh dll) sebelum terjun ke buku-buku pemikiran Islamik...
Post a Comment