Tuesday, April 10, 2007

Rahab dan Pengintip Bani Israel

Kisah berikut memaparkan rundingan antara dua watak utama: Rahab, seorang pelacur di negeri Kanaan dan dua orang pengintip Bani Israel (masa meliburkan minda dengan mempelajari strategi-strategi rundingan seorang pelacur yang diungkap dalam Bible!). Rundingan ini adalah contoh ringkas bagaimana pihak-pihak yang berunding berjaya memastikan keinginan mereka tercapai. Pada permulaan kisah ini, kekuatan Bani Israel terserlah ke seluruh pelusuk bumi Kanaan. Mereka telah berjaya menundukkan raja-raja yang memerintah di sekitar Kanaan.

Maklumat mengenai keadaan musuh merupakan antara elemen terpenting yang mampu menjamin kejayaan diperoleh. Joshua, pemimpin Bani Israel selepas Musa ‘alayhissalam, tatkala menggerakkan kempen menawan bumi Kanaan, telah menghantar dua pengintip untuk menyelidik dan mengumpul maklumat keadaan negeri tersebut.

Mereka tiba di rumah seorang pelacur yang bernama Rahab dan menginap di situ. Raja Jericho telah diberitahu: “Beberapa lelaki datang ke sini malam ini, dari Bani Israel, untuk mengintip negeri ini.” Maka Raja Jericho kemudian menyampaikan titah kepada Rahab: “Serahkan lelaki yang telah datang kepadamu dan masuk ke dalam rumahmu, kerana sesungguhnya mereka datang untuk mengintip seluruh negeri ini.” [Joshua, 2:1-3]

Andai kita adalah Rahab, apa yang akan kita lakukan? Ada dua pilihan sahaja, sama ada kita serahkan pengintip-pengintip tersebut kepada tentera raja (dan kemungkinan akan mendapat ganjaran), atau menyembunyikan mereka (dan andai perbuatan kita terbongkar, nyawa mungkin melayang). Rahab mengaku bahawa dia ada melihat kedua-dua lelaki tersebut tetapi memberitahu bahawa mereka telah pergi meninggalkannya, dan dia tidak mengetahui arah tuju mereka. Pun begitu, Rahab meminta agar para tentera raja segera mengesan kedua-dua lelaki tersebut.

Sudah tentu pencarian tersebut tidak berhasil, kerana Rahab telah menyembunyikan kedua-dua lelaki tersebut di atas bumbung rumahnya. Mengapa Rahab sanggup membohongi tentera raja, bahkan sanggup menggadaikan nyawanya sendiri melindungi keselamatan pengintip yang berimpian untuk menakluk negerinya? Rahab berkata kepada pengintip-pengintip tersebut:

“Aku tahu bahawa Tuhan telah mengurniakan negeri ini kepada kamu, kerana kami telah ditimpa perasaan gerun terhadap kamu, dan kesemua penduduk di bumi ini menjadi goyah apabila berhadapan dengan kamu. Kami telah mendengar bagaimana Tuhan mengeringkan air Laut Merah untuk kamu tatkala kamu meninggalkan Mesir, dan apa yang telah kamu lakukan terhadap Sihon dan Og, dua raja Amorite di seberang Jordan, yang telah kamu binasakan. Tatkala kami mendengarnya, jiwa kami hilang, dan tiada lagi lelaki yang memiliki semangat disebabkan kamu, kerana Tuhan yang kamu sembah adalah satu-satunya Tuhan di langit dan di bumi.” [Joshua, 2:9-11]

Strategi Rahab mudah dan rasional. Ganjaran yang mungkin diperoleh dari rajanya tidak setimpal dengan kerugian yang akan dialaminya kerana menyerahkan pengintip-pengintip tersebut. Ini kerana Rahab yakin bahawa lambat-laun Bani Israel akan berjaya menakluk negerinya, dan dia dan keluarganya sudah pasti tidak akan selamat. Bagi Rahab, objektif utamanya ialah melindungi nyawanya dan nyawa mereka yang tersayang. Pertimbangan untuk mengkhianati negara sendiri (yang diperintah Raja Jericho yang kafir) hanya rasional sekiranya ketaatan tersebut menyanggahi keredhaan Tuhan (jangan disalah fahami, situasi yang dihadapi Rahab melambangkan keadaan ini – menyerahkan ketaatan kepada Bani Israel yang beriman). Mereka yang terlibat dengan perundingan mesti mengetahui bagaimana pihak lain meletakkan keutamaan pada objektif-objektif mereka. Taat pada Tuhan? Setia pada negara? Keselamatan nyawa sendiri dan ahli keluarga?

Kini Rahab memulakan rundingan dengan pengintip-pengintip tersebut. Dia tidak mahu perbuatannya meletakkan nyawanya sendiri dalam bahaya tidak berbalas. Rahab lantas mengemukakan cadangannya:

“Sekarang, oleh kerana aku telah menunjukkan kesetiaanku kepada kamu, bersumpahlah di hadapanku dengan nama Tuhan kamu bahawa kamu akan menunjukkan kesetiaan kepada keluargaku. Berikan aku tanda yang meyakinkan bahawa kamu akan melindungi nyawa ayahku dan ibuku, adik-beradikku, dan semua yang ada kaitan dengan mereka, dan selamatkan kami dari kematian.” [Joshua, 2:12-13]

Untuk mengelakkan para pengintip dari memungkiri janji, Rahab meminta mereka bersumpah dengan nama Tuhan mereka. Ini kerana Rahab mengetahui bahawa pengintip-pengintip Bani Israel tersebut tidak mungkin berbohong dengan nama Tuhan mereka sendiri. Rahab kini tidak memiliki modal dalam rundingannya melainkan menggunakan nama Tuhan sebagai modal meminta nyawanya dan ahli keluarganya dilindungi.

Bagi pengintip-pengintip tersebut, ini adalah peluang keemasan untuk memastikan misi mereka kekal rahsia dan nyawa mereka selamat dari dikerjakan tentera Raja Jericho. Pun begitu, andai kita adalah salah seorang pengintip tersebut, adakah kita akan terus memberi jaminan memelihara Rahab atas jasanya?

Tidak semudah itu bagi para pengintip tersebut. Jawab mereka:

“Jiwa kami diletakkan sebagai jaminan kepada jiwa engkau, walaupun jika kami mati! Sekiranya engkau tidak membocorkan misi kami ini, maka kami akan menunjukkan kesetiaan kami kepada engkau tatkala Tuhan mengurniakan bumi ini kepada kami.” [Joshua, 2:14]

Kebijaksanaan para pengintip terserlah tatkala mereka meletakkan syarat kepada Rahab sebelum menerima tawaran tersebut. Andai Rahab tetap setia dan menyembunyikan rahsia mereka, maka mereka berjanji akan memberi perlindungan kepadanya apabila Bani Israel menyerang Kanaan. Kini kedua-dua pihak memiliki modal dalam memastikan objektif mereka tercapai. Rahab dengan janji menyimpan rahsia, dan para pengintip dengan janji memelihara nyawa Rahab dan ahli keluarganya.

Rahab berkata kepada para pengintip:

“Pergilah kamu ke bukit, agar mereka yang mencari kamu tidak menjumpai kamu. Tetaplah di sana dan bersembunyilah selama tiga hari, sehingga mereka yang mencari kamu kembali; kemudian keluarlah kamu ke destinasi kamu.” [Joshua, 2:16]

Sebelum melangkah pergi, pengintip-pengintip tersebut sekali lagi mengingatkan Rahab bahawa janji mereka untuk melindunginya hanya terikat sekiranya Rahab mengotakan janjinya untuk merahsiakan mereka.

“Apabila kami menyerang negeri ini, engkau ikatlah kayu merah ini pada tingkap yang melaluinya engkau lepaskan kami turun. Bawa bersama ayahmu, ibumu, adik-beradikmu, dan kesemua ahli keluarga engkau ke dalam rumahmu.” [Joshua, 2:18]

Rahab mengotakan janjinya, dan pengintip-pengintip tersebut mengikuti nasihat Rahab. Kemudian Bani Israel menggempur Jericho, kesemua yang ada di dalam negeri tersebut – lelaki, wanita, muda, tua, lembu, kambing dan kaldai – kesemuanya dibunuh dengan mata pedang (Joshua, 6:22). Keluarga Rahab dibawa keluar dari Jericho dengan selamat, dan kemudian Jericho sendiri dibakar dengan api yang marak.

Hasil rundingan ini, maka objektif utama kedua-dua pihak tercapai. Para pengintip berjaya pulang dengan maklumat-maklumat penting untuk menawan Jericho, manakala Rahab dan ahli keluarganya terselamat. Dalam menjalankan rundingan, adalah penting sekiranya kita mengetahui susun atur keutamaan objektif pihak lawan. Janji yang diberi pula mesti diikat dengan satu jaminan yang kukuh, yang mana jaminan tersebut mampu menyebabkan pihak lawan mengotakan janji mereka, dan kita hanya akan mengotakan janji kita sekiranya pihak lawan mengotakan janji mereka. Dalam menjalankan rundingan juga, kita mesti sentiasa beringat bahawa pihak lawan akan sentiasa cuba memastikan objektif mereka tercapai, dan sekiranya kita mampu menjadikan objektif kita selari dengan objektif mereka, maka keputusan yang dicapai sudah pasti adalah yang terbaik buat semua pihak.

No comments: