Friday, September 28, 2007

Hormat dan Ampu

Peluang untuk melanjutkan pelajaran di luar tembok universiti yang bercirikan Islam merupakan satu pengalaman yang memaksa aku keluar dari dunia yang dipenuhi orang baik-baik ke realiti sebenar kehidupan. Bermacam ragam manusia yang kutemui dalam perjalanan hidupku, dan sudah pasti pada masa akan datang akan bertambah lagi definisi dan jenis manusia yang kuketahui.

Pengalaman bekerja dan belajar sudah pasti mengajar kita untuk menghormati mereka yang superior dari kita. Manusia dihormati lantaran sesuatu kelebihan yang mereka miliki. Kelebihan yang mereka miliki tidak lebih dari anugerah Allah, pun begitu ramai yang tidak tahu atau tidak mahu bersyukur.

Kudapati ramai manusia di sekelilingku memberikan penghormatan kepada seseorang lantaran pangkat, kekayaan dan kekuasaan yang dimiliki. Contoh, di tempat kerja, bos dihormati kerana pangkatnya sebagai bos. Begitu juga Perdana Menteri dihormati kerana pangkat mereka sebagai ketua kerajaan. Duta-duta dihormati kerana mereka menjadi wakil kerajaan di luar tanahair. Ibu dan bapa dihormati kerana mereka adalah pemimpin keluarga. Orang berharta dihormati kerana harta membolehkan mereka menjadi berpengaruh.

Tidak kurang yang melampaui batas-batas agama dalam memberi penghormatan sehingga mereka menjadi kaki ampu. Ramai juga yang bersikap hipokrit, di belakang kutuk-cerca menjadi hiasan mulut, tetapi bila berhadapan lantas mereka menjadi penjilat dan pengampu. Di belakang, bukan main mengutuk dan mengkritik, tetapi bila berdepan mulut mereka menjadi semanis madu, atau ibarat senikata lagu 'Aisyah - lidah tidak bertulang. Susah sangatkah bagi mereka untuk menjadi manusia yang berterus-terang?

Sama-saalah kita memohon kepada Allah agar tidak menjadi manusia hipokrit dan dilepaskan dari fitnah pangkat dan harta. Perdana Menteri patut dihormati kerana mereka dipilih majoriti rakyat, pun begitu ia tidak seharusnya menyebabkan kita buta hati dari menegur dan memberi nasihat kepadanya dengan cara yang diterima agama. Beliau sendiri pun makan gaji kerajaan hasil cukai rakyat, dan tugas utama beliau ialah berkhidmat kepada rakyat. Duta yang dilantik kerajaan sebagai wakil di luar negara pun gajinya dibayar rakyat. Sepatutnya mereka berkhidmat untuk kepentingan dan kebajikan rakyat, dan bukan sebaliknya. Mungkin aku sendiri sudah bosan melihat kacau-bilau hasil kelemahan sistem birokrasi yang tercemar dengan unsur-unsur jahiliyyah yang sangat asing dari Islam.

Teringat akan perihal Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang melarang para Sahabat dari mengagungkan beliau melampaui batas, sehingga baginda melarang mereka dari berdiri sebagai tanda hormat. Teringat pula peristiwa utusan Rom yang terpegun melihat Khalifah Islam, Umar ibn al-Khattab yang sekadar tidur di ruang Masjid Madinah ketika datang menghantar perutusan dari Maharaja Rum. Teringat lagi pada suatu tengahari yang panas terik di Madinah, Uthman ibn Affan terlihat Amirul Mu'minin 'Umar ibn al-Khattab tergesa-gesa ke sana ke mari. Apabila ditanya kenapa Amirul Mu'minin terkejar ke sana ke mari pada tengahari yang panas terik, maka kata 'Umar beliau risau kerana seekor unta zakat telah terlepas, maka dicarinya unta tersebut agar di akhirat beliau tidak menanggung dosa. Biarpun begitu, ini tidak menghalang seorang wanita tua dari menegur 'Umar mengenai penetapan mahar kahwin, atau seorang lelaki dari menasihati 'Umar agar berlaku adil dalam pemerintahannya.

Apabila aku melihat kelakuan manusia pada hari ini, rasa pilu menyayat hati. Apa sangatlah orang berpangkat itu jika dibandingkan dengan 'Umar. Agaknya jika mereka yang menjadi khalifah, aku pasti mereka tidak akan keluar mencari unta di tengahari, suruh sahaja pembantu yang ramai. Atau mungkin lebih jelek lagi akan ada pengampu yang sanggup bersusah payah mencari unta. Apa nak hairan, sekarang nak turun kereta pun ada orang tolong buka.

Alhamdulillah, mungkin kerana aku terlalu lama dengan dunia akademik, rasa hormat hanya kuberikan kepada mereka yang kurasakan layak menurut pandanganku. Pertama, mereka yang berilmu dan kemudian beramal dengan ilmu mereka dan memberi manfaat kepada orang lain. Biarpun mereka tidak berharta mahupun berpangkat, namun aku menghormati mereka atas dasar ilmu mereka. Bahkan aku rela berkhidmat dengan mereka, kerana kelebihan ilmu yang mereka miliki. Firman Allah yang sentiasa kupegang:

"Allah will exalt in degree those of you who believe, and those who have been
granted knowledge." [Al-Mujaadilah, 58:11].
Kedua, mereka yang memiliki budi pekerti mulia. Mereka yang sentiasa bersikap merendah diri dan penyayang, jujur dalam persahabatan dan baik hati. Tidak ada kepentingan tersembunyi. Biarlah dia seorang yang miskin, atau lemah dalam pelajaran, atau bodoh sekalipun, namun jika dia memiliki budi pekerti yang baik, maka seharusnya mereka dihormati. Biasanya mereka yang memiliki sifat-sifat ini, dari pengalamanku, adalah mereka yang tidak bercakap banyak, tidak suka mengumpat atau bercerita keburukan orang lain, tidak pernah mengambil kesempatan ke atas diri kita, dan sentiasa suka menghulur tangan memberi bantuan.

Aduhai, alangkah indahnya jika dunia ini dipenuhi manusia seperti ini!

1 comment:

Taufik said...

Terkasima sekejap membaca post ni. Good advice, jazakaAllah khair. Kadang-kadang ada juga sesetengah orang yang 'tersepit', bukan dia ada some hidden agenda, tetapi kerana sebab-sebab tertentu agak sukar untuk dia melepaskan diri dia dari situasi itu. Harap golongan sebegini lebih difahami dan kita tidak terus pass a judgement on that person. Allah knows best.

Power and status ni mmg agak memeningkan la... Saya rasa some people are just not cut off for politics. Tetapi bile tengok pelbagai kesalahan yang berlaku, terasa something has to be changed pulak. Tetapi dalam proses, mgkn diri sendiri yang terhanyut, bukanya the other way around. Kadang-kadang atas sebab-sebab tertentu, terpakasa jugak memegang kuasa walaupun hati kurang senang dengannya. Hmmm, cukup la kot merepek. hehe. Dilemma dilemma...

Lg satu, kalau terasa ada berlaku injustice agak susah utk tidak mengumpat/menceritakan hal itu kpd org2 ramai. Tengah cuba ni utk minghindarinya dlm bulan Ramadhan ni.

Ramadhan kareem.