Thursday, April 05, 2007

Penyakit Hati I

Penyakit anggota badan mungkin saja terjadi akibat dua punca; pertama, anggota badan tidak melaksanakan perbuatan yang sepatutnya dilakukan; kedua, anggota badan melakukan sesuatu perbuatan yang bukan dikhususkan untuknya.

Begitu juga penyakit hati (reminder: al-Qalb=terpulang nak translate as jantung or hati). Penyakit hati mungkin saja terjadi akibat dua punca; pertama, apabila hati hilang tujuan asal, seperti cinta kepada Allah dan perasaan rindu ingin bertemu dengan Allah; kedua, apabila ada benda yang bukan tujuan asal hati tetapi kini diletakkan sebagai tujuan utama hati, seperti mengejar urusan keduniaan daripada akhirat - yang mana bukan saja akhirat terlepas, bahkan pasti akan ada dari perkara-perkara keduniaan yang akan turut terlepas.

Sebagai manusia, eloklah sekiranya kita berterusan bermuhasabah pada hati kita sebagai amalan rutin agar tidak ditimpa penyakit hati atau andai ada penyakit cepat-cepat pula kita mencari penawarnya, sama seperti pesakit penyakit kronik yang berterusan menemui sang doktor untuk pemeriksaan rutin. Bahkan manusia yang sihat juga sering bertemu dengan sang doktor dalam jangka waktu tertentu, sama jugalah bagi mereka yang menyangka hati mereka sentiasa sihat. Ini kerana boleh saja terjadi seorang pesakit itu tidak tahu yang dia sebenarnya sakit tetapi menyangka segalanya sihat.

Ada manusia yang terlalu sibuk, sehingga dia tidak sempat mencari punca penyakit yang dihidapinya. Ada yang sampai dicabut nyawa tidak menyedari hatinya berpenyakit, dan penyakit itulah yang telah membinasakannya. Ada juga yang tatkala berada di ambang kematian baru menyedari hati mereka berpenyakit, namun malang mereka belum berjaya memperoleh penawar, dan berterus-terusanlah mereka berlawan dengan penyakit tersebut sehinggalah ajal menjemput mereka. Akal mereka telah dikurniakan kekuatan kefahaman untuk mengetahui hati mereka berpenyakit, namun hati mereka belum punya kekuatan semangat untuk berhadapan dengan penyakit tersebut.

Apakah ada ubat yang lebih berkesan dari al-Quran? Cuma hati manusia sering lalai dari menjadikan al-Quran sebahagian dari rutin harian mereka. Alangkah ruginya mereka, sedangkan padanya terdapat penawar bagi segala penyakit hati! Pembacaan, kefahaman mengenai al-Quran akan menghasilkan jiwa yang beriman. Tanda seseorang dalam proses sembuh dari penyakit hati ialah dia merasa tenang dengan dunia. Dunia ini tidak memberi kesan langsung kepada hatinya. Hidupnya di dunia dipastikan tidak lebih sekadar seorang musafir kelana, dan sebagai seorang musafir dia akan hanya mengambil perkara yang benar-benar berguna buat perjalanannya dan meninggalkan segala yang tidak diperlukan kerana membawa lebihan barang akan hanya menyulitkan perjalanannya kelak.

Tanda hati yang kuat ialah apabila tuannya tersilap langkah tersalah perhitungan, ia cepat-cepat mengingatkan tuan pemiliknya agar kembali kepada Allah. Manusia tidak mungkin lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan, pun begitu manusia yang sihat ialah mereka yang cepat beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Hati mereka sentiasa ingin berkhidmat kepada Allah. Ada saja perkara yang menyenangkan Allah dan membawa kepada redha-Nya, maka hati sentiasa teringin melakukannya. Tatkala hati ini masuk ke dalam solat, terus melupakan dunia. Segalanya ditumpukan kepada Allah. Rasa sayang pula untuk keluar dari solat. Begitu jugalah antara waktu-waktu solat. Hati sentiasa rindu ingin bertemu Allah pada waktu solat seterusnya.

Tidak hairanlah jika ada yang berpendapat bermuhasabah tentang sesuatu amalan itu lebih baik dari melakukan amalan tersebut. Kedua-duanya baik (bukannya tidak buat langsung), cuma memeriksa amalan adalah lebih baik. Adakah amalan kita memenuhi syarat-syarat ikhlas dan ittiba'?

*Ringkasan Kuliah Syeikh Abu 'Abdurrahman Muhammad 'Ali 'Ajaal,
Masjid Besar Ottawa

1 comment:

Taufik said...

Best2... ada siri 2 ke?