Monday, March 31, 2008

10 Tahun Sebelum Merdeka

Benarkah bangsa Malaysia itu sesuatu yang mustahil? Benarkah orang Melayu dan orang Cina akan senantiasa buruk sangka dan tidak boleh bersatu? Mungkin benar, mungkin tidak berapa benar.

Amaran: Video-video di bawah mungkin akan menyebabkan gangguan emosi yang tinggi. Hanya tonton jika anda sanggup mengambil sebarang risiko. Jika takut dilambung ombak, usah berumah di tepian pantai...

10 Tahun Sebelum Merdeka Part I


10 Tahun Sebelum Merdeka Part II


10 Tahun Sebelum Merdeka Part III


10 Tahun Sebelum Merdeka Part IV


Ya Allah! Rahmatilah pejuang-pejuang kemerdekaan negara kami terdahulu!

Sunday, March 30, 2008

Aduhai Negaraku Malaysia

Kata seorang Tuan Professor, kejayaan seorang guru itu diukur dari sudut sejauh mana guru itu mampu melahirkan anak murid yang lebih baik daripadanya, bukan sekadar pandai. Untuk melahirkan anak murid yang baik, seorang guru mesti membenarkan anak muridnya berlawanan pendapat dengannya.

Tuan Professor, saya juga ada sedikit perkara yang saya kurang setuju. Daripada kandungan ucapan Tuan Professor yang panjang lebar, saya dapati objektif utama perjuangan Tuan Professor selama ini ialah melindungi ketuanan Melayu-Islam dari dicabar bangsa asing, iaitu bangsa Cina dan bangsa India di Malaysia. Jika sesuatu berlaku, orang Cina boleh lari ke China, orang India boleh lari ke India, orang Melayu mana nak pergi? Oleh sebab itu orang Melayu mesti bersatu menghadapi ancaman bangsa-bangsa lain dalam memastikan survival mereka di bumi mereka sendiri, Malaysia.

Sayang sekali ahli akademik seperti Tuan Professor masih berpegang dengan prinsip ketuanan Melayu-Islam di Malaysia. Tuan Professor membuat analisa bagaimana keputusan pilihanraya, komposisi kabinet, kerajaan campuran di Perak, kerajan Pulau Pinang pimpinan DAP, slogan Malaysian Malaysia dan lain-lain lagi menggugat ketuanan Melayu-Islam. Kata Tuan Professor, tindakan orang Melayu yang mengundi pakatan pembangkang kerana marahkan UMNO-BN ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Akhirnya orang Melayu menang sorak kampung tergadai. Orang Melayu sepatutnya bersatu menjaga kepentingan bersama. Kini orang Cina dan orang India boleh meminta banyak perkara daripada kerajaan kerana suara mereka kuat.

Tuan Professor, sampai bilakah kami orang Melayu di Malaysia perlu buruk sangka dengan kawan-kawan kami orang Cina dan orang India? Mengapakah tuan sangat-sangat mementingkan ketuanan Melayu-Islam? Tidak bolehkah orang Melayu, orang Cina dan orang India benar-benar hidup dalam keadaan harmoni? Perpaduan dipupuk atas rasa hormat dan saling percaya mempercayai?

Sejarah telah membuktikan betapa di Malaysia perpaduan sebenar yang dipupuk tidak pernah melepasi sempadan bangsa. Slogan perpaduan yang dilaung oleh kerajaan selama ini sekadar perpaduan kosmetik. Sewaktu berdepan kita boleh salam peluk dengan bangsa lain, tetapi bila kita berkumpul sesama kita mulalah kita berbicara mengenai niat busuk bangsa yang kita peluk tadi untuk menguasai kita.

Tuan Professor, sampai bila tembok pemisah bangsa ini akan wujud? Tindakan manusia seperti tuan telah menyuburkan lagi bibit-bibit permusuhan antara kaum. Tembok ini semakin kukuh. Saya amat berharap agar manusia seperti tuan yang akan menghancurkan tembok yang selama ini menyebabkan kami di Malaysia saling mencurigai.

Saya beri analogi mudah kepada Tuan Professor. Kita rakyat Malaysia ibarat dua penginap berlainan bangsa, manakala negara Malaysia ibarat rumah kediaman penginap-penginap tadi. Sewaktu mula-mula pindah dan tinggal bersama, memang penginap-penginap akan berprasangka kerana mereka tidak mengenali satu sama lain. Boleh jadi ada berlaku peristiwa yang menyebabkan penginap-penginap tadi bergaduh dan semakin hilang kepercayaan. Namun, setelah 50 tahun tinggal bersama di bawah satu bumbung, adakah tuan akan terus pastikan penginap-penginap tadi buruk sangka? Saya percaya rumah sebegini bukan rumah yang bahagia. Sebaliknya saban waktu penginap-penginap tadi terpaksa berhati-hati kerana rakan serumah yang tidak boleh dipercayai. Sampai bila kita boleh hidup begini? Bolehkah keamanan wujud selama-lamanya dalam keadaan begini?

Tuan Professor, sebagai seorang berjiwa muda, mungkin naluri saya mudah percaya pada orang. Sekurang-kurangnya, saya harap biarlah kita tamatkan segala prasangka yang wujud selama ini. Biar kita berterus terang. Wahai rakan kami bangsa Cina, wahai rakan kami bangsa India, wahai semua rakan kami di Malaysia, kita sudah ibarat satu keluarga yang tinggal di bumi Malaysia. Sudah tiba masa kita berterus terang. Nyatakan apa kemahuanmu. Ini pula kemahuan kami. Jika kemahuan kamu itu memang hak kamu, maka kami wajib memberikannya. Jika kemahuan kami adalah hak kami, maka kamu juga wajib memberikannya. Mari kita sama-sama berbincang dan tamatkan kesangsian ini. Mari kita bina semula negara ini berdasarkan rasa hormat dan saling percaya-mempercayai dan jangan lagi kita prejudis antara sesama kita.

Mungkin Tuan Professor beranggapan impian saya ini hampir mencapai tahap mustahil untuk menjadi kenyataan. Tuan Professor, satu-satunya penyelesaian yang saya nampak ialah betapa kita perlu berdakwah kepada rakan-rakan Cina dan India kepada Islam. Bukan Islam yang telah dicelup dengan adat resam Melayu, tetapi Islam sebenar yang dibawa oleh junjungan besar Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam yang mudah dan praktikal. Bangsa Cina dan bangsa India merupakan bangsa yang cerdik pandai. Mereka telah membina tamaddun yang hebat ratusan tahun dahulu. Dengan otak mereka yang cerdik, sudah pasti mereka mudah menerima Islam andai kita berdakwah kepada mereka. Hilanglah prejudis, runtuhlah tembok pemisah antara kita di Malaysia setelah mereka faham akan Islam.

Selama ini, slogan ketuanan Melayu-Islam telah menyebabkan Islam ini dibatasi dengan definisi Melayu, sehingga akhirnya Islam di Malaysia seolah-olah menjadi hak ekslusif Melayu. Memang kita bangga kerana Melayu itu Islam, tetapi kebanggaan itu telah menyebabkan kita tidak mahu berkongsi kelebihan Islam ini dengan rakan-rakan Cina dan India. Kita rela kita sahaja yang menikmati keindahan Islam.

Oleh itu Tuan Professor, daripada memperjuangkan ketuanan Melayu-Islam, lebih baik kita menggerakkan masyarakat Melayu agar memahami Islam yang tulen dan berdakwah kepada rakan-rakan Cina dan India. Kita perjuangkan ketuanan Islam. Adalah menjadi kewajipan kita menyampaikan Islam kepada semua tidak kira bangsa. Saya bayangkan alangkah bahagianya Malaysia jika Islam itu dikongsi bersama-sama. Sesiapa yang menjadi Perdana Menteri atau Ketua Menteri, baik Melayu, Cina atau India; tidak lagi menjadi masalah sekiranya beliau seorang Muslim yang memahami Islam.

Biarlah saya akhiri tulisan saya ini dengan kata-kata Sayyidina 'Umar ibn al-Khattab radiyallahu 'anhu yang masyhur: "Allah memberi kemuliaan kepada kita (orang Arab) disebabkan pegangan kita ialah Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya Allah akan memberi penghinaan kepada kita." Sebelum Islam, bangsa Arab adalah bangsa terhina di muka bumi. Dengan Islam, dalam tempoh 23 tahun sahaja, mereka tersohor di pentas dunia mengancam Rom dan Parsi. Lihat pada awal kurun ke-20, tatkala slogan Pan-Arabisme dilaungkan di bumi-bumi Arab mengatasi kesatuan Islam, betapa hinanya mereka sehingga sekarang.

*Coretan ini sekadar peringatan buat diriku sendiri agar jangan memperjuang kepentingan bangsa. Islam yang kufahami tidak pernah menjadikan bangsa satu faktor kelebihan. Allah tidak memandang rupa atau bangsa, di Akhirat kelak semuanya sama berhadapan dengan Allah. Taqwa sahaja pembeza kita.

Seorang pegawai dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia ingin berjumpa dengan pelajar-pelajar Islam di Ottawa ini part II

Pagi ini, para pelajar Malaysia-Muslim di Ottawa berpeluang berjumpa dengan seorang ahli akademik tanahair yang kebetulan berada di Kanada untuk tujuan penyelidikan beliau. Secara jujur, aku berasa seronok mendengar beliau berucap.

Nasihat beliau agar kami turut celik politik walaupun sibuk mengejar kecemerlangan akademik. Beliau menekankan betapa golongan teknokrat perlu memberi sumbangan untuk kestabilan politik negara. Tidak semestinya kena sertai parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) pun tidak mengapa asal kebajikan rakyat dipelihara.

Beliau turut menyentuh pembentukan kabinet baru. Pada beliau, kabinet baru ini sedikit sebanyak mencerminkan perubahan yang diminta rakyat dan mula didengari pemimpin di mana beberapa teknokrat dibawa masuk. Beliau menyatakan harapan tinggi agar UMNO dan Barisan Nasional melakukan perubahan demi kepentingan orang Melayu-Islam. Keputusan Pilihanraya Umum ke-12 menunjukkan undi marah rakyat menyebabkan UMNO-BN kini berada dalam keadaan yang sangat fragile dalam memerintah negara. Maka UMNO-BN perlu melakukan perubahan drastik. Rakyat marah dan melihat UMNO-BN tidak lebih dari menjaga kepentingan kroni-kroni dan payung korupsi. Angkuh, bongkak. Macam-macam lagilah.

Beliau memberi komen yang baik mengenai keadaan para pelajar Melayu yang dihantar ke luar negara. Rata-rata mereka pandai, tetapi apabila pulang ke negara tiada ruang buat mereka dalam UMNO-BN disebabkan UMNO-BN masih dicengkam sistem feudal yang mementingkan cablelity dari capability. Akhirnya mereka menyertai pakatan pembangkang dan mengisi ruang yang terbuka luas untuk golongan muda. Sudah tiba masanya bagi UMNO-BN mendengar kritikan dan jangan terus melabel pengkritik sebagai penentang.

Segala nasihat yang beliau sampaikan sangat baik. Alangkah baik jika nasihat-nasihat ini didengari oleh pimpinan dan ahli-ahli UMNO-BN, kerana perlakuan mereka sebelum ini yang menyebabkan rakyat berasa marah. Kami yang pelajar beroleh manfaat sebagai peringatan andai ada antara kami yang akan bergiat aktif dalam politik kelak. Harap nasihat beliau kekal dalam ingatanku tatkala perut sendat dengan makanan sewaktu menamatkan pertemuan ringkas tersebut.

Seorang pegawai dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia ingin berjumpa dengan pelajar-pelajar Islam di Ottawa ini part I

Beberapa hari lalu, Presiden Kelab Pelajar Malaysia Carleton University (MASACU) menghantar e-mail jemputan untuk pelajar-pelajar Muslim Malaysia hadir ke suatu majlis perjumpaan bersama pegawai dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada hari Sabtu 29 Mac 2008. Nature perjumpaan tersebut tidak pula diberitahu. Memandangkan perjumpaan diadakan bersama seorang khadam awam kerajaan (public servant), maka sudah tentu menjadi tanggungjawab aku sebagai rakyat Malaysia untuk hadir ke majlis tersebut. Keraguan mengapa pelajar Muslim sahaja yang dijemput jauh kulontar ke tepi. Mungkin ada sebab tersendiri mengapa pegawai tersebut hanya ingin bertemu dengan pelajar Muslim sahaja. Presiden sendiri tidak tahu maklumat lengkap mengenai perjumpaan yang bakal diadakan.

Dalam perjalanan bersama-sama Presiden dan beberapa ahli MASA, aku diberitahu bahawa ada wakil Kelab UMNO Kanada yang hadir, dan pegawai yang ingin berjumpa pula bukannya pegawai Kementerian Pengajian Tinggi. Pada awalnya, terbit juga rasa marah juga kerana seolah-olah tertipu pula. Secara peribadi, aku menganggap ada beratus lagi perkara yang lebih berfaedah daripada mendengar bicara orang UMNO. Jangan anggap aku seorang yang tidak suka politik, namun kelakuan ahli-ahli UMNO yang mewarnai dunia politik negara menyebabkan aku berpendapat sebegini. Lebih baik habiskan masa membaca dan memahami isi kandungan al-Quran.

Rasa marah reda apabila diberitahu bahawa pegawai yang datang adalah seorang ahli akademik. Oleh kerana beliau adalah seorang ahli akademik, aku tidak berasa janggal untuk hadir walaupun aku bukan ahli Kelab UMNO Kanada. Tidak kisahlah jika dia ahli UMNO sekalipun, kerana sebagai seorang ahli akademik, pastinya akan ada nasihat-nasihat berguna dan bijaksana daripadanya. Orang akademik kata-katanya bersendikan fakta dan angka, hidupnya berpaksikan prinsip dan tauladan, dan kebanyakan mereka tidak pula ada kepentingan peribadi tatkala bersuara.

Kemudian pegawai Jabatan Penuntut Malaysia Kanada memberitahu pula bahawa perjumpaan tersebut diadakan sempena mengambil peluang keberadaan ahli akademik tersebut di Kanada. Tujuan sebenar beliau datang ke Kanada adalah untuk menjalankan urusan kajian dengan McGill dan Guelph. Dah ada dekat sini, ambil peluang jumpa. Lagi pun, apa salahnya bila berjumpa terjalin ukhuwwah, makan pun ada.

Tidak adil jika aku tidak meluangkan masa mendengar butir bicara beliau dan pastinya aku akan berlaku zalim terhadapnya. Sebagai seorang Muslim, aku seharusnya mendengar kata-katanya, sebelum aku boleh bulat menyokong atau lintang membantah. Mungkin aku setuju dengan pandangan beliau, mungkin juga aku tidak setuju dengan pandangan beliau. Walau apa pun, akan kupertahankan hak beliau untuk bersuara.

Friday, March 21, 2008

Resepi untuk Kejayaan

Sesungguhnya berjayalah bagi mereka yang mensucikan diri mereka. Suci yang bagaimana? Diri mereka suci dengan mengikut segala ajaran Islam dan suci dari sifat-sifat tercela. Ada juga tokoh-tokoh tafsir yang mengatakan suci ini termasuk perbuatan mensucikan harta dengan mengeluarkan zakat dan sadaqah. Ini kerana pada ayat berikut terdapat pula perintah mendirikan solat. Maka untuk berjaya, seseorang itu mesti suci, mengingati nama Tuhannya dan mendirikan solat. Mendirikan solat bukan sekadar solat, tetapi mendirikan solat penuh dengan syarat-syaratnya.

Malang sekali, manusia lebih suka kepada kesenangan dunia. Lantas tidak diendahkan perintah-perintah untuknya mencapai kejayaan. Sedangkan Akhirat itu lebih baik dari dunia, dan Akhirat itu pula kekal selama-lamanya. Fikirkan, hanya orang yang bijak boleh berjaya. Ini kerana hanya orang bijak akan memilih Akhirat yang lebih baik dan kekal berbanding dunia yang hina dan sementara... Sebelum berbuat sesuatu dalam kehidupan seharian, pertimbangkan kesannya terhadap balasan kita di Akhirat kelak, usah diendahkan sangat dunia. Inilah resepi untuk berjaya.

Resepi untuk berjaya ini telah pun tercatat di dalam kitab-kitab terdahulu, iaitu Kitab Ibrahim dan Kitab Musa. Ini menjadi bukti bahawa ajaran Islam sebenarnya sama dengan mesej dakwah yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.

*Kupasan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa.

Berilah Peringatan!

Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam diperintahkan agar memberi peringatan sekiranya peringatan memberi kebaikan kepada manusia. Diriwayatkan bahawa Sayyidina 'Ali ibn Abi Talib radiyallahu 'anhu berpesan agar segala yang disampaikan kepada masyarakat mestilah sesuai dengan tahap pemikiran mereka. Sekiranya tidak, maka ia akan menjadi fitnah kepada masyarakat.

Peringatan ini akan diterima oleh mereka yang takutkan Allah. Sebaliknya, peringatan ini akan ditolak oleh mereka yang jahat dan celaka. Inilah golongan yang akan masuk ke dalam api yang besar. Di dalamnya, mereka tidak akan mati dan tidak pula menikmati kehidupan yang selesa.

Ingatlah bahawa tugas pendakwah sekadar menyampaikan peringatan. Sama ada peringatan diterima atau tidak, itu adalah hak mutlak Allah. Sudah tentu, hanya mereka yang takutkan Allah akan menerima peringatan dan beroleh manfaat dari peringatan tersebut.

*Kupasan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa.


Dia Pencipta, Dia Pemberi Tunjuk Ajar

Allah telah mencipta segala-gala yang ada dengan sebaik-baik ciptaan. Alangkah bertuah manusia, kerana di kalangan makhluk ciptaan Allah, manusia dikurniakan akal fikiran dan diberi pilihan sama ada untuk taat atau derhaka terhadap Allah.

Setelah selesai penciptaan Allah, Allah telah menetapkan pula taqdir ke atas makhluk. Kemudian Dia memberi pula tunjuk ajar kepada makhluk bagaimana untuk hidup. Bayi yang baru lahir, siapa yang mengajar mereka agar menangis? Pakar perubatan mendapati tangisan pertama bayi yang baru lahir penting kerana ia menandakan saluran pernafasan bayi tiada masalah. Siapa pula yang mengajar bayi menyusu? Begitu juga dengan haiwan lain, siapa yang mengajar mereka menyusu dan meragut rumput?

Kemudian Allah hamparkan bumi yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan hijau yang menjadi makanan buat ternakan manusia. Akhirnya tumbuhan-tumbuhan itu, apabila sampai usia mereka, berubahlah warna mereka dari kekuningan sehingga hitam dan mati. Setelah itu digantikan pula dengan tumbuhan-tumbuhan baru.

Tidakkah segala tanda-tanda kekuasaan ini bukti betapa manusia sepatutnya senantiasa bertasbih memuji Allah?

Subhanallah, Subhana Rabbiy al-A'la
...

*Petikan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa
.

Allah Maha Tinggi. Tinggi?

Benar, itu disebut dalam al-Quran. Nabi Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabah radiyallahu 'anhum ajma'in beriman bahawa Allah itu Maha Tinggi. Tidak pula mereka sibuk bertanya, tinggi yang bagaimana? Atau tinggi di arah mana? Maka aku sebagai umat terkemudian juga tidak patut bertanyakan maklumat terperinci mengenainya kerana mereka yang mendahuluiku dalam agama ini tidak pula sibuk bertanya. Dalam pada tidak mensibukkan diri dengan pendetailan ini, iman mereka adalah yang terbaik antara umat manusia.

Adalah satu penghinaan kepada Rasulullah, andai aku berpandangan definisi Maha Tinggi itu perlu penjelasan yang mendalam. ini kerana seolah-olah Rasulullah sebelum meninggalkan kita, masih ada sudut-sudut aqidah yang tidak dijelaskan dengan sempurna. Sedangkan Allah berfirman:
[الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ الأِسْلاَمَ دِيناً]
(This day, I have perfected your religion for you, completed My favor upon you, and have chosen for you Islam as your religion.)
[Surah al-Maidah, 5:3]

Menurut al-Hafiz Ibn Kathir, ayat ini menunjukkan betapa besar anugerah Allah kepada umat ini, kerana agama mereka telah disempurnakan dan mereka tidak perlu lagi mencari agama lain atau mencari nabi lain selain dari Muhammad sallallahu a'alyhi wasallam.

Maka antara aspek terpenting agama ialah aqidah, maka sudah tentu aqidah ini telah sempurna. Di antara aspek aqidah pula yang terpenting sudah tentu Tauhid kepada Allah yang Maha Esa. Berdasarkan ayat ini, sepatutnya aku yakin bahawa agama Islam ini telah cukup sempurna dan tidak perlu lagi kepada apa-apa tambahan.

Begitu juga dengan Maha Tinggi yang merupakan salah satu sifat-sifat Allah yang Agung. Tinggi itu maknanya dari segi bahasa jelas dan difahami. Bagaimana tinggi itu, tidaklah aku ketahui, danaku tidak berhajat untuk tahu. Untuk nafikan sifat Tinggi, tidak mungkin kerana Allah sendiri menyebut Diri-Nya Maha Tinggi. Untuk ubah kepada maksud lain, juga bukan hakku untuk merubah perkataan Tuhanku. Jelas bagiku, untuk memperoleh iman sempurna, aku tidak perlu tahu detail bagaimana sifat Tinggi itu. Yang pasti, sifat Tinggi bagi Allah itu tidak sama dengan sifat tinggi yang terdapat pada makhluk.

Al-Hafiz Ibn Kathir menyebut bahawa Rasulullah seringkali apabila membaca ayat pertama Surah al-A'la, baginda akan bertasbih memenuhi perintah ayat tersebut dengan membaca:

«سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى»


Cuma, perlu diingatkan bahawa respon terhadap ayat-ayat al-Quran seharusnya dilakukan tatkala solat bersendirian. Respon yang bagaimana? Apabila aku membaca ayat-ayat al-Quran yang mengkhabarkan suasana indah di Syurga, maka aku seharusnya berdoa memohon kepada Allah agar menempatkan aku di Syurga; apabila membaca ayat-ayat azab maka aku seharusnya meminta perlindungan Allah; apabila membaca ayat-ayat perintah untuk bertasbih, maka aku seharusnya bertasbih; dan apabila membaca ayat-ayat soalan mengenai kekuasaan Allah, aku seharusnya menjawab dan mengakui kekuasaan Tuhanku.

Wallahu a'lam.

*Kupasan Kuliah Tafsir Surah al-A'la oleh Syeikh Abdurrahman al-Hijazi, imam Masjid Ottawa.

Benih-benih Iman dan Malu

Good Friday - hari ini merupakan cuti umum bagi Ottawa. Oleh sebab itu, pihak MSA Carleton tidak mengadakan Solat Jumaat di universiti. Arif, Azman dan Mukmin - kami berempat ke Masjid Assalam di St. Laurent Boulevard untuk Solat Jumaat bersama. Walaupun waktu Zuhur ialah pada 1:30 petang, khutbah bermula pada pukul 12:45 tengahari. Kami terpaksa bergerak awal kerana jika terlambat, pasti berhadapan dengan masalah parking.Khutbah yang disampaikan berkisar gejala sosial yang semakin mengancam kefahaman agama di kalangan remaja Islam. Kata khatib, kebanyakan anak muda Islam di Barat kini semakin terikut-ikut dengan gaya hidup remaja Barat sehingga susah dibezakan antara kedua-duanya. Inilah akibatnya apabila tiada lagi rasa malu.

Abu Mas'ud 'Uqbah bin 'Amr al-Ansari al-Badri, radiyallahu 'anhu, reported that the Messenger of Allah, sallallahu 'alayhi wasallam, said: "Among the things that people have found from the words of the previous prophets was: 'If you feel no shame, then do as you wish.'"
[al-Bukhariy]

Lantas imam mengingatkan jemaah yang hadir agar menitik-beratkan pendidikan agama kepada anak-anak semasa mereka masih kecil. Tanamkan benih-benih tauhid di hati mereka dan pastikan ia sentiasa subur dan membesar menjadi pohon yang teguh. Hanya semasa anak-anak masih kecil perkara ini dapat dilakukan. Setelah mereka melangkah ke alam persekolahan, pengaruh rakan sebaya lebih kuat dari pengaruh ibu bapa. Oleh sebab itu, pastikan sebelum mereka meninggalkan rumah dan melangkah ke alam persekolahan, mereka telah mendapat kefahaman secukupnya mengenai tauhid.

Selesai solat, kami menuju ke Sakura Sushi di Merivale Road untuk makan tengahari.

Monday, March 10, 2008

Zaman ini pastinya sukar mencari pemimpin sepertimu


Menyaksikan video di atas selama lebih kurang 45 minit benar-benar meninggalkan kesan di hatiku. Kusedar, betapa angkuh dan sombongnya diriku terhadap Tuhanku. Kehidupan sebagai seorang pelajar memang sibuk. Masa dihabiskan untuk keperluan akal: belajar, siapkan tugasan, ulangkaji untuk peperiksaan. Kemudian masa untuk keperluan jasmani: makan, tidur. Ada pula masa yang dihabiskan di hadapan laptop membaca berita, membuang masa bersembang di forum-forum maya, mencari hiburan. Di mana masa untuk mengulangkaji al-Quran?

Seorang manusia yang diamanahkan Allah memimpin sebuah kerajaan, nyata kehidupannya dikerah untuk kebahagiaan di Akhirat. Kesenangan dan kemewahan yang pasti mudah diperolehinya selaku ketua kerajaan nyata tidak diendahkannya. Aduhai, mengapa diriku sendiri masih berlaku angkuh dan sombong dengan Tuhanku? Bukankah Akhirat itu lebih baik dari Dunia?

Engkaulah anugerah Allah buat rakyat Malaysia yang bertuah. Semoga Allah terus memberi petunjuk dan kekuatan kepada engkau untuk memimpin rakyat mencari keredhaan Allah. Semoga Allah memberkati negeri yang penduduknya memilih agama mengatasi kesenangan duniawi. Zaman ini pastinya sukar mencari pemimpin sepertimu.