Sunday, March 30, 2008

Aduhai Negaraku Malaysia

Kata seorang Tuan Professor, kejayaan seorang guru itu diukur dari sudut sejauh mana guru itu mampu melahirkan anak murid yang lebih baik daripadanya, bukan sekadar pandai. Untuk melahirkan anak murid yang baik, seorang guru mesti membenarkan anak muridnya berlawanan pendapat dengannya.

Tuan Professor, saya juga ada sedikit perkara yang saya kurang setuju. Daripada kandungan ucapan Tuan Professor yang panjang lebar, saya dapati objektif utama perjuangan Tuan Professor selama ini ialah melindungi ketuanan Melayu-Islam dari dicabar bangsa asing, iaitu bangsa Cina dan bangsa India di Malaysia. Jika sesuatu berlaku, orang Cina boleh lari ke China, orang India boleh lari ke India, orang Melayu mana nak pergi? Oleh sebab itu orang Melayu mesti bersatu menghadapi ancaman bangsa-bangsa lain dalam memastikan survival mereka di bumi mereka sendiri, Malaysia.

Sayang sekali ahli akademik seperti Tuan Professor masih berpegang dengan prinsip ketuanan Melayu-Islam di Malaysia. Tuan Professor membuat analisa bagaimana keputusan pilihanraya, komposisi kabinet, kerajaan campuran di Perak, kerajan Pulau Pinang pimpinan DAP, slogan Malaysian Malaysia dan lain-lain lagi menggugat ketuanan Melayu-Islam. Kata Tuan Professor, tindakan orang Melayu yang mengundi pakatan pembangkang kerana marahkan UMNO-BN ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Akhirnya orang Melayu menang sorak kampung tergadai. Orang Melayu sepatutnya bersatu menjaga kepentingan bersama. Kini orang Cina dan orang India boleh meminta banyak perkara daripada kerajaan kerana suara mereka kuat.

Tuan Professor, sampai bilakah kami orang Melayu di Malaysia perlu buruk sangka dengan kawan-kawan kami orang Cina dan orang India? Mengapakah tuan sangat-sangat mementingkan ketuanan Melayu-Islam? Tidak bolehkah orang Melayu, orang Cina dan orang India benar-benar hidup dalam keadaan harmoni? Perpaduan dipupuk atas rasa hormat dan saling percaya mempercayai?

Sejarah telah membuktikan betapa di Malaysia perpaduan sebenar yang dipupuk tidak pernah melepasi sempadan bangsa. Slogan perpaduan yang dilaung oleh kerajaan selama ini sekadar perpaduan kosmetik. Sewaktu berdepan kita boleh salam peluk dengan bangsa lain, tetapi bila kita berkumpul sesama kita mulalah kita berbicara mengenai niat busuk bangsa yang kita peluk tadi untuk menguasai kita.

Tuan Professor, sampai bila tembok pemisah bangsa ini akan wujud? Tindakan manusia seperti tuan telah menyuburkan lagi bibit-bibit permusuhan antara kaum. Tembok ini semakin kukuh. Saya amat berharap agar manusia seperti tuan yang akan menghancurkan tembok yang selama ini menyebabkan kami di Malaysia saling mencurigai.

Saya beri analogi mudah kepada Tuan Professor. Kita rakyat Malaysia ibarat dua penginap berlainan bangsa, manakala negara Malaysia ibarat rumah kediaman penginap-penginap tadi. Sewaktu mula-mula pindah dan tinggal bersama, memang penginap-penginap akan berprasangka kerana mereka tidak mengenali satu sama lain. Boleh jadi ada berlaku peristiwa yang menyebabkan penginap-penginap tadi bergaduh dan semakin hilang kepercayaan. Namun, setelah 50 tahun tinggal bersama di bawah satu bumbung, adakah tuan akan terus pastikan penginap-penginap tadi buruk sangka? Saya percaya rumah sebegini bukan rumah yang bahagia. Sebaliknya saban waktu penginap-penginap tadi terpaksa berhati-hati kerana rakan serumah yang tidak boleh dipercayai. Sampai bila kita boleh hidup begini? Bolehkah keamanan wujud selama-lamanya dalam keadaan begini?

Tuan Professor, sebagai seorang berjiwa muda, mungkin naluri saya mudah percaya pada orang. Sekurang-kurangnya, saya harap biarlah kita tamatkan segala prasangka yang wujud selama ini. Biar kita berterus terang. Wahai rakan kami bangsa Cina, wahai rakan kami bangsa India, wahai semua rakan kami di Malaysia, kita sudah ibarat satu keluarga yang tinggal di bumi Malaysia. Sudah tiba masa kita berterus terang. Nyatakan apa kemahuanmu. Ini pula kemahuan kami. Jika kemahuan kamu itu memang hak kamu, maka kami wajib memberikannya. Jika kemahuan kami adalah hak kami, maka kamu juga wajib memberikannya. Mari kita sama-sama berbincang dan tamatkan kesangsian ini. Mari kita bina semula negara ini berdasarkan rasa hormat dan saling percaya-mempercayai dan jangan lagi kita prejudis antara sesama kita.

Mungkin Tuan Professor beranggapan impian saya ini hampir mencapai tahap mustahil untuk menjadi kenyataan. Tuan Professor, satu-satunya penyelesaian yang saya nampak ialah betapa kita perlu berdakwah kepada rakan-rakan Cina dan India kepada Islam. Bukan Islam yang telah dicelup dengan adat resam Melayu, tetapi Islam sebenar yang dibawa oleh junjungan besar Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam yang mudah dan praktikal. Bangsa Cina dan bangsa India merupakan bangsa yang cerdik pandai. Mereka telah membina tamaddun yang hebat ratusan tahun dahulu. Dengan otak mereka yang cerdik, sudah pasti mereka mudah menerima Islam andai kita berdakwah kepada mereka. Hilanglah prejudis, runtuhlah tembok pemisah antara kita di Malaysia setelah mereka faham akan Islam.

Selama ini, slogan ketuanan Melayu-Islam telah menyebabkan Islam ini dibatasi dengan definisi Melayu, sehingga akhirnya Islam di Malaysia seolah-olah menjadi hak ekslusif Melayu. Memang kita bangga kerana Melayu itu Islam, tetapi kebanggaan itu telah menyebabkan kita tidak mahu berkongsi kelebihan Islam ini dengan rakan-rakan Cina dan India. Kita rela kita sahaja yang menikmati keindahan Islam.

Oleh itu Tuan Professor, daripada memperjuangkan ketuanan Melayu-Islam, lebih baik kita menggerakkan masyarakat Melayu agar memahami Islam yang tulen dan berdakwah kepada rakan-rakan Cina dan India. Kita perjuangkan ketuanan Islam. Adalah menjadi kewajipan kita menyampaikan Islam kepada semua tidak kira bangsa. Saya bayangkan alangkah bahagianya Malaysia jika Islam itu dikongsi bersama-sama. Sesiapa yang menjadi Perdana Menteri atau Ketua Menteri, baik Melayu, Cina atau India; tidak lagi menjadi masalah sekiranya beliau seorang Muslim yang memahami Islam.

Biarlah saya akhiri tulisan saya ini dengan kata-kata Sayyidina 'Umar ibn al-Khattab radiyallahu 'anhu yang masyhur: "Allah memberi kemuliaan kepada kita (orang Arab) disebabkan pegangan kita ialah Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya Allah akan memberi penghinaan kepada kita." Sebelum Islam, bangsa Arab adalah bangsa terhina di muka bumi. Dengan Islam, dalam tempoh 23 tahun sahaja, mereka tersohor di pentas dunia mengancam Rom dan Parsi. Lihat pada awal kurun ke-20, tatkala slogan Pan-Arabisme dilaungkan di bumi-bumi Arab mengatasi kesatuan Islam, betapa hinanya mereka sehingga sekarang.

*Coretan ini sekadar peringatan buat diriku sendiri agar jangan memperjuang kepentingan bangsa. Islam yang kufahami tidak pernah menjadikan bangsa satu faktor kelebihan. Allah tidak memandang rupa atau bangsa, di Akhirat kelak semuanya sama berhadapan dengan Allah. Taqwa sahaja pembeza kita.

4 comments:

Anonymous said...

ya betul, sampai bila kita nak berprasangka. alangkah baiknya our common ground is Islam regardless their races, color and backgrounds.

Anonymous said...

sedap abg iwan tulis =D

Anonymous said...

I do believe that Islam is always the common ground in whatever bussines we are in. Perjuangan politik melalui parti sebenarnya ada baik dan ada buruknya. Seperti mana kita berpersatuan seperti Persatuan Pelajar Malaysia, Persatuan Pelajar Islam,sebenarnya adakah untuk kita mendiskriminasikan yang lain?Sebenarnya tidak,tetapi persatuan-persatuan ini sebenarnya adalah untuk memperjuangkan atau menyuarakan kepentingkan-kepentingan kumpulan ini agar suara mereka didengari dan juga mengumpulkan serta mengutuhkan persaudaraan antara mereka. Jadi,parti UMNO sebagai salah satu parti menyuarakan suara ahli-ahli Melayu mereka. Ini sebenarnya adalah untuk menjelaskan tujuan saya menyertai Pertubuhan-pertubuhan seperti ini iaitu menjadikan ia sebagai platform yang ada untuk bekerjasama membantu pelajar-pelajar kita di Kanada memandangkan ia adalah satu-satunya Pertubuhan yang berdaftar dan beroperasi diseluruh Kanada secara sistematik.

Namun,bagi saya,keburukannya jelas nyata. Antaranya adalah semangat perkauman yang menebal,syak wasangka serta bermacam-macam lagi. Contohnya boleh dilihat dari segi rumah sukan. Ini adalah melalui pengalaman saya di sekolah menengah dahulu. Sebenarnya ada hikmahnya,tetapi ada juga keburukannya di mana sentimen dan api yang menyala dari jiwa remaja sememangnya membakar melaungkan semangat rumah-rumah sukan masing. Sehinggakan pada satu tahap,rakan yang datang melawat disyaki mengintip taktik untuk menghias rumah sukan. Dan banyak lagi peristiwa lain sebenarnya Persepsi sentiasa ada kerana kita tidak mungkin akan mengetahui bagaimana hati manusia,hitamkah atau jernihkah. Keupayaan untuk bersangka baik terhadap manusia adalah terhad sekiranya melibatkan perkara yang amat sensitif. Namun alhamdulillah musim sukan hanya sebentar,namun politik bila akan tamat?Sehingga kiamat lah jawabnya. Setiap kali bersidang,pasti ada isu sensitif yang sudah pasti akan menyemarakkan lagi semangat perkauman.

Dalam isu yang dibincangkan, saya mendapati, sekiranya Parti Islam Se-Malaysia menonjolkan lebih ramai pejuang berbilang bangsa yang beragama Islam,nescaya ramai yang akan menyokong PAS. Dan pada pandangan saya juga,bertanding atas tiket parti adalah amat tidak bagus. Kerana yang ditonjolkan adalah manifesto parti,dan bukannya prinsip dan ideologi tersendiri yang dibawakan. Namun apa kan daya,yang menang pastinya yang mempunyai tiket parti sama ada pembangkang atau kerajaan.


Antara apa yang saya nampak,mungkin apabila timbul isu-isu perkauman,itu adalah masa untuk kita berdakwah dan bukannya melaung marah. Islam tidak membezakan kaum warna kulit dan bilangan harta. Islam menggalakkan kita membantu yang lemah,kerana itu adanya DEB yang banyak memberi biasiswa kepada saya. Islam juga tidak menghalang kita berkawan dengan bangsa lain. Islam juga menganjurkan perdamaian seperti bangsa Yahudi aman di bawah sebuah negara bernama Madinah. Saya ingin berkongsi pengalaman,seorang mualaf,beliau marah kerana kawan-kawan Islam tidak mendakwah beliau. Marah bukan kerana apa,tetapi andai kata dia tidak memeluk Islam,Neraka lah jawabnya.



Saya minta maaf kerana terlalu panjang menulis. Kehilangan arah dan isi sebenarnya. Tetapi saya amat bersetuju apabila kita menyebut Islam as a common ground. Kak Zidah pon sokong.Hehe. Ada silap-salah harap beri teguran. Saya berjiwa remaja yang masih perli dicorak dan diwarnakan.

Anonymous said...

Pendapat yang jujur, saya setuju. Kenapa abang tak cakap je hari tu? hihi.. Entah senyap je, ingatkan abang takde, tetapi saya tahu abang ade lepas tu dierang bagi tau.

Kadang-kala susah juga nak buat orang lain nampak wordview kita, hatta ayah kita sendiri pon. Manusia biasanya judge sesuatu benda berdasarkan pengalaman diri sendiri. Mungkin dia ada pengalaman-pengalaman dalam hidup dia yang buat dia bersikap begitu, saya sendiri pon tidak tahu.

Bukanlah senang juga untuk orang muda menyatakan pendapatnya, hormat itu perlu ada. Tetapi dia sedikit sebanyak dengar juga pendapat saya. Mungkin itu tanggungjawab saya.

Btw, dalam plan asal beliau tidak ada pon perjumpaan itu.

Allahummagfirlana waliwalidaina warhamhuma kama rabbayana saghira.

p/s: orang ilmuwan perlulah berani menyatakan pendapat, tetapi pada masa sama pandai jaga adab dan hormat.