Buletin Utama sebentar tadi, tatkala menceritakan kisah 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Negeri Kedah Darul Aman menyebut tiada sebarang perubahan selain rebet cukai tanah sehinggakan tidak nampak kelainan antara pemerintahan Barisan Nasional. Tiada projek. Tetapi disebut pula pertukaran pegawai-pegawai peringkat akar umbi, dari ketua kampung sehingga ahli kerajaan tempatan. Yang lama dihentikan, yang baru dilantik, terutama dari kalangan penyokong parti pemerintah. Ada perubahan atau tidak sebenarnya?
Komen dari Menteri Besar, Ustaz Haji Azizan Abdul Razak sememangnya menarik. Pegawai kerajaan kini diberi kebebasan berpolitik, dan tidak perlu takut bersuara. Sesuatu yang sangat berharga di mata rakyat tetapi sukar ditemui di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Andai bikin serupa cakap, kredit bagi Kerajaan Negeri Kedah!
Kemudian disebut pula akan sambutan Jubli Emas pemerintahan Ke bawah DYMM Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah tidak lama lagi. Perbelanjaan untuk sambutan gilang-gemilang itu yang didakwa amat penting bagi sistem beraja Negeri Kedah kini dipotong 50%. Mungkin mereka yang membikin berita lupa bahawa tonggak raja dan kerajaan bukan terletak pada kehebatan sambutan Jubli Emas atau apa-apa keraian. Tonggak kekuatan raja dan kerajaan terletak pada rakyat. Apa guna wang rakyat dihabiskan berjuta hanya untuk tujuan keraian sedangkan rakyat hidup melarat? Tambahan pula dalam keadaan sekarang.
Kurangnya perbelanjaan untuk keraian tidak akan mengurangkan kebesaran raja, kerana kebesaran raja terletak pada rakyat yang dipayunginya. Renung kembali zaman kegemilangan pemerintahan Sayyidina 'Umar al-Khattab radiyallahu 'anhu. Tiada keraian untuk meraikan pemerintahannya. Lihat bagaimana beliau mengendalikan empayar yang begitu besar dengan cara hidup yang serba daif. Tiada istana. Tiada pemandu. Tiada orang suruhan. Makanan pun roti kasar. Namun namanya tetap gemilang terpahat sehingga kini. Kredit lagi bagi Kerajaan Negeri Kedah. Pastinya raja yang berjiwa rakyat tidak sanggup mengadakan keraian besar-besaran tatkala rakyat dihimpit kesusahan.
No comments:
Post a Comment