Musafir lagi. Jika minggu-minggu sudah tidak henti-henti menerjah ke Selatan, kali ini Pantai Timur menjadi tujuan. Kota Bharu dan Kijal.
Jam 11:00 malam kami bergerak meninggalkan Taman Tun Dr. Ismail. Dua kenderaan berkonvoi, Alphard dan Estima. Selesai mengisi minyak penuh dan membeli bekalan buat perjalanan di Stesen Petronas Mutiara Damansara, kami bergerak ke Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) melalui Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). Terdapat dua kemalangan berasingan di LDP. Namun trafik tidak sesak. Tiba di Gombak kami melencong keluar dari MRR2 dan terus masuk ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Perjalanan lancar. Cuma tatkala turun dari Genting Sempah, kabus terlalu tebal menyebabkan kami tidak dapat bergerak pantas. Alhamdulillah cuaca sepanjang perjalanan tidak hujan, cuma kabus tebal di beberapa lokasi. Kami berehat sebentar di Benta. Kemudian terus lagi dan berhenti di Gua Musang. Tiba di Kuala Krai sekitar 6:00 pagi, lantas kami menunaikan Solat Subuh. Selepas 30 minit berehat kami meneruskan perjalanan. Walaupun hari semakin cerah, jarak penglihatan tetap terhad dek kabus tebal. Kira-kira jam 7:30 pagi kami tiba di Kota Bharu. Terus ke rumah keluarga Tok Ayah di Jalan Bayam, belakang Hotel Perdana.
Badan terasa letih yang amat sangat, tetapi mata masih sukar dilelapkan kerana perut sudah berkeroncong minta diisi. Jalan-jalan dan kedai-kedai di Kota Bharu masih sepi pada pagi hari kedua Eidul Adha. Akhirnya kami bersarapan di kopitiam Jalan Che Su. Sekembali di rumah, badan meruntun minta direhatkan. Dengan perut yang sudah kenyang, mata semakin layu dan berat. Kota Bharu perlu menunggu, masih ada banyak masa.
**Ini adalah kali keempat kami menerjah Kota Bharu dalam tempoh tiga tahun. Bagai ada ikatan teguh yang mengikat kami dengan Kota Bharu. Terlalu istimewa.
**Ini adalah kali keempat kami menerjah Kota Bharu dalam tempoh tiga tahun. Bagai ada ikatan teguh yang mengikat kami dengan Kota Bharu. Terlalu istimewa.
No comments:
Post a Comment