Semalam ada menonton rancangan 360. Nak dikata minat itu tidaklah, tetapi kadang-kadang rancangan 360 ada mengupas isu-isu kemasyarakatan yang kadangkala kita terlepas pandang atau terpinggir dari arus media perdana. (Tapi dulu ada orang tu minat sangat-sangat rancangan 360 ni, tak tau sekarang apa dah jadi).
Semalam isu pelarian. Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Pelarian 1967, menyebabkan Malaysia tidak mengiktiraf mana-mana pelarian dan pemohon suaka politik. Rancangan 360 antara lain mengupas isu warga Acheh yang diberi peluang mencari rezeki di Malaysia setelah negeri mereka dilanda bencana tsunami pada Disember 2004. Kemudian disentuh pula isu pelarian Rohingya dari Myanmar yang terpaksa berhijrah ke Malaysia disebabkan kemelaratan hidup. Antara yang menarik ialah apabila berlaku kontra antara pegawai UNHCR Malaysia (Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian) dan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia. Menurut UNHCR, pelarian yang berada di Malaysia perlu mendaftarkan diri dengan mereka. Setelah didaftarkan, mereka akan diberi kad UNHCR dan boleh menggunakan kad tersebut untuk urusan mendapatkan pekerjaan dan lain-lain. Tetapi KP Imigresen menyatakan pelarian tidak dibenarkan sama sekali untuk bekerja. Status mereka tidak banyak beza dengan pendatang asing. Sekiranya mereka bekerja, maka mereka telah melakukan kesalahan sama seperti pendatang asing yang bekerja tanpa permit. Hanya pelarian Acheh diberi kelonggaran kerana negeri mereka dilanda bencana, maka atas dasar kemanusiaan kerajaan membenarkan mereka bekerja, itupun untuk tempoh empat tahun sahaja.
Hiba hati apabila mendengar rintihan pelarian Rohingya, anak-anak kecil tidak boleh bersekolah. Ibu bapa pula tidak boleh bekerja. Habis, bagaimana agaknya mereka hendak meneruskan hidup? Ibu bapa terpaksa menanggung risiko bekerja haram, dengan mencari kerja 3D (dirty, dangerous, demeaning) yang sememangnya tidak disukai rakyat Malaysia. Jika ditangkap, mereka boleh dikenakan hukuman penjara.
Mungkin sudah tiba masa bagi Malaysia belajar dari Pakistan. Pakistan, walaupun sebuah negara kacau bilau dan mundur, diiktiraf sebagai negara terbaik di dunia dalam melayani pelarian. Sekiranya kita membenarkan pelarian berada di negara kita, mana mungkin kita tidak membenarkan mereka bekerja. Sekiranya kita tidak mahu mereka bekerja, maka jangan dibenar mereka tinggal, sebaliknya terus hantar pulang ke negara asal. Sangat tidak logik kalau kita benarkan pelarian tinggal di negara kita, kemudian kita larang mereka dari pekerja. Bagaimana mereka mahu hidup?
Kita juga selalu mengadu pelbagai masalah sosial dan keselamatan yang wujud disebabkan kehadiran warga asing, termasuk pelarian. Kemudian, adakah patut kita melarang anak-anak mereka daripada bersekolah? Pastinya tanpa pendidikan yang sempurna, anak-anak ini akan membesar dalam suasana tidak baik. Mereka akan mudah terdedah kepada kegiatan jenayah dan tidak bermoral. Lainlah jika mereka menghabiskan masa di sekolah.
Ada juga yang bersikap patriotik, jika pelarian diberi peluang tinggal di negara ini, kesetiaan mereka tetap kepada negara asal. Segala hasil titik peluh pekerjaan mereka, akan dihantar pulang ke negara asal. Satu hari kelak mereka juga akan pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan. Pun begitu, apabila mereka bekerja dan tinggal di negara kita, bukankah mereka akan membeli keperluan harian dari penjual-penjual di negara kita? Makanan mereka, pakaian mereka, perabot rumah mereka, dari mana mereka mendapatkannya? Apabila bertambahnya penduduk sesebuah negara, kegiatan ekonomi akan bertambah rancak. Kenakan cukai kepada pelarian yang sudah kaya. Bukankah itu satu pulangan buat kerajaan? Lagi pula tiada rakyat yang suka akan pekerjaan 3D itu, beri saja pada pelarian.
Kita marah apabila ada orang melayan rakyat kita di negara asing dengan biadap. Sudahkah kita melayan pelarian yang kesusahan meminta bantuan dengan penuh kemanusiaan? Pelarian tidak semesti membawa kesan negatif. Jangan lupa bahawa ekonomi Jordan melonjak naik setelah negara itu dengan terbuka menerima pelarian Palestin akibat krisis Israel-Palestin suatu ketika dahulu.
No comments:
Post a Comment