Eidul Adha 1429H disambut bersama keluarga Kuala Lumpur. Hujan renyai menyiram bumi Kuala Lumpur pada pagi raya. Rasa lapar yang mencengkam perut sejak semalam menyebabkan kami bersarapan ringkas, walaupun sunnah yang betul untuk Eidul Adha ialah jangan makan sehingga selesai solat hari raya. Berbeza dengan Eidul Fitri di mana sunnah untuk bersarapan sebelum keluar menunaikan solat hari raya.
Seusai bersarapan, kami bersiap untuk menunaikan solat hari raya di Masjid Al-Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail. Solat dijadual bermula pada jam 8:15 pagi. Kami tiba di masjid lebih kurang jam 8:05 pagi. Masih banyak ruang kosong, dan kebanyakan hadirin adalah dari kalangan warga asing. Warga Malaysia pasti pulang menyambut raya bersama keluarga di kampung. Suasana normal menyambut raya di Kuala Lumpur - kosong. Imam menyampaikan khutbah biasa yang kembali menyentuh bingkisan kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim sekeluarga, 'alayhimussalam.
Habis khutbah kami terus pulang untuk bersiap sedia menerima kehadiran tetamu. Ada juga peminta sedekah dari Pakistan yang setia mengunjungi kami sejak tahun lepas. Kemudian giliran kami pula berangkat menziarahi sanak saudara. Kota Kemuning di Shah Alam menjadi tempat berkumpul.
Petang masih ramai kaum kerabat yang berkunjung datang. Malam sebahagian sahaja yang masih bertenaga untuk keluar meneruskan program ziarah sanak saudara di Lembah Kelang. Yang lain bersiap sedia untuk perjalanan jauh malam nanti menuju destinasi impian saban tahun - Kota Bharu.
No comments:
Post a Comment