Friday, January 30, 2009

Konspirasi Jahat?

Solat Jumaat di Masjid Al-Huda, Sungai Ara. Khutbah berkisar tentang pakatan jahat Yahudi dan Nasrani yang memusuhi Islam. Konspirasi teliti ini dijalankan untuk menyelewengkan umat Islam daripada ajaran Islam yang tulen, di samping menghalang kemajuan ilmu dan teknologi di negara-negara Islam. Kekejaman Zionis di Gaza menunjukkan betapa darah umat Islam begitu murah untuk ditumpahkan, seolah-olah tiada harga langsung. Malang sekali masih belum ada pembelaan daripada umat Islam itu sendiri. Justeru, umat Islam disarankan untuk memastikan aqidah mereka benar-benar mantap untuk menghadapi ancaman musuh.

Hmm... nampaknya masih ramai di kalangan umat Islam yang menganggap permasalahan yang melanda dunia adalah disebabkan konspirasi jahat Yahudi dan Nasrani. Biarpun tuduhan ini masih boleh diragui, jika ia benar sekalipun rasanya ancaman luaran ini bukan faktor sebenar yang mengakibatkan umat Islam dilanda seribu satu masalah. Dahulu kita pernah menjadi kuat dan memerintah dunia dan memakmurkan segenap penjuru alam dengan keadilan Islam, malangnya kelalaian kita sendiri yang menyebabkan musuh dapat mengambil kesempatan ke atas kita. Sudah tiba masanya kita menuding jari ke muka sendiri dan membuat muhasabah, jangan asyik menyalahkan orang lain.

No comments: