Kenangan tatkala bergelar siswa sangat indah dan sukar dilupakan. Antara yang akan sentiasa mekar di ingatan ialah mengenangkan cabaran yang dihadapi tatkala mengibarkan panji-panji dakwah tajdid yang akhirnya telah merubah corak pemikiran dan gerakan Islam di universiti.
Tidak dinafikan, sebelum tersebarnya pemikiran tajdid, gerakan-gerakan Islam yang wujud di institut-institut pengajian tinggi lebih bersifat jama‘ah-centric. Kewujudan pelbagai gerakan atau jama‘ah ini sepatutnya membawa faedah yang banyak, kerana masing-masing akan senantiasa berlumba untuk menjadi yang terbaik. Persaingan yang sihat ini sepatutnya menjadikan Islam itu lebih subur di hati para siswa. Namun, persaingan sihat hanya akan wujud apabila pemimpin gerakan memiliki kefahaman yang kukuh mengenai manhaj kepimpinan dan siyasah yang diletakkan Islam. Akhirnya, pendokong gerakan-gerakan ini telah lupa kepada tujuan asal penubuhan gerakan mereka. Slogan “Marilah kepada Islam” kini diganti dengan “Marilah sertai jama‘ah kami.” Mereka menjadikan Islam itu hak ekslusif mereka. Sesiapa yang tidak menyertai jama‘ah mereka, maka mereka ini terus dicop sebagai manusia yang tidak ada perasaan cinta kepada Islam.
Bukan itu sahaja, jama‘ah-jama‘ah lain yang sepatutnya dilihat sebagai pesaing sihat kini dianggap seteru utama. Bukti jelas dapat dilihat tatkala pendaftaran siswa-siswa baru. Minggu suai-kenal dipenuhi dengan upacara tarik-menarik ahli. Situasi yang sepatutnya ialah: “Di universiti ini ada banyak gerakan Islam, dengarlah penerangan kami mengenai jama‘ah kami, kemudian dengar pula mengenai jama‘ah lain, selepas itu buatlah keputusan, yang mana pun anda sertai tidak menjadi masalah kerana kami sama-sama bergerak untuk Islam.” Yang sedihnya, situasi ini tidak berlaku. Setiap peluang yang ada digunakan untuk memuja jama‘ah sendiri sebagai jama‘ah Islam sebenar dan melaknat gerakan-gerakan lain. Apabila wujud mana-mana tokoh ilmuwan yang tidak menjadi ahli pendokong jama‘ah, maka para pengikut jama‘ah diberi peringatan agar jangan pergi dengar kuliah ustaz tu, ustaz tu bukan orang jama‘ah, fikrah dia kurang jelas, dia ingat nak perjuangkan Islam seorang diri ni boleh berjaya konon. Berapa ramai tokoh ilmuwan di universiti diboikot semata-mata kerana pimpinan melarang ahli-ahli dari mengikuti kuliah mereka. Ahli-ahli pula ditanam dengan konsep al-wala wa al-bara kepada pimpinan jama‘ah, sehingga kadangkala pimpinan memiliki kuasa mutlak dalam mengeluarkan apa jua arahan yang wajib dipatuhi oleh ahli-ahli di bawah pimpinan mereka. Alangkah baiknya jika konsep al-wala wa al-bara ini digunakan buat menanam kefahama aqidah yang sahih kepada para ahli!
Tatkala pergolakan sesama jama‘ah semakin meruncing, akhirnya muncul gerakan tajdid yang pada awalnya kelihatan hampir mustahil untuk berjaya, apatah lagi gerakan-gerakan Islam yang wujud memiliki cengkaman yang kuat. Namun, arus tajdid yang hebat ini telah menembusi tembok halangan ini, bahkan memberi semangat baru yang menyirnakan gerakan-gerakan Islam dari kesilapan yang mereka lakukan sebelum ini. Insya-Allah, andai ada peluang akan kita selidik kebaikan-kebaikan yang dinikmati jama‘ah-jama‘ah ini apabila mereka terkena tempias arus tajdid.
Apakah rahsia kejayaan tajdid ini?
Catatan ini sekadar pemerhatian diri yang kerdil ini tatkala bergelar siswa pada permulaan arus tajdid. Tidak ada yang rahsia pun. Tajdid hadir membawa tujuan asal gerakan Islam. Slogan “Marilah kepada Islam” dan “Kembali Mendaulatkan al-Quran dan al-Sunnah” lantang bergema. Kuliah-kuliah ilmu asas Islam menjadi tumpuan. Aqidah, Hadith, Fiqh Perbandingan, Sirah dan lain-lain. Budaya ilmu kembali mekar. Alhamdulillah, mungkin faktor pengkuliah yang mantap ilmu dan penyampaian yang baik berjaya menarik minat siswa-siswi. Teringat bagaimana kuliah-kuliah tajdid dihadiri oleh siswa-siswi dari pelbagai latar belakang, pelbagai jama‘ah, semuanya tekun mendengar ilmu. Dari gadis-gadis bertudung litup dan berniqab kepada gadis-gadis berseluar jeans, lelaki-lelaki berjubah yang selalu kita nampak kat masjid kepada mat-mat motor yang nampak seminggu sekali saja waktu solat Jumaat, termasuk ahli-ahli gerakan Islam yang pelbagai, dari pelajar aliran agama kepada pelajar kejuruteraan dan perubatan, semuanya hadir dengan tujuan yang sama – menuntut ilmu. Kefahaman mengenai ilmu-ilmu asas Islam sangat dititik-beratkan berbanding pemikiran Islam. Hati kadangkala merasa sebak kerana gembira melihat ahli-ahli jama‘ah yang sebelum ini bercakaran sesama sendiri kini boleh duduk di bawah satu bumbung menuntut ilmu.
Maka budaya ilmu ini akhirnya meresap ke dalam kehidupan siswa-siswi. Mereka berlumba-lumba menyelongkar khazanah ‘ulama silam yang selama ini terbiar begitu saja di perpustakaan universiti. Halaqah-halaqah ilmu subur di masjid universiti. Wujud pula perkumpulan-perkumpulan di kalangan siswa yang rajin mengkaji apa saja isu berkaitan Islam dan mengeluarkan hasil sama ada dalam bentuk cetakan atau perbincangan ilmiah sesama mereka.
Mungkin kejayaan utama arus tajdid pada awalnya ialah kerana tajdid bukan satu jama‘ah. Pendokong tajdid tidak pernah menyeru kepada jama‘ah tajdid, kerana jama‘ah tajdid itu sendiri tidak wujud. Objektif utama pendokong tajdid pada waktu itu tidak lain tidak bukan ialah sekadar menyeru kepada manhaj al-Quran dan al-Sunnah. Mereka menyeru kepada budaya ilmu dan menentang taqlid buta dan taksub melampau. Mereka menyeru kepada fakta dan dalil. Mereka tidak pernah mengharapkan sesiapa pun untuk bersimpati dan menyertai mereka. Sikap ini menyebabkan mereka merdeka dan tidak bergantung harap pada sesiapa pun melainkan Allah. Andai siswa yang hadir ke kuliah mendapat manhaj ilmu ini, itu sudah memadai. Manhaj tersebut andai dia pegang sehingga ke akhir hayat maka dia akan selamat. Apabila ada mana-mana ustaz beritahu perkara ini ada dalam agama, dia akan mengkaji sebelum menerima buta-buta. Itu saja yang diharap pendokong tajdid. Andai ada yang ingin menyertai menjadi pendokong tajdid, maka mereka dialu-alukan, tetapi tidak pernah dipaksa.
Strategi ini menyebabkan arus tajdid merebak dengan pantas melangkaui batas-batas jama‘ah. Bukankah slogan-slogan ini yang sepatutnya dilaungkan oleh gerakan-gerakan Islam?
Sungguhpun ada di kalangan pimpinan jama‘ah yang menganggap arus tajdid sebagai faktor utama yang melemahkan mereka sehingga ada yang mengambil langkah proaktif menentang tajdid, diri ini memiliki perspektif berlainan. Arus tajdid ini telah membawa seribu satu kebaikan kepada jama‘ah-jama‘ah ini, insya-Allah jika ada peluang akan dikupas pada waktu yang lain.
