Wednesday, April 25, 2007

Kenangan Yang Terindah II

Masih lagi kisah kenangan tatkala bergelar siswa. Selesai minggu silaturrahmi atau minggu suai-kenal, bermulalah cabaran sebagai penuntut ilmu. Ilmu bukan sekadar dituntut dalam kelas, bahkan ilmu di luar kelas lebih banyak mengajar pengalaman hidup. Atas kesedaran akan pentingnya ilmu di luar kelas, maka tidak hairan jika ramai siswa yang menganggotai gerakan-gerakan Islam, atau jika tidak anggota sekadar mendekati gerakan-gerakan ini.

Teringat pengalaman diri dan rakan-rakan ditempat di kolej kediaman baru yang paling jauh dari masjid universiti. Pun begitu, dengan semangat perjuangan Islam yang jitu, setiap Subuh terkedek-kedeklah kami melangkah kaki menuju ke masjid untuk berjamaah. Siapa antara kami yang bangun awal akan terus mengejutkan rakan-rakan. Perjalanan selama 15 minit meredah kesejukan dinihari akan tetap terpahat sebagai memori indah, kerana mengharapkan redha Allah apa pun tidak dipedulikan. Begitu juga tatkala sama-sama bersolat Subuh berjamaah di masjid universiti. Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak pun sama-sama di masjid universiti. Selesai Isyak, maka kami sama-sama menyusun langkah meninggalkan masjid dan kawasan kampus yang sunyi. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengikat hati-hati kami dengan masjid-Nya.

Kadangkala, selepas Isyak adalah waktu favourite gerakan-gerakan Islam mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli mereka, sama ada bertujuan tafaqquh (kuliah pemahaman agama) mahupun musyawarah (meeting). Kebiasaannya perjumpaan-perjumpaan di awal dan akhir semester mendapat sambutan hangat, manakala yang di pertengahan semester jarang mencapai kuota penuh. Pada perjumpaan awal dan akhir semester, kelas-kelas penuh sesak dengan kehadiran ahli-ahli gerakan, dan ucapan berapi-api pimpinan memberi amanat, ditambah dengan ucapan-ucapan mana-mana ahli yang ingin mengemukakan pendapat.

Sementelah sekian lama menghadiri perjumpaan-perjumpaan ini, maka sudah tentu adanya hasrat di hati yang ingin sama-sama dikongsi dengan pimpinan dan ahli-ahli gerakan lain. Sudah tentu peluang berucap tatkala perjumpaan di awal atau akhir semester adalah peluang yang sukar dilepaskan.

Pun begitu, diri ini dan rakan-rakan yang sama-sama terkedek-kedek setiap Subuh ke masjid tidaklah pernah bermimpi untuk berpidato berapi-api, sekadar memberi nasihat simple. Dua point sahaja yang sering kami suarakan. Mungkin ada yang menganggap kedua-dua point ini remeh, namun dua point ini mempunyai signifikan yang tidak dapat dinafikan.

Pertama, jika benar jamaah ini adalah gerakan Islam, maka sepatutnya kita jadikan masjid sebagai pusat segala aktiviti kita. Ini jangankan mesyuarat atau kuliah di masjid, waktu solat fardhu lima kali sehari tidak nampak pun ahli-ahli gerakan ini? Pimpinan pun, di mana antum semua solat? Kalaulah kita sekadar orang Islam biasa, mungkin tidak kisah kita solat di mana pun. Tapi sekarang kita sendiri menampilkan diri kita pada masyarakat sebagai pejuang Islam. Kita mahu masyarakat mengiktiraf kita sebagai gerakan Islam. Seharusnya kita praktikkan Islam dalam hidup kita, jangan sekadar slogan. Solat adalah asas hubungan seorang hamba dengan Tuhan-Nya. Jika solat pun kita kantoi, bagaimana hendak menjadi pejuang Islam?

Kedua, apabila kita menampilkan pada masyarakat jamaah kita sebagai gerakan Islam, maka kita perlu senantiasa ingat bahawa segala perlakuan kita tidak lagi mencerminkan sekadar peribadi kita sahaja, bahkan Islam itu sendiri. Atas sebab itu setiap kita perlu menghidupkan Islam dalam diri kita. Ingatlah, apabila kita berbuat silap, sedikit sebanyak Islam dan gerakan Islam akan turut terkena tempiasnya. Jika jamaah ini gagal membentuk peribadi Islam di kalangan ahli-ahlinya, maka eloklah jangan tampilkan imej pejuang Islam. Tukarlah kepada kebajikan pelajar atau mana-mana yang tidak akan mencemarkan imej Islam. Hadirlah ke masjid untuk solat berjamaah. Kalau solat berjamaah di masjid pun kita gagal, tak payahlah minta orang iktiraf kita sebagai pejuang. Orang biasa sudahlah...

Pendapat sebegini sudah tentu mendapat pelbagai jenis respons, apatah lagi yang berkata-kata adalah junior tahun satu. Pun begitu, diri ini dan rakan-rakan tidak peduli. Setelah peristiwa tersebut, tetaplah kami terkedek-kedek berjalan ke masjid sebelum Allah mengurniakan motosikal dan kereta tatkala di tahun-tahun senior.

Sayang sekali apabila gerakan-gerakan Islam gagal menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti. Apabila penguasaan pentadbiran masjid dijadikan objektif utama, dan sememangnya objektif tersebut sukar dicapai, maka banyak peluang lain terabai. Dalam keadaan yang amat terhad ini, masjid mesti digunakan setakat yang termampu. Apabila tajdid melebarkan sayapnya, akhirnya masjid menjadi pusat kegiatan utama. Tidak seperti gerakan-gerakan Islam lain yang suka mengadakan mesyuarat selepas waktu Isyak, pendokong-pendokong tajdid memanfaatkan waktu di masjid setiap kali selepas solat dengan perbincangan ilmiah dan santai. Tidak seperti mesyuarat gerakan-gerakan Islam yang kadangkala tidak cukup korum, perjumpaan pendokong tajdid sentiasa meriah kerana setiap pendokong tajdid menyedari kepentingan menghadiri solat berjamaah. Tidak seperti mesyuarat gerakan-gerakan Islam yang kadangkala terhalang kerana kehadiran pak guard, perjumpaan di masjid tidak ada siapa pun yang menghalang, bahkan menjadi tempat berbaik-baik dan berdakwah kepada pak guard yang solat bersama di masjid. Tidak seperti majlis-majlis ilmu gerakan-gerakan Islam yang dibuat di kelas-kelas dan tidak akan dihadiri oleh ahli gerakan lain, pendokong-pendokong tajdid mengadakan kuliah-kuliah di masjid, baik di dewan solat utama, dewan kuliah dan kelas-kelas sekitar masjid dan dihadiri oleh segenap kumpulan manusia.

Kehadiran solat berjamaah di masjid dianggap antara perkara utama bagi pendokong tajdid. Ia dianggap sebagai antara tanda betapa komitednya kita kepada Islam, selain dari menjadi bukti ilmu yang diamalkan dan tempat bergantung harap dan cinta kepada Allah. Betapa dalam kesibukan mengejar ilmu dan rutin kehidupan lain, solat berjamaah tetap menjadi priority. Perjumpaan yang begitu kerap, sehari lima kali di masjid universiti akhirnya membina ukhuwwah yang sangat kukuh di antara pendokong-pendokong tajdid. Pun begitu, pada tahap ini, mereka masih belum pernah mengisytihar mereka sebagai pendokong tajdid, mahupun keluar dari gerakan-gerakan Islam. Mereka masih bersama gerakan-gerakan tersebut, cuma kini mereka telah menemui sahabat-sahabat berlainan gerakan tetapi sehati sejiwa di rumah Allah. Masjid telah menyatukan hati-hati mereka agar melupakan perbezaan sesama mereka dan sebaliknya sama-sama mengerah tenaga ke arah matlamat yang sama. Bagaimana meriah dan hebatnya mereka di masjid menuntut ilmu dan berkasih sayang sesama mereka, insya-Allah di lain episod.

1 comment:

Taufik said...

Jalan terkedek-kedek 15 minit. haha.. Dekat ottawa tu mgkn 7 minit je, ttp kalau wind chill -30 (mcm nak pitam abg kata) lagi susah kot kan. Dah la subuh kadang2 boleh seawal pkl 4 pagi. Teringat pulak rumah, surau, dan rakan-rakan yg sentiasa mengimarahkan surau. Indah jugak masa zaman persekolahan saya dulu kalau nak pikekan, cume x berape perasan kot. Then life js get harder. cabaran dugaan.. Pastu datang sini kene ketuk skjp bangun dari mimpi. hehe.. inshaAllah dihadapi dgn penuh kesabaran.