Dalam menjalani rutin kehidupan setiap hari, pernahkah kita terfikir, betapa banyak masa dan tenaga yang kita buang kerana memberi perhatian kepada perkara yang langsung tidak ada kaitan dengan kita, sebaliknya banyak perkara yang sangat penting dalam hidup kita sengaja abaikan begitu sahaja?
Kita begitu banyak berbicara mengenai perkara yang tidak ada sangkut paut dengan kita. Bahkan kebanyakan perkara ini tidak pula kita miliki maklumat yang tepat. Baik pemimpin negara mahupun orang awam tidak terlepas dari suka berbicara akan perkara yang tidak penting dan kurang jelas maklumatnya. Gosip mengenai personaliti, arena politik, dan seumpamanya lebih kita sukai sedangkan kita sendiri tidak pasti entah benar entah tidak perkara yang kita bincangkan. Al-Quran yang jelas lagi terang benar isi kandungannya mengenai panduan hidup kita di dunia ini - jangan kata berusaha memahaminya, hendak membuka dan membaca sepuluh ayat sehari pun kita malas. Cerita artis, berita politik dan umpat-mengumpat lebih kita suka.
Ini antara intipati pengajaran dalam Surah al-Kahfi, ayat 19 dan 22. Dalam ayat 19, diceritakan apabila penghuni gua bangun dari tidur mereka yang sangat panjang, salah seorang daripada mereka bertanya, berapa lama agaknya mereka tidur. Jawab seorang yang lain, mungkin satu hari atau setengah hari. Lantas akhirnya mereka terus berkata, Tuhan kamu lebih tahu berapa lama kamu tidur. Dalam ayat 22 pula, Allah menyebut mengenai khilaf bilangan penghuni gua. Ada yang berkata tiga pemuda dan seekor anjing, ada yang kata lima pemuda dan seekor anjing, ada yang kata tujuh pemuda dan seekor anjing. Lantas Allah menyuruh Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam menjawab: "Tuhanku lebih tahu berapa bilangan mereka."
Lihat bagaimana respon orang-orang beriman. Penghuni gua, bagi mereka, berapa lama tempoh mereka tertidur tidaklah penting. Yang penting adalah survival iman mereka. Mereka lari kerana ingin memelihara iman mereka dari kejahatan kaum mereka.
Berapa bilangan penghuni gua juga bukanlah sesuatu yang penting. Yang penting, peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia menjadi tanda kekuasaan Allah untuk membangkitkan manusia di Akhirat. Di Akhirat kita tidak akan dipersoal mengenai berapa bilangan mereka, atau di mana gua tersebut, tetapi kita akan ditanya mengenai iman kita. Adakah kita benar-benar beriman bahawa Allah mampu membangkitkan semula manusia yang telah mati? Apa pula tindakan kita dalam menjaga agama kita, adakah kita mencontohi sikap penghuni gua?
Lihat sajalah kehidupan kita. Berapa usaha yang kita lakukan untuk kesejahteraan di Akhirat yang lebih penting dari dunia? Berapa lama pula kita cuba meluangkan masa belajar aqidah yang menjadi tonggak kepercayaan kita? Semoga kita sama-sama dapat memperbaiki fokus kehidupan kita agar tidak membuang masa dengan perkara yang tidak ada kepentingan dalam hidup kita.
*Petikan Kuliah Tafsir Syeikh Abdurrahman al-Hijazi di Masjid Ottawa