Monday, June 09, 2008

Minyak naik?! Part III

Minyak adalah salah satu sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Satu hari kelak kesemua simpanan minyak akan habis. Itu adalah satu kemungkinan yang perlu kita hadapi. Kadar penemuan simpanan minyak baru tidak setanding dengan kadar pengeluaran minyak. Kajian-kajian oleh pakar-pakar ekonomi minyak biasanya membahagikan situasi harga minyak kepada tiga fasa: fasa jatuh, fasa stabil dan fasa naik. Apabila diteliti perubahan harga minyak sejak pengeluaran minyak secara komersial pada 1860-an, harga minyak kini berada di fasa naik. Pada jangka masa panjang, harga minyak bergerak dalam bentuk U kuadratik. Sejak 1860-an, harga minyak menurun sehingga tahun 1960-an dan 1970-an sebelum naik. Rata-rata pengkaji ekonomi minyak berpendapat harga minyak tidak akan turun lagi dalam jangka masa panjang. Dalam jangka masa pendek, harga minyak boleh turun naik mengikut keadaan pasaran.

Jadi, dalam situasi sekarang, memang harga minyak naik. Pendapat peribadi saya, memang subsidi minyak adalah satu bentuk pengacau keadaan pasaran. Seeloknya harga minyak dibiar mengikut kadar pasaran. Cuma, bagi keadaan ini berlaku, saya ada satu syarat. Kerajaan berkata, mereka tidak mampu menanggung subsidi yang begitu tinggi kerana harga minyak dunia adalah di luar kawalan kerajaan. Benar, kita tidak patut menyalahkan seseorang jika sesuatu itu berlaku di luar kawalan mereka. Tetapi, kerajaan sebagai pemerintah negara pasti mampu menyediakan sistem pengangkutan awam yang baik dan efektif. Maka, sekiranya kerajaan berhasrat menghapuskan subsidi, eloklah kerajaan bekerja keras memastikan sistem pengangkutan awam yang ada benar-benar baik. Pengangkutan awam dalam negara sudah pasti berada di bawah telunjuk kuasa kerajaan. Jika tidak, ia adalah kerajaan yang tidak efisien.

Secara peribadi, saya tidak kisah jika harga minyak melambung sehingga RM 5 seliter asalkan sistem pengangkutan awam elok. Apabila sistem pengangkutan awam elok, maka kerajaan sudah melaksanakan sebahagian tanggungjawab memudahkan rakyat bergerak. Sekiranya rakyat tetap mahu menggunakan kenderaan persendirian, maka mereka perlu membayar harga minyak yang tinggi. Seolah-olah denda kerana tidak mahu menggunakan sistem pengangkutan awam yang hebat. Juga sebagai denda kerana mereka menambah pencemaran alam berbanding jika mereka menaiki kenderaan awam.

Seperti di Kanada, harga minyak ditentukan pasaran. Rakyat tidak marah kerana sistem pengangkutan yang dipantau kerajaan sangat baik, dan di sana tiada tol. Di Ottawa misalnya, rakyat boleh semak jam berapa bas seterusnya akan tiba melalui telefon atau internet, dan bas tiba tepat pada waktunya, jika berbeza pun disasarkan kepada empat minit sahaja. Oleh yang demikian, ramai yang suka menggunakan pengangkutan awam kerana mudah dan murah. Boleh bergerak ke mana sahaja.

Apa pun, ini sekadar pendapat peribadi saya sahaja.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum..
Benar tulisan saudara berkaitan dengan kerajaan perlu mempertingkatkan mutu public transport di Malaysia. Keadaan di Kanada sama seperti di New Zealand. Public transport di NZ sgt bagus dan reliable. Malah terdpt free bus disediakan yg mana bas free bus ini melalui jalan2 utama di bandar Auckland. Tambahan lagi , saya sbg student sgt mudah utk berulang alik ke rumah, uni dan downtown jika ingin membeli keperluan di downtown. Sudah hampr 1 1/2 thn saya tidak pulang. Semakin lama di negara org semakin tinggi harapan kepada negara utk berubah menjadi lebih baik.