Antara tarikan utama Kota Bharu ialah Kompleks Pasar Besar Siti Khadijah yang besar dan meriah. Selepas meletakkan kereta di Jalan Pintu Pong, penulis dan keluarga ke Bazar Mydin sebentar. Kemudian baru menuju ke Kompleks Pasar Siti Khadijah.
Bertentangan dengan kompleks pasar, ada dua bank - iaitu Maybank dan Bank Simpanan Nasional. Malangnya hanya ada satu sahaja mesin ATM untuk pengeluaran wang. Jadi perlu beratur panjang, maklum sahajalah orang Kelantan banyak wang - lantas kenapa bank-bank tidak mahu membanyakkan kemudahan prasarana di sini? Setentang dengan Maybank ada dua farmasi, sekiranya perlu membeli ubat-ubatan boleh ke sini dan bandingkan harga sebelum membeli.
Sebahagian dari Kompleks Pasar Besar Siti Khadijah. Bangunan ini menempatkan gerai-gerai yang menjual barangan basah, makanan dan peralatan pertukangan dan senjata.
Antara bangunan utama Kompleks Pasar Besar Siti Khadijah. Bangunan berwarna oren ada tiga tingkat. Tingkat bawah untuk barang mentah basah, tingkat dua untuk barang mentah kering manakala tingkat tiga menjual pakaian.
Antara gerai yang sempat disinggah penulis dan keluarga di tingkat dua pasar. Beli sedikit dodol dan kuih sebagai ole-ole untuk dibawa pulang untuk dikongsi bersama rakan sepejabat.
Sewaktu di pasar, anda perlu pandai tawar-menawar. Kadangkala harga pertama yang disebut oleh peniaga sebenarnya adalah dua kali ganda harga sebenar. Untuk mendapatkan harga terbaik, anda perlu pandai bercakap pelat Kelantan, kerana pada masyarakat peniaga di sini, pelancong luar ada duit lebih dan tidak berkira sangat untuk membeli. Jika datang sebelah pagi boleh minta harga 'gori', atau harga pemula perniagaan untuk hari itu (a.k.a. pembuka pintu rezeki). Satu lagi, layanan yang diterima dari peniaga di sini berbeza mengikut musim. Sekiranya anda datang pada musim cuti sekolah, jangan harap anda akan dilayan dengan baik. Alhamdulillah kunjungan kali ini bukan pada musim cuti sekolah, jadi apabila penulis dan keluarga meminta diskaun lebih pun dilayan dengan baik.
No comments:
Post a Comment