Sebagai pembuka tirai khutbah, khatib menceritakan asal-usul penetapan tarikh Hijrah. Pada zaman pemerintahan 'Umar ibn al-Khattab radiyallahu 'anhu, umat Islam berhajatkan kepada taqwim. Maka, perbincangan mengenai perkara tersebut akhirnya memutuskan untuk mengira taqwim Islam bermula dari peristiwa Hijrah al-Rasul sallallahu 'alaihi wasallam, kerana Hijrah merupakan peristiwa yang amat signifikan - ia adalah tanda permulaan kejayaan Islam dengan tertubuhnya Kerajaan Islam pertama di Madinah.
Seterusnya khatib membincangkan pula peristiwa kewafatan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Betapa emosinya 'Umar, dan tenang pula Abu Bakr membacakan ayat 144 dari Surah Ali 'Imran yang berjaya mengetuk hati para Sahabat bahawa kewafatan al-Rasul adalah sesuatu yang nyata.
"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang (manusia yang dilantik sebagai) rasul, sesungguhnya telah ada pula sebelumnya rasul-rasul lain yang diutus. Adakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling ke belakang (kembali pada kejahilan)? Sesiapa yang berpaling ke belakangnya makan dia tidak memudaratkan Allah dengan sesuatu apa pun, dan Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur."Sejarah tidak mencatatkan pula jika ada di antara para Sahabah yang menumbuk-numbuk dada atau mengoyak pakaian mereka, menjerit untuk menzahirkan rasa dukacita atas kewafatan Rasulullah yang amat mereka cintai. Bahkan Rasulullah sendiri telah mengajar bagaimana untuk menghadapi peristiwa kematian seseorang yang kita cintai. Khatib merujuk kepada kisah kewafatan Ibrahim ibn al-Rasul sejurus selepas Peperangan Tabuk, Tahun 10 Hijrah. Apa yang baginda lakukan tatkala menghadapi peristiwa sedih ini? Lihat kata-kata baginda: "Sesungguhnya air mata menitis, dan hati menjadi dukacita, namun kita tidak akan berkata apa-apa selain dari apa yang disukai Tuhan kita. Wahai Ibrahim, kami sangat sedih dengan pemergianmu." Begitu juga tatkala baginda kehilangan isteri yang amat dikasihi, Khadijah bint Khuwailid radiyallahu 'anha dan tatkala ayah saudara yang amat dicintai, Hamzah ibn 'Abd al-Muttalib radiyallahu 'anhu yang gugur di medan Uhud.
"[Orang-orang yang sabar] iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: "Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un" - (sesungguhnya kita adalah milik Allah, dan sesungguhnya kepada-Nya kita kembali)."Tamat khutbah pertama. Dalam khutbah kedua yang lebih ringkas, khatib menyentuh pula isu beramal dengan al-Sunnah.
Ikhlas semata-mata tidak cukup untuk memastikan amalan kita diterima. Sebaliknya, ikhlas mesti disertai dengan satu lagi elemen penting, iaitu bertepatan dengan al-Sunnah. Aqal semata-mata tidak cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk sesuatu perkara.
Khatib memberi contoh mudah - solat Asar yang akan dikerjakan jamaah selepas selesai solat Jumaat. Andai ada seorang Muslim yang ingin sangat mendekatkan dirinya kepada Allah, maka dia ingin menunaikan solat Asar dengan lima rakaat - extra satu rakaat dengan harapan akan mendapat pahala lebih. Pada pertimbangan aqal, bukankah itu sesuatu yang baik? Apa salahnya, dia bukan berbuat maksiat seperti berzina atau minum arak. Sebaliknya dia hanya ingin menambah amalan agar lebih dekat dengan Tuhan. Namun, amalan tersebut tetap tertolak, bahkan dia berdosa kerana tidak mematuhi al-Sunnah. Nyata pertimbangan aqal semata-mata belum cukup. Walaupun pada sangkaan aqal kita, sesuatu amalan itu baik, periksa dahulu dengan tuntutan al-Sunnah, kerana sesuatu yang baik pada mata kita belum tentu baik di sisi Allah.
Akhir sekali, khatib menganjurkan kepada semua agar berpuasa pada hari 'Asyura dan Tasu'a tidak lama lagi...
No comments:
Post a Comment