Apakah hukum mempelajari ilmu Iman?
Sesungguhnya hukum mempelajari ilmu Iman itu adalah fardhu 'ain bagi setiap Muslim dan Muslimah, sehingga hati kita merasa yakin dan aqal kita merasa puas bahawa kita berada di atas agama yang benar.
Jika mempelajari ilmu Iman itu wajib, berapakah kadar banyak ilmu yang wajib dipelajari?
Selagi hati kita belum yakin, atau aqal kita belum puas dengan hujjah-hujjah yang dikemukakan, maka wajib bagi kita untuk belajar ilmu Iman sehingga kita mencapai tahap tersebut. Andai terdapat kekurangan, maka kita masih belum menyempurnakan kewajipan tersebut.
Sekiranya datang seseorang membawa syubhah yang menyebabkan kita merasa syak denhan iman kita, maka wajib bagi kita untuk membersihkan diri kita dari syubhah tersebut dan mencari jawapan kepada syubhah dan hujjah untuk menolaknya. Apa-apa yang lebih dari itu maka ia menjadi fardhu kifayah; contohnya mengetahui hujjah untuk menolak kesemua syubhah golongan Mulhid, hujjah menolak golongan falsafah atau kumpulan yang batil, hujjah menentang ahli-ahli agama lain yang sesat, dan mengetahui dalil-dalil yang banyak mengenai kejadian langit dan bumi dengan terperinci. Kesemua ini adalah contoh fardhu kifayah, di mana wajib untuk ada di kalangan umat Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam yang mengetahui perkara tersebut, sehingga apabila ada seseorang datang membawa syubhah dalam agama maka akan ada di antara kita yang mampu bangun menolak kesemua hujjah tersebut, dan membantu individu-individu yang terkesan dengan dakyah syubhah tersebut bebas kembali bersih daripadanya.
Apakah dalil-dalil yang menunjukkan kewajiban mempelajari ilmu Iman?
Firman Allah: "Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kemudian mereka tidak merasa syak (ragu-ragu)..." [al-Hujurat, 15]
Firman Allah: "Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah..." [Muhammad, 19]
Dan firman Allah: "Adakah seseorang yang mengetahui apa yang diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam) daripada Tuhanmu adalah kebenaran sama dengan seseorang yang buta?..." [al-Ra'd, 19]
Maka wajib bagi kita untuk mempelajari ilmu Iman sehingga mencapai darjat keyakinan ini.
*Dipetik dan diubahsuai dari 'Ilmu al-Iman karangan al-Syeikh 'Abd al-Majid ibn 'Aziz al-Zindaniy, m/s 16.
Monday, January 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment