Jumaat, 5 Januari. Selesai sarapan, masa dihabiskan dengan membaca perkembangan Malaysia dan dunia. Kira-kira jam 11 pagi, Mishal tiba. Sejam kemudian, kami mengorak langkah ke kampus untuk Solat Jumaat di Gymnasium.
Khutbah sudah bermula tatkala kami tiba. Pengisian khutbah sangat menarik. Antaranya, khatib menyeru umat Islam agar tidak terpengaruh dengan provokasi yang dilakukan oleh musuh. Fitrah manusia memberi tindak balas apabila seseorang yang mereka sayangi dicaci dan dihina. Bagi seorang muslim, cintanya kepada agamanya lebih utama. Dia perlu lebih bertindak apabila Allah dan Rasul-Nya dihina. Dia perlu memberi respons jika ada di antara Sahabah yang mulia dan isteri-isteri Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ditohmah. Sambil menyebut tauladan Rasulullah yang tidak pernah marah kerana sebab peribadi, begitulah yang sepatutnya kita contohi - marah kerana Allah!
Kemudian, seorang muslim tidak patut membalas cercaan dan penghinaan dengan cercaan dan penghinaan kembali. Lihat sahaja apa yang berlaku di Iraq. Tindakan-tindakan provokasi musuh Islam berjaya menyebabkan umat Islam bunuh-membunuh sesama mereka. Hanya kerana diri kita atau kaum keluarga kita dicerca, itu tidak memberi lesen kepada kita untuk mencerca diri orang lain atau kaum keluarga mereka. Berapa banyak contoh tauladan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang membalas kejahatan orang dengan kebaikan. Cukuplah kemusnahan yang ada di sekeliling kita. Jangan mudah melatah dengan provokasi musuh.
Selesai solat, Presiden Muslim Students Association (MSA) bangun meminta para hadirin tunggu sebentar kerana ada kata-kata penting yang ingin disampaikan. Isu yang dibangkitkan ialah beberapa kejadian yang tidak sepatutnya berlaku di surau yang diamanahkan oleh pentadbiran universiti kepada pelajar-pelajar Islam. Pertama, batu-batu turbah kepunyaan pelajar-pelajar berfahaman Syi'ah telah dicuri. Kedua, selipar untuk kemudahan mengambil wuduk turut dicuri. Ketiga, mikrofon pun dicuri. Keempat, tabung derma surau pula hilang. Apa nak jadi ni? Mungkin tiba masanya pelajar-pelajar berfahaman Syi'ah membawa batu-batu tersebut bersama mereka, dan mikrofon dikunci dalam almari. Selipar? Beli yang paling murah dan buruk, yang mana orang pun tak sanggup nak curi. Tabung? Mungkin perlu dikunci juga...
Malam dihabiskan untuk belajar Econometrics II dan Macroeconomics.
Saturday, January 06, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment