Tuesday, January 23, 2007

Ucapan State of the Union dan Dasar Luar Presiden George W. Bush


Berikut adalah petikan ucapan State of the Union yang disampaikan oleh Presiden George W. Bush di hadapan ahli-ahli Kongres berkenaan dasar polisi luar Amerika Syarikat untuk tahun 2007.
"Negara kita sedang cuba untuk melaksanakan strategi baru di Iraq, dan saya meminta kesemua kita memberi peluang melihat ia berhasil."
Rayuan ini dibuat oleh Presiden kerana kedua-dua Dewan Senat dan Dewan Perwakilan di Kongres kini dikuasai Parti Demokrat selepas Pilihanraya 2006. Kebanyakan ahli Demokrat semakin lantang bersuara menentang keputusan Presiden menambah tentera di Iraq, bahkan ramai yang berpendapat untuk segera memanggil pulang tentera di Iraq. Dapatkah rayuan ini mengubah pendirian ahli-ahli Demokrat?

Rasanya sukar sekali, kerana ramai yang berpendapat Presiden gagal menyediakan hala tuju yang sempurna untuk Iraq, ditambah pula dengan keengganan kerajaan Iraq sendiri untuk memberi kerjasama penuh. Dalam ucapannya, beliau sendiri gagal menyediakan hala tuju yang jelas untuk meyakinkan ahli-ahli dewan.
"Peperangan menentang keganasan adalah usaha yang melangkaui sempadan generasi kerana ia akan berterusan buat jangka masa yang panjang biarpun kita telah meyerahkan tugas kepada orang lain."
"Untuk memenangi perang menentang keganasan, kita perlu menjejak dan menyerang musuh di tempat mereka. Kita berhutang budi dengan perwira-perwira negara yang mempertaruhkan jiwa raga mereka untuk keselamatan kita. Selagi musuh masih wujud, selagi itu Amerika menjadi sebuah negara dalam peperangan."
Nampak gaya, selagi George W. Bush menjadi Presiden, selagi itulah Amerika akan hidup dalam peperangan. Kenyataan ini jelas menunjukkan pendirian Presiden yang sewenang-wenangnya membawa negaranya sendiri ke kancah peperangan, menghantar ketumbukan tentera ke medan yang beribu-ribu batu jauhnya dari negaranya.
"Osama bin Laden mengisytiharkan bahawa mati lebih dicintainya daripada hidup bersama orang kafir, manakala Syiah mengimpikan untuk menguasai Timur Tengah, ini semua menjadi ancaman terhadap Amerika."
"Perang ini bukan sekadar berlawan senjata, tetapi lebih kepada pertentangan ideologi. Persoalan untuk kita rakyat Amerika, adakah kita akan membantu penduduk Timur Tengah mendapatkan hak asasi mereka? Jawapan saya, kita wajib membantu mereka demi keselamatan kita sendiri. Untuk meningkatkan tahap keselamatan yang kita nikmati, kita perlu membantu mereka yang berfikiran sederhana."
Jelas Presiden mengakui kesilapan tindakan ketenteraan yang diambilnya awal dulu. Aktiviti ketenteraan yang diambil selama ini jelas lebih menggugat hak asasi yang dinikmati rakyat Timur Tengah berbanding keadaan mereka sebelum ini. Sungguhpun diperintah oleh diktator atau apa jua istilah yang dipropagandakan mereka, sekurang-kurangnya mereka mampu menikmati keamanan dan keselamatan walaupun terhad. Sementelah tindakan ketenteraan diambil, masih adakah di kalangan mereka yang diserang bersikap sederhana? Rakyat negara manakah di dunia ini akan bersikap sederhana apabila melihat negaranya diceroboh kuasa asing, walaupun atas nama menegakkan demokrasi? Pelik sungguh teori politik yang difahami Presiden Amerika ini.
"Di Lebanon, pengganas Hezbollah menggugat kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat. Di Afghanistan, pengganas Taleban menentang tentera Afghanistan dan NATO. Di Iraq, ekstremis Sunni mengebom kawasan suci Syi'ah seperti Masjid Kubah Emas Samarra, dan akhirnya menyebabkan tercetusnya konflik Sunni-Syi'ah. Syi'ah di Iraq pula bertindak menubuhkan pasukan tentera pembunuh yang mendapat naungan Iran."
"Kita tidak boleh terus hidup jika kita mungkir janji pada kawan kita dan meninggalkan mereka, kerana ini akhirnya akan menggadaikan keselamatan kita sendiri. Kita masih punya harapan untuk memperbaiki Iraq. Kesemua ahli dewan mengetahui betapa pentingnya kejayaan di Iraq buat kita. Andai kita gagal, maka kerajaan Baghdad akhirnya akan jatuh ke tangan ekstremis. Iraq akhirnya akan menjadi sarang keganasan. Tidak ada pencapaian yang lebih penting dalam sejarah negara ini melainkan berjaya di Timur Tengah. Kita tidak berseorangan dalam perang ini. Jordan, Mesir, Arab Saudi dan negara-negara Teluk bersama kita membantu Iraq. PBB sendiri sedang menimbangkan cadangan untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Teheran. Tidak ada yang akan membenarkan Teheran memperoleh nuklear. EU dan Russia berusaha untuk menghasilkan negara demokratik Palestin yang boleh hidup aman damai di samping Israel. NATO berada di Afghanistan menyerang Taleban."
Tindakan Presiden menyerang Afghanistan dan Iraq merupakan kesilapan demi kesilapan. Kesilapan ini telah meleret dan menjadi lebih besar, yang mana tindakan untuk membetulkannya kini amatlah sukar. Ibarat barah yang semakin parah. Menarik balik tentera merupakan satu tindakan yang akan hanya menunjukkan kegagalan Presiden dalam dasar menentang keganasan yang diambilnya. Sama ada ia akan dilihat sebagai tanda menyerah kalah idealisme kebebasan terhadap keganasan atau kegagalan peribadi Presiden George W. Bush, bergantung pada perspektif masing-masing. Pada kaca mata Presiden, tanda pertama mungkin lebih signifikan dan ini akan menyebabkan beliau bertaruh habis-habisan dalam peperangan ini. Pada kaca mata saya, tanda kedua lebih signifikan. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat Amerika memberitahu Presiden mereka bahawa kegagalan di Iraq bukanlah tanda kekalahan idealisme kebebasan, ia sekadar tanda tersilapnya langkah yang diambil Presiden. Pun begitu, saya yakin Presiden Bush akan cuba habis-habisan meyakinkan rakyatnya bahawa peperangan tersebut adalah peperangan mereka bersama menentang keganasan dan melindungi kebebasan mereka. Moga-moga rakyat Amerika semakin cerdik.

Teringat dua pepatah orang tua yang sesuai menerangkan keadaan yang dihadapi Presiden Bush untuk menangani isu Iraq:
"Alang-alang menyeluk perkasam, biarlah sampai ke pangkal lengan."
Ditelan mati emak, diluah mati bapa."

No comments: