Saturday, January 27, 2007

Warna-warna Dakwah dan Unta-unta Merah

Cuba kita lihat di sekeliling kita, manusia yang mengaku beragama Islam ramai. Walaupun kulit kita berlainan warna, lidah kita bertutur dalam bahasa yang berlainan, dan kita datang dari latar budaya yang berbeza; kita tetap berkongsi aqidah yang sama. Ini adalah hasil dakwah generasi terdahulu yang tidak kenal tanda noktah pada perjuangan mereka. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka akan membawa panji-panji Islam bersama. Kebenaran yang mereka nikmati ingin sekali dikongsi bersama seluruh penghuni alam.

Namun, koleksi warna-warna kulit umat Islam pada hari ini seakan terhenti. Tiada lagi warna-warna baru dalam perhimpunan kita. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana generasi kita pada hari ini tidak meneruskan semangat dakwah generasi terdahulu. Kita merasa malu untuk mengajak manusia lain mengenal Islam dan memeluk Islam. Kita takut dimarahi manusia lain kerana mengambil masa mereka.

Sedangkan generasi terdahulu, mereka tidak pernah peduli akan semua itu. Apa yang penting bagi mereka ialah mesej kebenaran ini dapat disampaikan. Penerimaan atau tidak itu adalah hak Allah - Dia memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Alangkah baik jika umat Islam pada hari ini beramal dengan hadith unta merah: "Maka demi Allah, sekiranya Allah memberi hidayah disebakan kamu, kepada seorang lelaki adalah lebih baik untukmu daripada memilki unta-unta merah." [al-Bukhariy]

Unta-unta merah adalah lambang kemewahan dan kekayaan, ia adalah impian setiap insan pada zaman Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam. Alangkah indahnya hidup kita di dunia ini, andai cukuplah seorang manusia yang mendapat hidayah kebenaran memeluk Islam hasil usaha kita...

*Petikan khutbah Jumaat, Carleton University.

Friday, January 26, 2007

A Single Laughter in the Sea

The seas laugh, lashing on both shores.
Carried in the waves, we only know the here and now.

The heavens laugh at the troubled world.
Only they know who is to win and lose.

The mountains laugh, the rain is afar.
When the waves grow old, the world still goes on.

The clear winds laugh, such a feeling of solitude.
Bygone camaraderie, leaving behind a tinge of melancholy.

The earth laughs, solitude no more.
My sentiments laughing still.

Wednesday, January 24, 2007

How they manage the news

A guy walks in and asks the bartender, "Isn't that Bush and Cheney sitting over there?" The bartender says, "Yep, that's them." So the guy walks over and says, "Wow, this is a real honor. What are you guys doing in here?"

Bush says, "We're planning WWIII. And the guy says, "Really? What's going to happen?"

Bush says, "Well, we're going to kill 60 million Iranians this time and one bicycle repairman."

The guy exclaimed, "A bicycle repairman!!! Why kill a bicycle repairman?"

Bush turns to Cheney, punches him on the shoulder and says, "See, dummy! I told you no one would worry about the 60 million Iranians!"


*Just for fun! See whether we have the same thought as the guy or not.

Penjenayah dan Perwira dalam Intipan Sejarah

"Blair adalah penjenayah."

"Blair dan Bush telah membunuh lebih ramai mangsa berbanding Osama bin Laden dan Saddam Hussein. Mereka telah mengheret negara dengan tergesa-gesa ke kancah peperangan, menceroboh negara lain."

"Saya percaya Blair sepatutnya diheret ke Mahkamah Antarabangsa dan diadili untuk tindakannya mencetuskan peperangan ini."

"Tidak ada sesiapa, hatta Tuhan sekalipun, memberi kebenaran eksklusif kepada Britain untuk mengambil tindakan unilateral dalam menghadapi apa-apa situasi."

Petikan wawancara bersama George Galloway dalam rancangan Hardtalk. Bolehkah kedua-dua Blair dan Bush dibicarakan di Mahkamah Antarabangsa? Mungkin benar tanggapan bahawa sejarah ditulis oleh pihak yang menang, walaupun mereka lebih ganas dan membunuh lebih ramai mangsa. Natijah peperangan sangatlah penting, kerana ia akan menentukan siapa yang akan ditabal sebagai wira yang baik dan siapa pula yang akan dicaci sebagai penjahat yang sememangnya jahat. Adakah fitrah dunia sebegini?

Tuesday, January 23, 2007

Ucapan State of the Union dan Dasar Luar Presiden George W. Bush


Berikut adalah petikan ucapan State of the Union yang disampaikan oleh Presiden George W. Bush di hadapan ahli-ahli Kongres berkenaan dasar polisi luar Amerika Syarikat untuk tahun 2007.
"Negara kita sedang cuba untuk melaksanakan strategi baru di Iraq, dan saya meminta kesemua kita memberi peluang melihat ia berhasil."
Rayuan ini dibuat oleh Presiden kerana kedua-dua Dewan Senat dan Dewan Perwakilan di Kongres kini dikuasai Parti Demokrat selepas Pilihanraya 2006. Kebanyakan ahli Demokrat semakin lantang bersuara menentang keputusan Presiden menambah tentera di Iraq, bahkan ramai yang berpendapat untuk segera memanggil pulang tentera di Iraq. Dapatkah rayuan ini mengubah pendirian ahli-ahli Demokrat?

Rasanya sukar sekali, kerana ramai yang berpendapat Presiden gagal menyediakan hala tuju yang sempurna untuk Iraq, ditambah pula dengan keengganan kerajaan Iraq sendiri untuk memberi kerjasama penuh. Dalam ucapannya, beliau sendiri gagal menyediakan hala tuju yang jelas untuk meyakinkan ahli-ahli dewan.
"Peperangan menentang keganasan adalah usaha yang melangkaui sempadan generasi kerana ia akan berterusan buat jangka masa yang panjang biarpun kita telah meyerahkan tugas kepada orang lain."
"Untuk memenangi perang menentang keganasan, kita perlu menjejak dan menyerang musuh di tempat mereka. Kita berhutang budi dengan perwira-perwira negara yang mempertaruhkan jiwa raga mereka untuk keselamatan kita. Selagi musuh masih wujud, selagi itu Amerika menjadi sebuah negara dalam peperangan."
Nampak gaya, selagi George W. Bush menjadi Presiden, selagi itulah Amerika akan hidup dalam peperangan. Kenyataan ini jelas menunjukkan pendirian Presiden yang sewenang-wenangnya membawa negaranya sendiri ke kancah peperangan, menghantar ketumbukan tentera ke medan yang beribu-ribu batu jauhnya dari negaranya.
"Osama bin Laden mengisytiharkan bahawa mati lebih dicintainya daripada hidup bersama orang kafir, manakala Syiah mengimpikan untuk menguasai Timur Tengah, ini semua menjadi ancaman terhadap Amerika."
"Perang ini bukan sekadar berlawan senjata, tetapi lebih kepada pertentangan ideologi. Persoalan untuk kita rakyat Amerika, adakah kita akan membantu penduduk Timur Tengah mendapatkan hak asasi mereka? Jawapan saya, kita wajib membantu mereka demi keselamatan kita sendiri. Untuk meningkatkan tahap keselamatan yang kita nikmati, kita perlu membantu mereka yang berfikiran sederhana."
Jelas Presiden mengakui kesilapan tindakan ketenteraan yang diambilnya awal dulu. Aktiviti ketenteraan yang diambil selama ini jelas lebih menggugat hak asasi yang dinikmati rakyat Timur Tengah berbanding keadaan mereka sebelum ini. Sungguhpun diperintah oleh diktator atau apa jua istilah yang dipropagandakan mereka, sekurang-kurangnya mereka mampu menikmati keamanan dan keselamatan walaupun terhad. Sementelah tindakan ketenteraan diambil, masih adakah di kalangan mereka yang diserang bersikap sederhana? Rakyat negara manakah di dunia ini akan bersikap sederhana apabila melihat negaranya diceroboh kuasa asing, walaupun atas nama menegakkan demokrasi? Pelik sungguh teori politik yang difahami Presiden Amerika ini.
"Di Lebanon, pengganas Hezbollah menggugat kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat. Di Afghanistan, pengganas Taleban menentang tentera Afghanistan dan NATO. Di Iraq, ekstremis Sunni mengebom kawasan suci Syi'ah seperti Masjid Kubah Emas Samarra, dan akhirnya menyebabkan tercetusnya konflik Sunni-Syi'ah. Syi'ah di Iraq pula bertindak menubuhkan pasukan tentera pembunuh yang mendapat naungan Iran."
"Kita tidak boleh terus hidup jika kita mungkir janji pada kawan kita dan meninggalkan mereka, kerana ini akhirnya akan menggadaikan keselamatan kita sendiri. Kita masih punya harapan untuk memperbaiki Iraq. Kesemua ahli dewan mengetahui betapa pentingnya kejayaan di Iraq buat kita. Andai kita gagal, maka kerajaan Baghdad akhirnya akan jatuh ke tangan ekstremis. Iraq akhirnya akan menjadi sarang keganasan. Tidak ada pencapaian yang lebih penting dalam sejarah negara ini melainkan berjaya di Timur Tengah. Kita tidak berseorangan dalam perang ini. Jordan, Mesir, Arab Saudi dan negara-negara Teluk bersama kita membantu Iraq. PBB sendiri sedang menimbangkan cadangan untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Teheran. Tidak ada yang akan membenarkan Teheran memperoleh nuklear. EU dan Russia berusaha untuk menghasilkan negara demokratik Palestin yang boleh hidup aman damai di samping Israel. NATO berada di Afghanistan menyerang Taleban."
Tindakan Presiden menyerang Afghanistan dan Iraq merupakan kesilapan demi kesilapan. Kesilapan ini telah meleret dan menjadi lebih besar, yang mana tindakan untuk membetulkannya kini amatlah sukar. Ibarat barah yang semakin parah. Menarik balik tentera merupakan satu tindakan yang akan hanya menunjukkan kegagalan Presiden dalam dasar menentang keganasan yang diambilnya. Sama ada ia akan dilihat sebagai tanda menyerah kalah idealisme kebebasan terhadap keganasan atau kegagalan peribadi Presiden George W. Bush, bergantung pada perspektif masing-masing. Pada kaca mata Presiden, tanda pertama mungkin lebih signifikan dan ini akan menyebabkan beliau bertaruh habis-habisan dalam peperangan ini. Pada kaca mata saya, tanda kedua lebih signifikan. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat Amerika memberitahu Presiden mereka bahawa kegagalan di Iraq bukanlah tanda kekalahan idealisme kebebasan, ia sekadar tanda tersilapnya langkah yang diambil Presiden. Pun begitu, saya yakin Presiden Bush akan cuba habis-habisan meyakinkan rakyatnya bahawa peperangan tersebut adalah peperangan mereka bersama menentang keganasan dan melindungi kebebasan mereka. Moga-moga rakyat Amerika semakin cerdik.

Teringat dua pepatah orang tua yang sesuai menerangkan keadaan yang dihadapi Presiden Bush untuk menangani isu Iraq:
"Alang-alang menyeluk perkasam, biarlah sampai ke pangkal lengan."
Ditelan mati emak, diluah mati bapa."

Monday, January 22, 2007

Catatan Muharram

Hijrah merupakan antara peristiwa penting dalam sejarah dakwah Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam. Atas keistimewaan tersebut, Hijrah dipilih sebagai tarikh permulaan taqwim Islam oleh Amir al-Mu'minin 'Umar ibn al-Khattab radiyallahu 'anhu. Setiap kali tibanya Muharram, maka akan kedengaranlah ceramah dan kuliah sana sini menceritakan peristiwa Hijrah dan pengajaran untuk dijadikan pedoman.

Namun begitu, kadangkala hati menjadi sedih melihat kekeliruan yang melanda umat Islam. Tidak dinafikan, ramai di kalangan umat Islam yang berkeinginan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan pelbagai amalan. Semangat ini, walaupun kemunculannya bermusim, sepatutnya dihargai kerana bukan mudah bagi seseorang untuk timbul hasrat mendekatkan diri kepada Allah dengan tulus ikhlas. Namun, alangkah sayangnya jika semangat ini tidak diledakkan melalui saluran yang betul. Akhirnya, muncullah pelbagai amalan sempena Muharram yang tidak pernah disarankan oleh Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam dan tidak pernah dilakukan oleh para Sahabah radiyallahu 'anhum. Benarlah kata-kata 'Abdullah ibn Mas'ud radiyallahu 'anhu: "Banyak sekali orang yang bermaksud untuk berbuat baik, tetapi mereka tidak mendapatnya." [Musnad al-Darimi, Sahih menurut al-Albaniy].

Secara ringkas, antara amalan yang disangka sunat dilakukan pada Muharram tetapi tidak berasal dari Sunnah Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam ialah: memakai celak pada hari Asyura, mendirikan solat sunat khas sempena hari Asyura, mandi sunat hari Asyura, berlebih-lebihan dalam bersedekah pada hari Asyura dengan sangkaan rezeki murah sepanjang tahun, menyediakan makanan khas seperti bubur Asyura dan membaca doa khas akhir tahun dan awal tahun.

Amalan yang warid dari Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sempena Muharram ialah berpuasa pada hari Asyura.
"Nabi sallallahu 'alayhi wasallam tiba di Madinah, kemudian baginda melihat orang-orangYahudi berpuasa pada hari Asyura. Baginda bertanya:"Apa ini?" Mereka menjawab: "Sebuah hari yang baik, ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, maka Musa berpuasa pada hari itu sebagai tanda syukur. Maka Rasulullah menjawab:"Aku lebih berhak terhadap Musa daripada kalian (Yahudi), maka kami akan berpuasa pada hari itu sebagai bentuk pengagungan kami terhadap hari itu." [al-Bukhariy]
"Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam ditanya tentang puasa Asyura, baginda menjawab: "Puasa itu dapat menghapuskan dosa-dosa kecil pada tahun sebelumnya."[Muslim]
Untuk mengelakkan dari menyerupai Yahudi, majoriti 'ulama hadith menyarankan umat Islam
agar turut berpuasa pada hari Tasu'a:
"Jika aku masih hidup pada tahun depan, sungguh aku akan melaksanakan
puasa pada hari kesembilan." [Muslim, Ibn Majah, Ahmad dan al-Thabrani]
Namun begitu, kita doakan moga-moga perbuatan mereka yang tidak mengetahui diampunkan
Allah atas sebab kejahilan mereka dan diberi ganjaran atas semangat mereka yang ikhlas.

Antara tulisan ringkas dan padat mengenai Muharram:
1. Bulan Muharam - Elakkan sebarang kepercayaan karut [Bicara Agama, Utusan Malaysia]
2. Sejarah dan keutamaan Puasa Asyura [Majalah As-Sunnah, Indonesia]

Hukum Mempelajari Ilmu Iman

Apakah hukum mempelajari ilmu Iman?

Sesungguhnya hukum mempelajari ilmu Iman itu adalah fardhu 'ain bagi setiap Muslim dan Muslimah, sehingga hati kita merasa yakin dan aqal kita merasa puas bahawa kita berada di atas agama yang benar.

Jika mempelajari ilmu Iman itu wajib, berapakah kadar banyak ilmu yang wajib dipelajari?

Selagi hati kita belum yakin, atau aqal kita belum puas dengan hujjah-hujjah yang dikemukakan, maka wajib bagi kita untuk belajar ilmu Iman sehingga kita mencapai tahap tersebut. Andai terdapat kekurangan, maka kita masih belum menyempurnakan kewajipan tersebut.

Sekiranya datang seseorang membawa syubhah yang menyebabkan kita merasa syak denhan iman kita, maka wajib bagi kita untuk membersihkan diri kita dari syubhah tersebut dan mencari jawapan kepada syubhah dan hujjah untuk menolaknya. Apa-apa yang lebih dari itu maka ia menjadi fardhu kifayah; contohnya mengetahui hujjah untuk menolak kesemua syubhah golongan Mulhid, hujjah menolak golongan falsafah atau kumpulan yang batil, hujjah menentang ahli-ahli agama lain yang sesat, dan mengetahui dalil-dalil yang banyak mengenai kejadian langit dan bumi dengan terperinci. Kesemua ini adalah contoh fardhu kifayah, di mana wajib untuk ada di kalangan umat Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam yang mengetahui perkara tersebut, sehingga apabila ada seseorang datang membawa syubhah dalam agama maka akan ada di antara kita yang mampu bangun menolak kesemua hujjah tersebut, dan membantu individu-individu yang terkesan dengan dakyah syubhah tersebut bebas kembali bersih daripadanya.

Apakah dalil-dalil yang menunjukkan kewajiban mempelajari ilmu Iman?

Firman Allah: "Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kemudian mereka tidak merasa syak (ragu-ragu)..." [al-Hujurat, 15]

Firman Allah: "Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah..." [Muhammad, 19]

Dan firman Allah: "Adakah seseorang yang mengetahui apa yang diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam) daripada Tuhanmu adalah kebenaran sama dengan seseorang yang buta?..." [al-Ra'd, 19]

Maka wajib bagi kita untuk mempelajari ilmu Iman sehingga mencapai darjat keyakinan ini.

*Dipetik dan diubahsuai dari 'Ilmu al-Iman karangan al-Syeikh 'Abd al-Majid ibn 'Aziz al-Zindaniy, m/s 16.

Sunday, January 21, 2007

Kebenaran Di Sebalik Aqidah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari

Tatkala mencari maklumat mengenai Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musallin - kitab tulisan al-Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari yang membahaskan aqidah Islam, secara tidak sengaja terjumpa artikel ringkas yang menarik mengenai aqidah beliau. Selain membincangkan mengenai perubahan al-Imam Abu al-Hasan dari Muktazilah kepada Ahl Al-Sunnah, penulis artikel ini turut membicarakan pendirian al-Imam mengenai sifat-sifat Allah dengan merujuk kitab al-Ibanah fi Usul al-Diyanah.

Petikan artikel (dengan sedikit pembetulan ejaan dan tatabahasa):
Begitulah seterusnya apa yang beliau sebutkan di dalam kitabnya berkenaan sifat-sifat Allah tanpa mengubah maknanya, tanpa bertanyakan bagaimana, dan tanpa menafikannya.

Beliau mengisbatkan sifat-sifat itu seperti yang layak dengan kebesaran Allah dan ketinggian-Nya, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluk; sama seperti para Imam Ahl al-Sunnah yang lain, iaitu mengisbatkan apa yang dinyatakan oleh Allah tentang tentang diri-Nya dan juga apa yang telah dijelaskan oleh Nabi-Nya sallallahu 'alayhi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman yang bermaksud: "Tidak ada seumpama-Nya sesuatu, dan Allah Maha Mendengar lagi Melihat."
Syabas buat Islam Hadhari kerana berjaya menghasilkan penulisan ilmiyah yang lengkap dengan rujukan, walaupun ada kesalahan ejaan dan tatabahasa. Klik gambar di atas untuk link ke artikel tersebut.

Friday, January 19, 2007

Hijrah, Ujian, Sunnah dan Dakwah

Keputusan untuk bersolat Jumaat bersama rakan-rakan siswa di kampus ternyata tidak menghampakan kerana khutbah yang disampaikan hari ini menarik walaupun terlalu panjang, hampir sejam lamanya khatib berkhutbah.

Sebagai pembuka tirai khutbah, khatib menceritakan asal-usul penetapan tarikh Hijrah. Pada zaman pemerintahan 'Umar ibn al-Khattab radiyallahu 'anhu, umat Islam berhajatkan kepada taqwim. Maka, perbincangan mengenai perkara tersebut akhirnya memutuskan untuk mengira taqwim Islam bermula dari peristiwa Hijrah al-Rasul sallallahu 'alaihi wasallam, kerana Hijrah merupakan peristiwa yang amat signifikan - ia adalah tanda permulaan kejayaan Islam dengan tertubuhnya Kerajaan Islam pertama di Madinah.

Lihat sahaja betapa bijaksana 'Umar dan para Sahabat radiyallahu 'anhum - mereka tidak memilih tarikh kelahiran Rasulullah seperti yang dilakukan pengikut Kristian terhadap 'Isa 'alayhissalam (dan sebahagian umat Islam hari ini yang membesarkan hari kelahiran baginda!), dan mereka tidak juga memilih tarikh kewafatan baginda. (Perbandingan sayang kita pada Rasulullah dan sayang para Sahabah pada Rasulullah ibarat langit dengan bumi - para Sahabah mendahului kita dalam mencintai Rasulullah, namun mereka tetap tidak meraikan hari kelahiran baginda - nyata ini bukan sesuatu dari al-Sunnah).

Seterusnya khatib membincangkan pula peristiwa kewafatan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Betapa emosinya 'Umar, dan tenang pula Abu Bakr membacakan ayat 144 dari Surah Ali 'Imran yang berjaya mengetuk hati para Sahabat bahawa kewafatan al-Rasul adalah sesuatu yang nyata.
"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang (manusia yang dilantik sebagai) rasul, sesungguhnya telah ada pula sebelumnya rasul-rasul lain yang diutus. Adakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling ke belakang (kembali pada kejahilan)? Sesiapa yang berpaling ke belakangnya makan dia tidak memudaratkan Allah dengan sesuatu apa pun, dan Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur."
Sejarah tidak mencatatkan pula jika ada di antara para Sahabah yang menumbuk-numbuk dada atau mengoyak pakaian mereka, menjerit untuk menzahirkan rasa dukacita atas kewafatan Rasulullah yang amat mereka cintai. Bahkan Rasulullah sendiri telah mengajar bagaimana untuk menghadapi peristiwa kematian seseorang yang kita cintai. Khatib merujuk kepada kisah kewafatan Ibrahim ibn al-Rasul sejurus selepas Peperangan Tabuk, Tahun 10 Hijrah. Apa yang baginda lakukan tatkala menghadapi peristiwa sedih ini? Lihat kata-kata baginda: "Sesungguhnya air mata menitis, dan hati menjadi dukacita, namun kita tidak akan berkata apa-apa selain dari apa yang disukai Tuhan kita. Wahai Ibrahim, kami sangat sedih dengan pemergianmu." Begitu juga tatkala baginda kehilangan isteri yang amat dikasihi, Khadijah bint Khuwailid radiyallahu 'anha dan tatkala ayah saudara yang amat dicintai, Hamzah ibn 'Abd al-Muttalib radiyallahu 'anhu yang gugur di medan Uhud.

Tidak ada catatan yang menyatakan baginda melakukan sesuatu yang lebih dari itu. Maka, orang Islam yang benar-benar berpandukan al-Sunnah akan memiliki keteguhan hati tatkala ditimpa musibah. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 156:
"[Orang-orang yang sabar] iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: "Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un" - (sesungguhnya kita adalah milik Allah, dan sesungguhnya kepada-Nya kita kembali)."
Tamat khutbah pertama. Dalam khutbah kedua yang lebih ringkas, khatib menyentuh pula isu beramal dengan al-Sunnah.

Ikhlas semata-mata tidak cukup untuk memastikan amalan kita diterima. Sebaliknya, ikhlas mesti disertai dengan satu lagi elemen penting, iaitu bertepatan dengan al-Sunnah. Aqal semata-mata tidak cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk sesuatu perkara.

Khatib memberi contoh mudah - solat Asar yang akan dikerjakan jamaah selepas selesai solat Jumaat. Andai ada seorang Muslim yang ingin sangat mendekatkan dirinya kepada Allah, maka dia ingin menunaikan solat Asar dengan lima rakaat - extra satu rakaat dengan harapan akan mendapat pahala lebih. Pada pertimbangan aqal, bukankah itu sesuatu yang baik? Apa salahnya, dia bukan berbuat maksiat seperti berzina atau minum arak. Sebaliknya dia hanya ingin menambah amalan agar lebih dekat dengan Tuhan. Namun, amalan tersebut tetap tertolak, bahkan dia berdosa kerana tidak mematuhi al-Sunnah. Nyata pertimbangan aqal semata-mata belum cukup. Walaupun pada sangkaan aqal kita, sesuatu amalan itu baik, periksa dahulu dengan tuntutan al-Sunnah, kerana sesuatu yang baik pada mata kita belum tentu baik di sisi Allah.

Khatib menutup khutbah dengan kisah 'Abdullah ibn Mas'ud radiyallahu 'anhu. 'Abdullah merupakan antara Sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang paling awal memeluk Islam. Khatib menceritakan betapa fizikal 'Abdullah tidak sesempurna Sahabat yang lain - sehingga ada yang mentertawakan betis beliau yang kecil. Namun, ukuran fizikal tidak sama dengan ukuran Iman, sehingga mendorong Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyebut bahawa betis 'Abdullah itu lebih berat di sisi Allah berbanding Uhud. Khatib memberitahu pula kegiatan 'Abdullah tatkala beliau mula-mula memeluk Islam. 'Abdullah tidak memiliki kabilah di Makkah yang boleh mempertahankan beliau andai Musyrikin Quraisy melakukan sesuatu terhadapnya, dan ketika di Makkah beliau masih muda remaja. Namun, beliau tetap menjalankan dakwah dengan membacakan al-Quran berdekatan Ka'abah yang nyata menaikan api kemarahan Quraisy. 'Abdullah telah dipukul dengan teruk sehinggakan beliau tidak sedarkan diri. Semangat dakwah anak muda ini tidak pernah padam. Bayangkan, seorang diri tanpa sesiapa pun yang boleh melindunginya, beliau tetap menjalankan seruan dakwah. Kenapa kita, pada zaman ini, yang mendapat pelbagai bentuk perlindungan dan sokonan untuk menjalankan dakwah, masih gagal untuk mengajak orang-orang bukan Islam di Kanada untuk memeluk Islam?

Akhir sekali, khatib menganjurkan kepada semua agar berpuasa pada hari 'Asyura dan Tasu'a tidak lama lagi...

Thursday, January 18, 2007

Golongan Eksklusif Dari Kalangan Agamawan

Sudah menjadi lumrah perjuangan menegakkan agama Allah akan mendapat tentangan dari pelbagai pihak. Tidak hairan jika pihak agama sendiri yang memberi tentangan. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Nabi 'Isa 'alayhissalam - bukankah autoriti agama dari kalangan pendeta Yahudi yang menentang dakwah baginda? Bukankah musyrikin Makkah yang menentang Nabi Muhammad sallallahu 'alayhi wasallam terdiri dari bangsawan Quraisy yang menjaga Ka'abah dan al-Masjid al-Haram? Golongan agama yang telah terpengaruh dengan keduniaan akhirnya merasa terancam dengan dakwah yang dibawa oleh nabi-nabi utusan Allah, sehingga menyebabkan mereka yang sepatutnya menjadi manusia pertama menyahut seruan dakwah bertukar menjadi seteru utama. Inilah golongan yang dimurkai Allah kerana mereka mengetahui kebenaran namun tetap menentangnya.

Ada juga golongan agama yang menentang dakwah disebabkan kejahilan mereka sendiri. Mereka telah sesat dalam kefahaman mereka mengenai agama, lantas tidak beroleh ilmu yang mampu membawa mereka kepada kebenaran. Mereka hidup dalam bayang-bayang, mereka menyangka bahawa kebenaran di pihak mereka sedangkan kebenaran berada bersama dakwah yang dibawa nabi-nabi utusan Allah.

Tidak kurang pula sebahagian manusia yang merasa kebenaran adalah hak milik eksklusif mereka. Hanya pendapat mereka yang benar, semua yang bertentangan dengan mereka salah. Seolah-olah agama kebenaran yang diajar oleh nabi-nabi utusan Allah adalah hak mereka. Mereka adalah manusia terpilih. Seboleh-bolehnya mereka akan menghalang manusia lain dari meneguk air kebenaran dari telaga wahyu yang dikurniakan Allah kepada nabi-nabi utusan-Nya. Seolah-olah mereka adalah penunggu pintu syurga dan neraka, hanya mereka berhak menentukan siapa yang layak untuk syurga dan siapa yang layak untuk neraka. Boleh jadi mereka lakukan perkara ini disebabkan mereka tahu kebenaran namun enggan menerimanya seperti golongan pertama tadi, atau boleh jadi mereka jahil lantas menyangka mereka benar sedangkan mereka salah seperti golongan kedua.

Bukanlah mudah bagi sesiapa pun untuk menghukum seseorang itu benar atau sesat, melainkan jika wujud bukti-bukti kukuh dan terang yang menyokong hukuman tersebut.

Sudah sampai masanya bagi kita, umat Islam, sama-sama berkongsi kebenaran Islam dengan manusia keseluruhannya. Bawalah mereka kepada kebenaran. Buktikan Islam yang kita anuti dan hayati menyebabkan kita menjadi manusia yang memberi manfaat dan menghalang mudarat. Janganlah masa kita dihabiskan dengan meletakkan label, bukankah Allah penentu segala di Akhirat nanti? Kenapa kita menyibukkan diri kita dengan sesuatu yang menjadi hak Allah, dan kemudian melupakan pula tugas yang lebih utama buat kita?

Ingat, menghukum sesuatu doktrin atau amalan sebagai sesat berbeza dengan menghukum individu sebagai sesat.

Wednesday, January 17, 2007

Natijah Perang Israel-Lubnan dan Peletakan Jawatan Panglima Tentera Israel

Dalam peperangan antara Israel dan Lebanon Julai tahun lepas, tentera Israel gagal memenuhi tiga objektif utama:

1. Menghapuskan kekuatan dan kemudahan ketenteraan Hizbullah
2. Mempertahan wilayah Israel dari serangan roket-roket Hizbullah
3. Membebaskan dua tentera Israel yang ditahan Hizbullah

Data korban: 1000 penduduk Lebanon, 43 penduduk Israel dan 116 tentera Israel. Pemimpin Hizbullah, Syeikh Hassan Nasrallah mengisytihar mereka telah berjaya menghadapi serangan Israel dalam perang tersebut.

Selain kegagalan memenuhi objektif-objektif tersebut, penyiasatan yang dijalankan menunjukkan banyak lagi kesilapan yang berlaku dalam peperangan tersebut. Antaranya, tentera yang dihantar tidak mendapat penjelasan yang secukupnya mengenai strategi peperangan dan misi mereka, dan kekurangan peralatan ketenteraan.

Sebagai panglima tentera Israel yang bertanggungjawab mengetuai serangan tersebut, akhirnya Lt. Gen. Dan Halutz meletakkan jawatan kerana gagal menyempurnakan misi tersebut. Satu lagi petunjuk yang menyokong kemenangan Nasrallah.

Seluruh organisasi peperangan tersebut, dari institusi ketenteraan sehinggalah ke badan eksekutif negara haram tersebut berada di bawah penyiasatan mendalam mengenai kesilapan yang telah berlaku. Dengan peletakan jawatan pimpinan tertinggi tentera, siasatan kini ditumpukan kepada pimpinan eksekutif yang dilihat sebagai pihak yang bertanggungjawab memulakan peperangan tersebut. Satu lagi tamparan hebat buat kerajaan Ehud Olmert setelah Menteri Keadilan Israel mengarahkan siasatan mengenai peranan beliau dalam projek penswastaan bank kedua terbesar Israel pada tahun 2005.

Korban di pihak Israel bertambah dengan peletakkan jawatan panglima angkatan tenteranya, dan sekarang tekanan dikenakan kepada badan eksekutif Israel. Tidak mustahil korban tersebut bertambah dengan peletakkan jawatan Perdana Menteri Israel dan Menteri Pertahanan...

Syriana

One of the best movies I've ever watched!

See how oil plays an important factor in world's economy and politics. The US will do anything to protect its own interest in Middle East, even if that means to assassinate a prince that is committed towards reforming his father's kingdom into a modern, democratic and developed nation. The US prefers the autocratic rule to remains as long as the conservative regime supports US interest. It also portrays how CIA works, they will easily find a scape goat whenever a problem occurs. The movie also shows how corruption leads to unemployment, and unemployment is a dangerous situation that can cause people to do the unthinkable.

Quote from a review of a US citizen on this movie:
I walked out of this movie feeling pretty depressed. As a historian, I always knew there have been forces at work in our society that act against the best interest of the average citizen. This film does an excellent job of illustrating just how politics and big business conspire to preserve the status quo which also protects their power and profits. The global interaction depicted in this film shows how all actions have consequences. The thirst our nation has for oil drives the kind of political and business policies that cause anger and hatred towards our nation. This oil addiction has led to an unjust war that was started on lies and disinformation. The result has been the deaths of over 2000 US servicemen and women, thousands more injured and tens of thousands Iraqi dead and wounded. This act has been the best tool Islamic terrorist groups have ever had in attracting followers and money to their cause. Those that attack this film obviously buy into the fantasy that America is involved in Iraq and the Middle East due to our sincere desire to spread "democracy." Anyone who is willing to have an open mind will find this film to be chilling for the implications of the storyline. This film is a must see for those who care about how the behavior of our government and big business impacts us in our everyday lives and how it will contribute to further terrorist attacks for decades to come. A well researched story with excellent actors for the numerous roles. I will buy this as soon as it comes out on DVD.
It is a must see movie. It helps a lot in understanding the current world situation.
1. Syriana Official Website
2. Wikipedia Link on Syriana
3. IMDb Review on Syriana

First Muslim Member of US Congress


For the first time ever, a Muslim is elected to be a member of US Congress. His decision to use al-Quran for reenactment of the swearing in ceremony was heavily criticized by a columnist, a representative and the public. However, he defended his action, and the al-Quran thas was used in the ceremony was originally owned by Thomas Jefferson, the 3rd President of US.
"It demonstrates that from the very beginning of our country, we had people who were visionary, who were religiously tolerant, who believed that knowledge and wisdom could be gleaned from any number of sources, including the Quran."

During an interview with CNN, he was asked about his opinion on “Muslim extremists”. He replied, “They're criminals. But I think that people who commit criminal acts should be treated like criminals, regardless of their faith.” He has also said, "Osama bin Laden no more represents Islam than Timothy McVeigh represented Christianity."(McVeigh had links to the Christian Identity commune in Elohim City, Oklahoma).

In an interview with BBC, one of the earliest questions addressed to him is whether his faith will affect his policy-making decisions, he simply replied that Islam is very important in his private affairs, but it will not affect his public decisions. Rather, the needs of his constituency will be the main factor. He supported for immediate withdrawal of US military forces from Iraq, and believed that military actions are no longer relevant in building a better Iraq. Instead, diplomatic approaches are more suitable to solve the current problems in Iraq. With regard to Palestine and Israel, he argued that there is still hope for peace, although it will take times to end the conflicts. It is time for the leaders to seriously discuss for a permanent solution.

Surely all these will make US politics more interesting.
Keith Ellison Homepage
Wikipedia Link on Keith Ellison

Monday, January 15, 2007

Kemuliaan Menuntut Ilmu Iman

"Sesungguhnya tahap kemuliaan sesuatu bidang ilmu itu diukur berdasarkan kemuliaan perkara yang dibincangkan dan dari ruang lingkup kajian yang dijalankan. Sebagai contoh, ilmu perubatan lebih mulia dari ilmu pertukangan, kerana medan perbincangan ilmu pertukangan ialah kayu, sedangkan medan perbincangan ilmu perubatan ialah anggota manusia. Adapun kemuliaan ilmu iman, maka ia terletak pada kemuliaan aspek perbincangannya, dan adakah sesuatu yang lebih hebat dari Allah pencipta segala? Adakah sesuatu yang lebih mulia dari utusan-utusan Allah dari kalangan manusia? Adakah sesuatu yang lebih penting buat manusia selain dari mengetahui agamanya sendiri, dan tujuan kewujudannya di dunia ini, dan tempat kembali yang menantinya selepas kematiannya? Atas dasar inilah maka ilmu iman adalah asas ilmu-ilmu Islam yang lain, ia merupakan ilmu yang paling utama dan paling penting secara mutlak."
Al-Syeikh 'Abd al-Majid al-Zindani, 'Ilm al-Iman, m/s 15.

Monday, January 08, 2007

New Iraq Strategy 2007


The world is waiting for President George W. Bush to announce the New Iraq Strategy 2007...

Sunday, January 07, 2007

Restoran Greek dan Saudagar Afghanistan

Sabtu, 6 Januari. Waktu pagi dihabiskan untuk study Macroeconomics bersama Mishal. Alhamdulillah, topik-topik asas Real Market & Monetary Market menurut Classical & Keynesian Economics selesai, yang tinggal hanya untuk membina struktur IS-LM. Selesai Zuhur, kami ke House of Greek di 1581 Bank Street, kerana Mishal teringin untuk merasa masakan Greek. Kami menaiki OCTranspo route 111 St Laurent ke sana.

Restorannya kecil dan buruk, hanya ada 5 kerusi untuk pengunjung. Kata Mishal, restoran seperti ini lebih bagus kerana tidak ramai pengunjung dan kecil. Seperti biasa, pilihan yang ada untuk orang Islam hanyalah vegetarian atau seafood. Kali ini kami memilih seafood: Shrimp, Calamari & Salmon. Walaupun restoran kecil, nyata mereka banyak menerima pesanan penghantaran ke rumah. Cuma, cara pemilik berbahasa menarik perhatian kami kerana dialek mereka tidak berbunyi Eropah, sebaliknya dekat dengan kawasan Timur Tengah. Terkejut kami apabila isteri pemilik sering mengucapkan salam tatkala memulakan perbualan telefon. Berat hati mengatakan mereka ini Muslim.

Selesai membayar, nyata mereka bukan orang Greek, tetapi Afghanistan. Musykilnya, mereka turut menyediakan juadah daging khinzir. Tidak hairan jika ramai orang kata, di Barat manusia mudah berubah...

Saturday, January 06, 2007

Provokasi dan Respons Seorang Muslim

Jumaat, 5 Januari. Selesai sarapan, masa dihabiskan dengan membaca perkembangan Malaysia dan dunia. Kira-kira jam 11 pagi, Mishal tiba. Sejam kemudian, kami mengorak langkah ke kampus untuk Solat Jumaat di Gymnasium.

Khutbah sudah bermula tatkala kami tiba. Pengisian khutbah sangat menarik. Antaranya, khatib menyeru umat Islam agar tidak terpengaruh dengan provokasi yang dilakukan oleh musuh. Fitrah manusia memberi tindak balas apabila seseorang yang mereka sayangi dicaci dan dihina. Bagi seorang muslim, cintanya kepada agamanya lebih utama. Dia perlu lebih bertindak apabila Allah dan Rasul-Nya dihina. Dia perlu memberi respons jika ada di antara Sahabah yang mulia dan isteri-isteri Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ditohmah. Sambil menyebut tauladan Rasulullah yang tidak pernah marah kerana sebab peribadi, begitulah yang sepatutnya kita contohi - marah kerana Allah!

Kemudian, seorang muslim tidak patut membalas cercaan dan penghinaan dengan cercaan dan penghinaan kembali. Lihat sahaja apa yang berlaku di Iraq. Tindakan-tindakan provokasi musuh Islam berjaya menyebabkan umat Islam bunuh-membunuh sesama mereka. Hanya kerana diri kita atau kaum keluarga kita dicerca, itu tidak memberi lesen kepada kita untuk mencerca diri orang lain atau kaum keluarga mereka. Berapa banyak contoh tauladan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang membalas kejahatan orang dengan kebaikan. Cukuplah kemusnahan yang ada di sekeliling kita. Jangan mudah melatah dengan provokasi musuh.

Selesai solat, Presiden Muslim Students Association (MSA) bangun meminta para hadirin tunggu sebentar kerana ada kata-kata penting yang ingin disampaikan. Isu yang dibangkitkan ialah beberapa kejadian yang tidak sepatutnya berlaku di surau yang diamanahkan oleh pentadbiran universiti kepada pelajar-pelajar Islam. Pertama, batu-batu turbah kepunyaan pelajar-pelajar berfahaman Syi'ah telah dicuri. Kedua, selipar untuk kemudahan mengambil wuduk turut dicuri. Ketiga, mikrofon pun dicuri. Keempat, tabung derma surau pula hilang. Apa nak jadi ni? Mungkin tiba masanya pelajar-pelajar berfahaman Syi'ah membawa batu-batu tersebut bersama mereka, dan mikrofon dikunci dalam almari. Selipar? Beli yang paling murah dan buruk, yang mana orang pun tak sanggup nak curi. Tabung? Mungkin perlu dikunci juga...

Malam dihabiskan untuk belajar Econometrics II dan Macroeconomics.

Wednesday, January 03, 2007

Perjalanan Menuntut Ilmu IV

Seringkali manusia tatkala dikurniakan kesedaran untuk mendekatkan diri dengan Penciptanya, maka semangatnya akan berkobar-kobar bak cahaya sang suria di pagi hari. Namun, sudah menjadi fitrah api, jika tidak dikawal dengan baik, maka akan tersasar membakar dan menghancur diri. Maka oleh sebab itu, manusia perlu mencari petunjuk yang dapat mengawal dan menyalurkan semangat berkobar-kobar tersebut mengikut aliran yang tepat dan optimum.

Hendaklah para penuntut ilmu membezakan antara ilmu Islam dan pemikiran Islam yang merupakan cabang kepada ilmu Islam yang menjadi teras. Maka hendaklah penuntut ilmu mengutamakan mempelajari ilmu Islam dengan tekun - dalami ilmu al-Quran dan al-Hadis dan mantapkan ia di dalam hati sebelum terjun ke lautan pemikiran Islam. Tekuni Tafsir Ibn Katsir sebelum cetusan idea Hassan al-Banna, gagahi Sahih al-Bukhari dan Fath al-Bari sebelum karya-karya Said Hawwa, Iqbal dan lain-lain tokoh pemikir Islam...

Antara ilmu-ilmu Islam yang banyak, kukuhkan dahulu ilmu iman di dada sebelum masuk ke gedung fiqh yang banyak pintunya, dan rimba kesufian yang mudah pula tersesat di dalamnya. Sesungguhnya iman adalah sebaik-baik amal seorang hamba, firman Allah: "Adakah kamu menganggap melayan orang mengerjakan haji dan memakmurkan al-Masjid al-Haram sama tarafnya seperti seseorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat dan berjihad pada jalan-Nya? Tidaklah sama perbandingannya di sisi Allah, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." [al-Tawbah, 19]

Daripada Abu Hurayrah radiyallahu 'anhu, sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam pernah ditanya: "Apakah amalan yang paling utama?" Sabda baginda: "Beriman kepada Allah dan rasul-Nya," kemudian baginda ditanya lagi, "Kemudian apa?" Sabda baginda: "Jihad pada jalan-Nya." [al-Bukhariy & Muslim]

Meminjam kata-kata Syeikh 'Abd al-Majid al-Zindani, "Iman adalah asas yang menghubungkan seorang hamba dengan rabbnya, hasilnya terbit rasa cinta dan takut akan Allah, membuatkan seoranh hamba taat dan menjauhi maksiat, dan dengannya orang-orang beriman beroleh kejayaan di dunia dan akhirat."

Oleh itu, wahai para penuntut ilmu, utamakanlah mempelajari iman mengatasi yang lain. Bak kata pepatah, iman itu tidak dapat diwarisi. Ia dibina atas kefahaman dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah.

Salam dari bumi Ottawa.