Wednesday, March 25, 2009

Jalan Jabor-Al Muktafi Billah Shah

Jika sebelum ini asyik menggunakan jalan pantai (Federal Route #3), kali ini penulis dan keluarga memilih untuk menggunakan jalan Jabor-Al Muktafi Billah Shah (Federal Route #14) untuk ke Kuala Terengganu. Ada beberapa pros & cons.

Pertama, jalan pantai lebih indah dan menarik berbanding jalan Jabor-AMBS. Kalau rasa ingin berhenti di kawasan pantai untuk berehat atau makan minum, jalan pantai lebih elok kerana terdapat banyak gerai dan pekan. Jalan Jabor-AMBS hanya melalui kawasan ladang kelapa sawit. Gerai makan sangat sedikit.

Kedua, jalan pantai terlalu banyak trafik dan persimpangan. Jalan pantai juga lebih sibuk berbanding jalan Jabor-AMBS. Seingat penulis, sepanjang jalan ke Kuala Terengganu, hanya ada dua persimpangan lampu insyarat di jalan Jabor-AMBS berbanding jalan pantai yang ada berpuluh-puluh. Sekejap-sekejap perlu berhenti di jalan pantai. Jalan Jabor-AMBS pula lebih sunyi, tidak banyak kenderaan yang menggunakannya.

Ketiga, sekiranya ingin cepat untuk sampai ke Kuala Terengganu, lebih baik guna jalan Jabor-AMBS. Kalau rasa ingin bersantai dan punya banyak masa, pilih jalan pantai.

Penulis dan keluarga berhenti rehat seketika di Bandar Al Muktafi Billah Shah untuk solat dan makan. Kemudahan di Bandar AMBS sangat hebat, masjid besar, perpustakaan dan bermacam-macam lagi. Yang tidak nampak ialah penghuni dan rumah kediaman. Di mana agaknya kawasan perumahan bandar ini? Penulis difahamkan bahawa Bandar AMBS ini sebenarnya hanyalah pekan bagi kawasan FELDA berdekatan. Sudah menjadi tanda pembangunan Kerajaan Negeri Terengganu menghabiskan peruntukan yang banyak untuk membina masjid dan pelbagai kemudahan lain pada skala yang besar dan indah.

Selesai solat kami menuju ke kawasan R&R di persimpangan jalan masuk ke masjid. Makanan yang ada tidak menarik sama sekali. Layanan agak baik. Tandas dan bilik mandi ada disediakan. Pengunjung boleh memilih sama ada hendak makan di dalam bilik berhawa dingin. Mungkin sebelah petang baru menu lebih meriah. Untuk makan tengahari hanya ada nasi putih, lima jenis lauk dan laksa. Masakan panas sebelah petang baru ada. Kebersihan boleh diterima. Tetapi lain kali jangan berhenti makan di sini, lebih baik teruskan perjalanan seketika sehingga di persimpangan Bukit Besi-Dungun. Di situ ada medan selera yang besar dan ramai pengunjung.

Mihrab Masjid Bandar AMBS

Chandelier - besarnya!

Ruang kawasan solat yang kosong

Siling masjid

Tangga untuk ke dewan solat, tak boleh pakai kasut ketika menaiki tangga,
bila panas tangga akan menjadi sangat panas

Eh, besarnya masjid sampai tak muat masuk kamera - kena ambil long shot

Inilah R&R Bandar AMBS

Gambar masjid diambil dari kawasan R&R

Lagi gambar masjid

Tanda menyambut kedatangan pengunjung ke Bandar AMBS

Dah 15 tahun usia R&R ni - menteri yang rasmi pun dah tak jadi menteri lagi dah

Stesen minyak Petronas berdekatan - mana la tahu nak isi minyak nanti!

1 comment:

Anonymous said...

AMBS, bukan pekan untuk FELDA yg berdekatan.. kebanyakkan penduduk ambs adalah kakitangan kerajaan (KETENGAH, jkm, klinik kesihatan n jabatan2 lain..), mgkin penulis berada di ambs pada jumaat atau sabtu, sbb tu xnampak pnduduk yg kebanyakkannya balik kg bila cuti hujung mggu n sebagainya...