Semester Winter 2008 - aku mengambil empat mata pelajaran agar pengajianku selesai pada penghujung April 2008 dan aku dapat pulang segera menemui keluarga tercinta.
Salah satu subjek yang aku ambil ialah Applied Time Series Analysis. Sebelum semester bermula, rata-rata rakan-rakanku turut mendaftar untuk subjek tersebut. Kiranya nanti tidaklah susah untuk kami sama-sama mengulangkaji memandangkan subjek tersebut memang terkenal dengan aplikasi kaedah statistik dan matematik yang kompleks ditambah pula dengan teori-teori ekonomi yang mesti diambil kira.
Disebabkan pulang ke Malaysia pada cuti semester lalu, aku terlewat pulang ke Ottawa dan terlepas dari mengikuti kelas pertama. Namun aku tidak risau sangat kerana ramai rakan-rakan yang mengambil kelas tersebut, nanti pinjam sahajalah nota mereka.
Namun sangkaanku meleset. Selepas hadir ke kelas pertama, kesemua mereka drop subjek tersebut, termasuklah Mishal. Aduhai, susah sangatkah sampai kesemua mereka lari?
Sehingga kini, hanya tinggal tiga orang. Aku satu-satunya pelajar Sarjana Ekonomi, yang lain pelajar PhD. Memang subjek tersebut susah, namun aku tekadkan juga hati untuk terus belajar walaupun berseorangan.
Rakan-rakan sarjana yang lain seperti Zhenjiang, Mishal dan Taposh pernah bertanya, tidakkah subjek itu susah? Dengan selamba aku menjawab, "If Naruto can do it, I can also do it." Satu lagi jawapan bodoh-bodoh alang dariku. Memanglah subjek tu susah, tapi kalau dah minat sudah tentu aku akan usaha bersungguh-sungguh, macam Naruto yang nak jadi Hokage berusaha bersungguh-sungguh dari seorang pelajar ninja yang bodoh sampai menjadi wira.
Nantikan keputusannya pada penghujung April nanti...
No comments:
Post a Comment