Isu
Terlewat hadir Solat Jumaat, hanya sempat join imam setelah imam mengangkat kepada daripada rukuk pada rakaat kedua. Adakah hanya perlu Solat Jumaat (2 rakaat), atau Solat Zuhur (4 rakaat)?
a
Teori
Sesiapa yang sempat join ketika imam sedang rukuk pada rakaat kedua Solat Jumaat atau sebelumnya, tidak syak lagi ia telah mendapat Solat Jumaat berdasarkan hadith berikut:
“Apabila seseorang diantara kamu datang (untuk) solat sewaktu kami sujud, hendaklah ikut sujud dan janganlah kamu hitung itu satu rakat. Barang siapa yang dapat rukuk bersama imam, maka ia telah mendapat satu rakaat.”
[Riwayat Abu Dawud]
Dan sesiapa yang mendapat satu rakaat, dia telah mendapat solat tersebut secara keseluruhannya berdasarkan hadith berikut:
“Sesiapa yang dapat satu rakaat dari solat, maka dia telah mendapat solat itu.”
[Riwayat al-Bukhariy & Muslim]
Walau bagaimanapun, terdapat khilaf di kalangan 'ulama mengenai mereka yang terlepas daripada menyertai rukuk pada rakaat kedua ketika Solat Jumaat. Hadith yang diriwayatkan oleh 'Abdullah ibn 'Umar radiyallahu 'anhuma, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat bersama imam dalam Solat Jumaat atau mana-mana solat, maka tambahlah bilangan rakaat dan telah sempurna solatnya.”
[Riwayat al-Nasa’ie]
Berdasarkan hadith di atas, sesiapa yang mendapat sekurang-kurangnya satu rakaat bersama imam, maka dia dikira mendapat solat tersebut. Berdasarkan hadith pertama di atas pula, untuk mendapat satu rakaat, sekurang-kurangnya seseorang itu mesti sempat rukuk bersama imam. Jadi seseorang yang terlepas dari rukuk pada rakaat kedua Solat Jumaat telah terlepas dari mendapatkan Solat Jumaat. Antara 'ulama yang berpendapat golongan ini tidak mendapat Solat Jumaat sebaliknya perlu menunaikan Solat Zuhur ialah para 'ulama Mazhab al-Syafi'e, al-Imam Malik, al-Imam al-Auza'ie, al-Imam Sufyan al-Tsauri, al-Imam Abu Yusuf dan al-Imam Ahmad.
aa
Merujuk kepada satu lagi pendapat, sesiapa yang hatta sempat menyertai imam ketika tasyahhud akhir tetap dikira mendapat Solat Jumaat. Sabda Nabi sallallahu 'alayhi wasallam:
“Jika solat itu telah didirikan, pergilah (kamu untuk menunaikannya) dan hendaklah kamu bertenang. Apa (rakaat) yang kamu masih berpeluang untuk menunaikannya, lakukanlah (solat tersebut) dan apa (rakaat) yang kamu telah tertinggal daripadanya, hendaklah kamu sempurnakan kemudian.”
[Riwayat al-Bukhariy dan Muslim]
Daripada hadith ini, lafaz yang digunakan bersifat umum di mana kita diperintahkan agar jangan tergesa-gesa menunaikan solat sebaliknya hendaklah bertenang ketika menyertai jamaah. Kadangkala kita dapat menyaksikan sebahagian sahabat kita yang tergopoh-gapah, bahkan ada yang berlari semata-mata kerana hendak mengejar solat sedangkan ia perbuatan yang ditegah. Apabila kita telah menyertai jamaah, maka sempurnakan apa yang telah ktia tertinggal sehingga sempurna solat kita. Maka begitu juga untuk Solat Jumaat, dan hadith kedua tadi tidak pula menyebut bahawa mereka yang tidak mendapat satu rakaat tidak mendapat solat.
Antara 'ulama yang berpendapat golongan ini hanya perlu menambah dua rakaat (iaitu menunaikan Solat Jumaat) ialah al-Imam Abu Hanifah dan Mazhab al-Zahiri.
Praktik
Sesiapa yang suka dengan pendapat golongan pertama, tunaikan empat rakaat. Saya lebih cenderung dengan pendapat golongan kedua yang menyatakan golongan ini sekadar perlu menambah dua rakaat berdasarkan perbincangan yang telah disebutkan. Ini sekadar pandangan saya... Anda bebas membuat pandangan sendiri.
No comments:
Post a Comment