Alhamdulillah, perjalanan selama 25 jam dari Kuala Lumpur ke Ottawa selesai juga, walaupun berdepan sedikit masalah di Manila disebabkan pertukaran terminal. Berlepas dari Kuala Lumpur pada 12 Januari 2008 pukul 10:15 pagi, dan tiba di Ottawa pada hari sama pukul 11:05 malam. Philippines Airlines tidak menyediakan makanan MOML seperti dipinta, namun alhamdulillah menu ikan ada. Lagi pula, ayam dan daging hidangan mereka tidak mungkin bermasalah bagi orang Islam kerana Filipina adalah negara Kristian Katolik, maka sudah pasti makanan mereka termasuk dalam kategori makanan ahlul kitab yang boleh dimakan oleh orang Islam. Sepanjang penerbangan juga skrin senantiasa menunjukkan arah Qiblah. Pun begitu, saya lebih gemar untuk bertayammum dari tempat duduk dan solat di tempat duduk juga. Manakala di Vancouver seperti biasa urusan imigresen dan kastam berjalan dengan lancar dan pantas.
Tiba sahaja di Ottawa, lega melihat rakan-rakan telah sedia menanti. Tambah pula ada yang memasak dan menyediakan makanan. Terima kasih daun keladi. Maklumlah, perjalanan jauh seperti ini memang meletihkan, tambah pula polisi Air Canada yang tidak menyediakan makanan untuk penerbangan domestik.
Sayu juga di hati kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta, namun inilah pengorbanan menuntut ilmu. Semoga diberkati Allah.
Nota: Transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila (MNL) melecehkan sekiranya berlaku pertukaran pesawat dengan Philippines Airlines maka penumpang perlu melalui urusan imigresen dan kastam, kemudian mengambil luggage dan naik coaster dari Terminal 1 ke Terminal 2, dan kemudian daftar masuk dan melalui urusan imigresen dan kastam sebelum masuk ke ruang menunggu. Pemeriksaan keselamatan juga remeh, terpaksa buka tali pinggang dan kasut dua kali sebelum ke ruang menunggu. Tak nak dah transit di Manila.
No comments:
Post a Comment