Isu:
Para pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke negara yang mengalami empat musim akan mendapati waktu solat yang berbeza-beza sepanjang tahun. Untuk Solat Jumaat, kebiasaannya para pelajar terpaksa menunaikannya di universiti kerana kesuntukan masa untuk ke masjid. Seperti di Carleton, Muslim Students Association menempah gymnasium. Tempahan dibuat mengikut waktu yang tetap untuk setahun, seperti dari pukul 12:30 tengahari sehingga 2:00 petang, sehingga ada masanya Solat Jumaat akan selesai sebelum masuknya waktu Zuhur ketika musim panas. Bolehkah Solat Jumaat didirikan sebelum waktu Zuhur?
Teori:
Waktu Solat Jumaat
1) Boleh Solat Jumaat sebelum tergelincir matahari. Ini pendapat al-Imam Ahmad ibn Hanbal rahimahullah.
2)Waktu Solat Jumaat ialah waktu Solat Zuhur, iaitu setelah matahari tergelincir ke barat dan tidak boleh sebelumnya. Ini pendapat majoriti 'ulama.
Sebab berlakunya khilaf:
Khilaf dalam memahami hadith mengenai perbuatan mempercepatkan atau mengawalkan Solat Jumaat.
Contoh 1: Daripada Sahl ibn Sa'd radiyallahu 'anhu katanya:
"Kami tidak makan tengahari atau tidur qaylulah (tidur sebentar di siang hari) pada zaman Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam melainkan setelah selesai Solat Jumaat."
[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Tirmidhi]
Contoh 2: Diriwayatkan bahawa mereka menunaikan Solat Jumaat dan bersurai dan bayang-bayang mereka tidak kelihatan pada dinding (menunjukkan seolah-olah matahari masih tegak di atas kepala kerana tiada bayang-bayang pada dinding)
[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Nasa'ie]
Mereka yang mengatakan waktu Solat Jumaat boleh didirikan sebelum tergelincir matahari menyatakan bahawa hadith-hadith ini menunjukkan Solat Jumaat pada zaman Nabi sallallahu 'alayhi wasallam ada didirikan sebelum tergelincir matahari.
Mereka yang mengatakan tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur pula faham bahawa hadith-hadith ini sekadar menunjukkan Solat Jumaat ini diselesaikan pada awal waktu Zuhur. Lagi pula pemahaman golongan pertama seolah-olah bertentangan dengan hadith Anas ibn Malik radiyallahu 'anhu:
"Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alayhi wasallam mendirikan Solat Jumaat tatkala
matahari condong."
[Riwayat al-Bukhariy, Abu Dawud & al-Tirmidhi]
Hadith-hadith sebelumnya sekadar menceritakan keadaan situasi setelah selesainya Solat Jumaat, sedangkan hadith Anas ini menyebut secara jelas dan terang mengenai waktu Solat Jumaat. Pun begitu, golongan pertama boleh mengatakan pula bahawa pemahaman mereka tidak bertentangan dengan hadith Anas kerana hadith Anas cuma menyebut waktu dengan jelas tanpa ada suruhan atau larangan padanya.
Golongan kedua turut berhujjah bahawa oleh kerana Solat Jumaat adalah ganti kepada Solat Zuhur pada hari Jumaat, maka hendaklah Solat Jumaat didirikan pada waktu Zuhur juga. Golongan pertama pula berhujjah bahawa oleh kerana hari Jumaat adalah hari raya, maka Solat Jumaat boleh didirikan dalam batas waktu Solat Eid.
Penyelesaian:
Sekiranya kita bandingkan pula dengan pendapat 'ulama kontemporari, hampir kesemuanya berpendapat tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur. Saya sendiri cenderung dengan pendapat majoriti. Memandangkan pendapat ini mungkin menyebabkan kesusahan di kalangan pelajar yang perlu menghadiri kuliah, maka ada sesetengah 'ulama memberi keringanan berdalilkan hadith Abu Hurayrah radiyallahu 'anhu yang masyhur daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam:
"...Apa yang aku perintahkan kamu maka laksanakannya semampu yang mungkin..."
[Riwayat al-Bukhariy & Muslim]
Bagi diri saya sendiri, sekiranya tiada apa-apa urusan di universiti pada hari Jumaat tersebut, maka saya sepatutnya pergi menunaikan Solat Jumaat di masjid yang mendirikan Solat Jumaat pada waktu Zuhur. Andainya ada urusan di kampus pada hari Jumaat tersebut, maka saya akan menyertai rakan-rakan menunaikan Solat Jumaat di gymnasium. Lagipun, penyelesaian ini hanya akan menjadi praktikal pada musim panas, iaitu apabila waktu Zuhur terlalu lewat...
No comments:
Post a Comment