Thursday, January 31, 2008

Tadi Dark Water, ini dah jadi Titanic!

Saja berkongsi pengalaman!

Mandi dengan air sejuk ketika winter? Tidak mungkin. Mereka yang pernah menghadapi winter di bumi Canada mesti dapat membayangkan betapa siksanya mandi dengan air sejuk. Apa boleh buat, satu pagi ketika bersiap untuk Solat Subuh di Masjid Ottawa, aku agak kehairanan kerana tiada bekalan air sejuk di rumah. Yang ada hanyalah air panas. Pelik juga, biasanya keadaan adalah sebaliknya. Air panas yang tiada, air sejuk selalu ada sebab pemanas air kadangkala rosak. Air sejuk tak perlu diproses.

Aku naik lif untuk ke tempat parking kereta di basement. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, alangkah terkejutnya aku melihat air menitik-nitik dari siling. Banyak pula tu, lantas mengingatkan aku kepada filem seram Dark Water. Lantai penuh dengan air. Aku sudah tidak sedap hati. Cepat-cepat aku melangkah ke tempat parking. Lantai tempat parking di level satu penuh dengan lopak air. Setibanya aku di level dua, air sudah naik ke paras setengah betis. Subhanallah! Paip air pula bocor, dan air melimpah-limpah keluar. Patutlah tiada air sejuk! Paras air semakin laju naik. "Jangan panik," aku berpesan kepada diriku sendiri. Kelihatan tiga superintendent apartment sibuk memeriksa keadaan. Air semakin naik, entah bila baru mereka dapat mengawal keadaan. Kalau dibiarkan, mungkin enjin kereta rosak dimasuki air.

Tak boleh jadi ni, aku mesti menyelamatkan keretaku. Aku mengambil keputusan untuk terjun dan meredah air ke kereta. Masya-Allah, sejuknya sampai ke sum-sum tulang!!! Tadi Dark Water, ini dah jadi Titanic. Menggigil-gigil aku tatkala tiba di kereta. Cepat-cepat masuk, hidupkan enjin dan heater. Panaskan kaki sebentar. Berkaki ayam sahaja pagi itu ke masjid. Mishal pula sudah lama menunggu. Kami terlewat ke masjid, tetapi sempat lagi mendapatkan rakaat pertama.

Freezing rain semalam menyebabkan keseluruhan tempat parking menjadi satu bongkah ais besar yang maha licin. Tapi aku rileks saja sebab dah berkaki ayam, selamba saja jalan laju-laju. Memang kena berjalan laju pun sebab dah berkaki ayam, sejuk! Mishal menjerit dari belakang berpesan kepadaku agar jangan jalan laju sangat nanti jatuh. Tatkala aku menoleh ke belakang untuk melihatnya, gedebabb!!!

Siapa yang jatuh? Mishal laa... dah tahu pakai kasut, tak payah la sibuk dengan orang kaki ayam. Kaki ayam balance baik punya.

Hari itu aku membawa kereta ke universiti dan bayar whole-day-parking sebanyak $8. Malam setelah pulang alhamdulillah keadaan sudah pulih.

Sunday, January 27, 2008

If Naruto can do it, I can also do it...

Semester Winter 2008 - aku mengambil empat mata pelajaran agar pengajianku selesai pada penghujung April 2008 dan aku dapat pulang segera menemui keluarga tercinta.

Salah satu subjek yang aku ambil ialah Applied Time Series Analysis. Sebelum semester bermula, rata-rata rakan-rakanku turut mendaftar untuk subjek tersebut. Kiranya nanti tidaklah susah untuk kami sama-sama mengulangkaji memandangkan subjek tersebut memang terkenal dengan aplikasi kaedah statistik dan matematik yang kompleks ditambah pula dengan teori-teori ekonomi yang mesti diambil kira.

Disebabkan pulang ke Malaysia pada cuti semester lalu, aku terlewat pulang ke Ottawa dan terlepas dari mengikuti kelas pertama. Namun aku tidak risau sangat kerana ramai rakan-rakan yang mengambil kelas tersebut, nanti pinjam sahajalah nota mereka.

Namun sangkaanku meleset. Selepas hadir ke kelas pertama, kesemua mereka drop subjek tersebut, termasuklah Mishal. Aduhai, susah sangatkah sampai kesemua mereka lari?

Sehingga kini, hanya tinggal tiga orang. Aku satu-satunya pelajar Sarjana Ekonomi, yang lain pelajar PhD. Memang subjek tersebut susah, namun aku tekadkan juga hati untuk terus belajar walaupun berseorangan.

Rakan-rakan sarjana yang lain seperti Zhenjiang, Mishal dan Taposh pernah bertanya, tidakkah subjek itu susah? Dengan selamba aku menjawab, "If Naruto can do it, I can also do it." Satu lagi jawapan bodoh-bodoh alang dariku. Memanglah subjek tu susah, tapi kalau dah minat sudah tentu aku akan usaha bersungguh-sungguh, macam Naruto yang nak jadi Hokage berusaha bersungguh-sungguh dari seorang pelajar ninja yang bodoh sampai menjadi wira.

Nantikan keputusannya pada penghujung April nanti...

Ringkasan Kuliah Tafsir Surah al-Ghashiyyah II

Kebesaran Allah
Pada bahagian kedua, Allah menyebut ciptaan-ciptaan-Nya yang hebat, iaitu unta, langit, gunung dan bumi. Manusia disuruh merenung ciptaan-ciptaan ini dan mengagungkan Allah.

Mengapa unta? Syeikh bertanya kepada kami. Mishal memberi jawapan yang betul, disebabkan unta adalah haiwan yang paling akrab dengan kehidupan Arab pada zaman itu. Bahkan menurut syeikh, Arab padang pasir ketika tiu tidak memiliki harta kekayaan melainkan langit yang dijunjung, bumi yang dipijak, khemah kecil sebagai tempat tinggal dan unta.

Maka kita disarankan untuk mengkaji ciptaan Allah sebagai cara untuk meningkatkan iman. Memang ilmu syari'ah mengatasi martabat ilmu-ilmu lain, tetapi ini tidak bermakna umat Islam boleh meninggalkan ilmu sains dan lain-lain. Ilmu-ilmu lain ada manfaatnya asalakan dipandu ke arah meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah.

Berilah Peringatan!
Kemudian Allah memerintahkan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam agar memberi peringatan kepada manusia, di samping meningatkan baginda agar jangan memaksa manusia menerima Islam. Menurut syeikh, betapa kepada orang kafir pun kita tidak boleh memaksa Islam, apatah lagi sesama Islam. Syeikh menyebut sikap sebahagian orang Islam yang suka memaksa anak-anak mereka. Solat! Duduk diam-diam di masjid! Jangan bising! Jika tidak disolat maka dipukul semahunya. Memang disaran oleh Rasulullah, tetapi sepatutnya kita ingat bahawa hukuman hanya sepatutnya dilaksanakan setelah ibu bapa mengambil langkah sewajarnya dalam mendidik anak-anak.

Syeikh menasihatkan ibu bapa agar menggunkaan pendekatan kasih sayang dalam menanam aqidah di hati anak-anak. Jika dipaksa, mereka hanya akan berlaku baik di hadpaan ibu bapa semasa mereka masih kecil. Bila mereka jauh dari ibu bapa, maka mereka akan memberontak. Di Kanada, betapa banyak gangguan luar yang boleh membinasakan anak-anak dari memahami agama. Cuba bayangkan, mereka dibawa ke masjid kemudian dipaksa duduk diam dan solat, tetapi bila mereka ke rumah kawan-kawan mereak atau ke pusat hiburan mereka merasa gembira. Sudah tentu lama kelamaan mereka akan lebih suka perkara yang menyebabkan mereka gembira. Sebaliknya, pendekatan agama melalui kasih sayang akan lebih meninggalkan kesan di hati anak-anak walaupun mereka berseorangan.

Seterusnya Allah menyebut pula siksaan yang akan dikenakan kepada mereka yang berpaling dari seruan Rasulullah. Syeikh tidak sempat menerangkan tiga ayat terakhir dengan lebih mendalam disebabkan masa yang telah tamat.

Borang feedback dikutip dan orang ramai bersurai.

Ringkasan Kuliah Tafsir Surah al-Ghashiyyah I

Maksud al-Ghashiyyah
Ada beberapa pendapat, tetapi yang masyhur al-Ghashiyyah merujuk kepada Hari Qiyamah berdasarkan ayat-ayat selepasnya yang merujuk kepada keadaan manusia pada hari tersebut.

Keadaan Manusia Pada Hari al-Ghashiyyah
Dua kelompok manusia: Pertama, mereka yang wajah mereka dihinakan; Kedua, mereka dengan wajah girang.

Kelompok pertama ialah mereka yang berusaha keras ketika hidup di dunia sehingga mereka merasa letih lesu, tetapi masuk neraka. Sifat azab mereka diceritakan seolah-olah mereka akan dibakar api yang marak seperti orang Arab memasak daging yang dimampatkan dalam bekas kecil di atas api, yakni mereka tidak dapat lari. Bila kita masak atas kuali yang luas, ada tempat yang kurang panas, tetapi kalau daging dah dimampat dalam bekas kecil memang dah tak boleh lari. Minuman dari air yang panas menggelegak, dan makanan mereka ialah dhari' yang tidak menggemukkan atau mengenyangkan. Dari sudut bahasa, dhari' merujuk kepada sejenis tumbuhan di gurun yang tidak dimakan kerana beracun.

Contoh kelompok pertama, dikisahkan bahawa ada Sahabah yang menangis tatkala melihat seorang pendeta tua keluar dari biara mengenangkan betapa sang pendeta penat lelah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah namun di Akhirat dia akan tetap disiksa. Satu lagi ialah golongan Khawarij dan mereka yang semanhaj dengan mereka dalam kafir-mengkafir orang Islam lain. 'Ibadah mereka memang first class sehingga diriwayatkan Nabi sallallahu 'alayhi wasallam menyebut para Sahabah akan merasa cemburu melihat betapa eloknya solat golongan ini, tetapi mereka keluar dari agama seperti anak panah terlepas dari busur. Dengan 'ibadah mereka yang begitu sempurna, terbit rasa sombong di hati mereka dan mereka merasakan orang lain lebih rendah martabat mereka di sisi Allah. Syeikh menyebut lagi kisah dua orang bersaudara, seorang kaki maksiat dan seorang ahli ibadah, sehinggalah pada suatu hari ahli 'ibadah begitu marah kepada saudaranya kaki maksiat sehingga bersumpah atas nama Allah bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosa kaki maksiat, tetapi akhirnya kaki maksiat diampunkan Allah dan ahli 'ibadah disiksa kerana Allah murka dengan sumpahnya yang menafikan peluang taubat dan keampunan untuk manusia lain.

Kelompok kedua pula ialah mereka yang girang gembira disebabkan mengenangkan usaha mereka yang berbaloi ketika mereka hidup di dunia. Syeikh memberi contoh mudah, biasanya manusia ini gembira kerana tiga sebab utama; iaitu kahwin, mendapat anak pertama dan menerima penghargaan atas sesuatu usaha hebat yang dilakukannya.

Kegembiraan pertama dan kedua bukanlah kegembiraan sebenar kerana walaupun seseorang itu gembira kerana berkahwin atau mendapat anak, namun di hati tetap terbayang tanggungjawab berat yang mesti dipikul. Sebaliknya kegembiraan ketiga adalah kegembiraan sebenar kerana kita telah selesai menjalankan usaha tersebut, dan penat lelah kita diiktiraf dan dihargai orang. Begitulah kelompok kedua, mereka telah bersusah payah mematuhi perintah Allah ketika hidup di dunia, dan syurga adalah satu penghargaan yang tidak ternilai bagi usaha kecil mereka yang dihargai Allah berbanding nikmat Allah yang banyak.

Kemudian Allah menceritakan pula keadaan kelompok kedua di dalam syurga. Tiada mereka mendengar perkara sia-sia, sungai yang mengalir, singgahsana mereka yang tinggi-tinggi, gelas-gelas yang tersedia untuk diminum, kusyen dan permaidani indah.

Syeikh bertanya, siapa tahu perbezaan antara kub dan ka's (gelas dan cawan). Contoh dalam Surah al-Insan Allah menyebut ka's, manakala di sini disebut kub. Malang tidak seorang pun yang dapat memberikan jawapan tepat. Menurut syeikh, kub tidak ada pemegang, tetapi ka's ada pemegang.

Syeikh juga memberi contoh maksud gelas-gelas yang tersedia untuk diminum. Biasanya, mereka yang pernah mengerjakan haji, pastiberdepan dengan situasi terpaksa beratur untuk minum air zamzam. Tetapi di syurga bila hendak minum saja terus tersedia gelas di tangan.

Syeikh juga menerangkan satu pendapat mengenai asal kalimah zarab (permaidani). Menurut syeikh, pada zaman Arab dahulu, permaidani yang terbaik sekali adalah yang dihasilkan di Azerbaijan. Maka kawasan itu sejak dahulu lagi dikenali sebagai Zarbijan. Maka permaidani dari situ disebut zarbiyyah oleh orang Arab.

Saturday, January 26, 2008

Kuliah Tafsir di Masjid Ottawa

Sewaktu selesai Maghrib di surau universiti, ramai yang berbicara mengenai kelas-kelas agama yang diadakan di sekitar Ottawa pada hari Jumaat malam Sabtu. Malam ini sahaja ada tiga kuliah. Di Carleton sendiri ada kuliah mengenai Tauhid al-Asmaa' wa al-Sifaat anjuran Muslim Association of Canada Youth Ottawa (Pemuda Persatuan Muslim Kanada Bahagian Ottawa). Biasanya kuliah anjuran MAC terkenal dengan pengurusan yang professional dan akan ada makanan selepas kuliah. Di Maktabah al-Sahabah (Perpustakaan al-Sahabah) pula ada pengajian kitab "Madarij al-Salikin" oleh Syeikh Abu Mu'tasim. Di Masjid Besar Ottawa sendiri ada kuliah tafsir oleh imam masjid, Syeikh Abdurrahman al-Hijazi. Di Masjid al-Salam dan Darussunnah pun mungkin ada, tetapi aku sendiri kurang periksa. Cukuplah yang ada ni pun tak larat nak pergi. Alhamdulillah, syi'ar Islam yang berteraskan prinsip al-Salaf al-Soleh tetap subur di bumi asing dengan adanya kuliah-kuliah ini. Nampaknya di bumi Ottawa golongan al-Salaf al-Soleh yang lebih banyak menitik-beratkan soal menuntut ilmu. Ini sekadar pemerhatianku.

Mana satu nak pergi ni? Yang pasti, Mishal dan aku bersetuju untuk Solat Isyak berjamaah di Masjid Besar Ottawa. Salji yang turun tidak menghalang perjalanan kami.

Pada asalnya, Mishal ingin terus pulang ke rumah untuk mengulangkaji pelajaran, tetapi aku menjalankan taktikku. Selesai solat, kelihatan jemaah berpecah dua, sebahagian yang majoriti terdiri dari para pelajar Carleton keluar untuk ke Maktabah al-Sahabah, manakala sebahagian besar lagi yang terdiri dari masyarakat umum tinggal untuk mengikuti kuliah tafsir. Teringin juga hendak mendengar bagaimana Syeikh al-Hijazi mengajar, lantas aku memutuskan untuk tetap di masjid.

"Mishal, we have listened to Syeikh al-Hijazi's khutbah for many times, why not try to attend his lecture and stay for 15 minutes. If you like it, we'll stay until the end. Otherwise we can just leave."

"Okay. We'll wait for 15 minutes."

Sewaktu itu kami berada di pintu keluar masjid.

"But Mishal, I don't think it's nice if both of us stay at the back away from the crowd. We should sit together with them."

"I agree. Let's go and sit with the crowd."

Taktik sudah mengena...

"Muhammad, now that we've sit here, I don't think it's nice if we just leave in the middle of the lecture."

"Yup, you're right. Then we'll just listen until the end."

Bukan lama pun, sejam lebih sikit habislah kuliah. Malam ni Syeikh al-Hijazi mengajar tafsir Surah al-Ghashiyyah, antara surah kegemaran Mishal. Satu lagi faktor yang menyebabkan dia stay.

10 minit sebelum tamat, kami diberi borang feedback dan pen. Mishal tak komen sangat, tapi aku komen sungguh-sungguh. Kuliah memang best, cara penyampaian yang teratur dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Syeikh menyampaikan makna dengan bahasa yang mudah, dan memang mengikut manhaj tafsir bi al-ma'thur. Banyak rujuk perkataan kepada ayat-ayat lain dan hadith-hadith dan juga bahasa Arab klasik. Aku nampak budak-budak kecil pun ramai. Cuma aku harap Syeikh akan lebih banyak quote dari tokoh-tokoh tafsir, walaupun aku tahu ia agak mustahil memandangkan waktu yang ringkas. Satu lagi, aku meminta agar apabila setiap kali beliau merujuk hadith-hadith, harap beliau akan menyebut juga sumber dan taraf hadith. Ada antara hadith-hadith yang beliau sebut tanpa sumber dan taraf. Memanglah aku bersangka baik dengan ilmu beliau, cuma jika beliau sebut sumber dan taraf mungkin akan tambah ummph lagi kuliah beliau.

Selesai kuliah, perut yang lapar perlu diisi. Restoran halal terdekat dengan masjid, Math'am Istanbuli kami serbu. Alhamdulillah.

Friday, January 25, 2008

Manfaat Seorang Yahudi

Peristiwa ini berlaku pada awal 2007, tatkala Mishal dan aku mula berkenalan dengan Koen, cina Nanchung.

Satu ketika, kami bertiga mentelaah pelajaran di Pusat Sumber Bahasa dan Kesusasteraan di Paterson Hall. Koen yang kelaparan membeli sepotong pizza. Pepperoni pizza. Untuk menjaga sensitiviti kami berdua, Koen makan di meja sebelah.

"Don't worry, I know Muslims don't like pork. I'll eat here." Pun begitu, dari riak wajahnya dapat kami teka dia berteka-teki kenapalah agaknya Tuhan orang Islam melarang daging babi yang padanya sedap dan mengenyangkan.

Di meja bersebelahan, ada seorang pelajar tekun bertelaah. Dari pakaian dan raut wajahnya, kami tahu dia seorang Yahudi.

Dengan sikapnya yang selamba dan muka tak bersalah, Koen berbicara dengannya, "Do you believe in God?"

Apa pula si Koen ni cari pasal dengan Yahudi ni. "Yes, I believe in God."

"Oh, same with my friends over there. They believe in Allah."

"I believe in God, but different name... They're Muslims, I'm Jew."

"They don't eat pork because their God forbids it. I don't know why, I thought that pork is good."

"Oh, I also don't eat pork because my God forbids it too."

"Eh, same thing. Hmm... maybe pork is actually bad, that's why God forbids it."

Sejak hari tu, tak pernah lagi nampak Koen makan pepperoni dan lain-lain yang seangkatan dengannya. Alhamdulillah, beroleh manfaat dari seorang Yahudi.

Permusuhan yang tidak perlu...

Satu hari, dalam perjalanan ke Masjid Ottawa untuk Solat 'Isyak, Mishal bertanyakan mengenai Asya'irah dan Maturidiyah. Bukan fahaman, tetapi mu'amalah dengan mereka yang berfahaman Asya'irah dan Maturidiyah. Mishal sendiri melalui kuliah-kuliah agama di Ottawa dan pembacaan sendiri berpendapat kedua-dua golongan ini terbabas dari landasan asal Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti yang dipegang oleh al-Salaf al-Soleh, cuma dia agak kurang berpuas hati dengan cara berinteraksi dengan mereka.

Daripada pemerhatianku sendiri, sememangnya rata-rata umat Islam Ottawa yang selalu kutemui memenuhi seruan solat berjamaah di surau-surau dan masjid-masjid dan yang selalu memenuhi kuliah-kuliah agama adalah yang mengikut fahaman al-Salaf al-Soleh. Maka tidak hairan jika Asya'irah dan Maturidiyah adalah minoriti, jika dibandingkan dengan Syi'ah nyata Syi'ah lebih terkehadapan berbanding kedua-dua golongan ini.

Pada Mishal, jika sungguhpun Asya'irah dan Maturidiyah sesat, bagaimana cara terbaik untuk berinteraksi dengan mereka? Ini disebabkan Mishal melihat sebahagian mereka yang berfahaman al-Salaf al-Soleh langsung tidak mahu bertegur sapa dengan rakan-rakan Asya'irah dan Maturidiyah biarpun ketika sama-sama berjamaah di surau universiti.

Hmm... Mishal, di Ottawa ni, kawan-kawan dan pensyarah kita dalam kelas yang kafir pun kita bertegur sapa, sudah tentu yang seagama dengan kita lebih sepatutnya kita bertegur sapa dengan mereka. Mengenai persoalan kesesatan mereka, ada medannya. Biar para 'ulama berhujjah. Dunia akademik. Tulis buku, datangkan dalil kenapa ia sesat atau kenapa ia benar. Pun begitu, adab berhujjah mesti dijaga. Mesti diingat, yang dibahaskan adalah prinsip pegangan, bukan personaliti individu. Dunia harian, sudah tentu kita perlu bermu'amalah secara baik dengan mereka. Bukankah orang-orang beriman itu bersaudara? Oleh itu, janganlah terpengaruh dengan sebahagian manusia yang melampau. Bila bertemu mereka, beri salam, tanya khabar. Mengapa hendak diwujudkan permusuhan yang tidak perlu?

Alhamdulillah, nampaknya Mishal berpuas hati dengan penerangan yang kuberikan. Sayang apabila melihat ada juga manusia yang melampau. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tuesday, January 22, 2008

Angkara dusta dan fitnah, keharmonian akan musnah

Oleh: Abd al-Razzaq A. Muthalib

Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.

Teruskan membaca...

Sunday, January 20, 2008

Masjid Ottawa, Tim Horton's dan Gatineau Park

Selesai Subuh berjamaah di Masjid Ottawa, rasa lapar membawa Mishal dan aku ke Tim Horton's. 12" egg sandwich with cheese. Suasana pagi begitu indah dengan matahari yang baru muncul dengan jalur cahaya merah dan langit nan biru mewarnai ufuk timur. Cerah. Tiada tanda-tanda salji akan turun. Tiba-tiba sahaja muncul idea untuk menyaksikan keindahan pagi dari Gatineau Park. Terus selesai sarapan kami berangkat ke Wilayah Quebec dengan peta di tangan Mishal. Mishal memang berkebolehan membaca peta dengan baik, maka kemungkinan untuk sesat sangatlah tipis.

Tiba-tiba sahaja jalan yang kami lalui terhenti begitu saja dengan longgokan salji. Peta dirujuk bersama, tetapi nyata kami berada di laluan yang betul. Bagaimana jalan ke Gatineau Park tiba-tiba menghilang begitu saja?

Kami menunggu jika ada kenderaan lain. Alhamdulillah, ada juga kereta yang datang. Setelah mendapatkan penjelasan, barulah kami tahu bahawa jalan raya di Gatineau Park ditutup ketika musim sejuk bagi membolehkan warga Ottawa beriadah bermain ski di sini. Apa boleh buat, tiada rezeki kali ini. Insya-Allah lain kali.

Friday, January 18, 2008

Iftar di Samosa Village

Selesai Solat Maghrib di Musolla Universiti, Ziyad mengajak Mishal dan aku iftar 9/10 Muharram bersama-sama Abdul Latif dan Shahbaz di Samosa Village, South Keys. Seperti biasa, perbezaan kiraan tarikh berlaku. Ini adalah kali ketiga aku ke Samosa Village.

Masing-masing memesan makanan: beriyani kambing untuk Ziyad, beriyani ikan untuk Abdul Latif, ayam dua ketul dan fries untuk Shahbaz, chapati dan kari daging untuk Mishal, manakala aku sekadar beriyani ayam. Alang-alang datang ke Samosa Village, jangan lepaskan peluang untuk merasai samosanya yang memang lazat dan penuh dengan daging, tidak seperti sebahagian pembuat samosa yang suka memperbanyakkan sayur dan mengurangkan daging.

Ada sesuatu yang menarik tatkala Abdul Latif memesan 10 samosa untuk kami. Tuan pengusaha restoran terkejut, lantas menasihatkan Abdul Latif bahawa tidak mungkin kami boleh menghabiskan 10 samosa dan makanan yang telah dipesan. Katanya, dia mengusahakan restoran bukan semata-mata untuk duit, sebaliknya biarlah pelanggan tidak membazir makanan. Dengan nada tegas, dia mencadangkan agar setiap seorang dari kami hanya mengambil sekeping samosa.

Tatkala makanan tiba, tauke restoran turut makan bersama kami dan bersembang. Lagi satu yang menarik, apabila Shahbaz kelihatan tidak mampu menghabiskan dua ketul ayam yang dipesan, tauke restoran lantas menegur Shahbaz agar menghabiskan makanan kerana membazir adalah perkara yang tidak baik. Sekiranya dia tahu dia tidak mampu menghabiskannya, maka awal-awal lagi dia sepatutnya memesan seketul ayam sahaja. Alhamdulillah, akhirnya Shahbaz berjaya juga menghabiskan makanannya.

Abdul Latif dengan suka hati membayar ongkos makan malam tersebut.

"Akala to'amakumul abrar, wa sollat 'alaykumul mala'ikah, wa aftara 'indakumus so'imun."

"Telah makan makanan yang kamu sediakan orang yang baik-baik, dan para malaikat berselawat ke atas kamu, dan telah berbuka puasa denganmu orang-orang yang berpuasa."

"...but they don't have a Muslim prayer room!"

McGill University pada asalnya termasuk dalam senarai tempat yang mungkin akan kupohon untuk melanjutkan pengajian dalam bidang PhD dalam Economics. Seperti biasa, nasihat rakan-rakan dapat membantu kita membuat sesuatu keputusan.

Tatkala aku menunjukkan borang permohonan yang lengkap diisi kepada Mishal, lantas beliau nampak kurang bersetuju. Memang aku tahu walaupun McGill memiliki status yang gah dan terkenal, tetapi dalam pengajian ekonomi standard McGill dan Carleton hampir sama. Ingatkan itu adalah sebab mengapa Mishal kurang setuju, tetapi rupa-rupanya ada sebab lain kenapa dia tidak menyukai McGill. Antara sebab lain aku ingin memohon McGill ialah kerana penerbangan dari Kuala Lumpur ke Montreal hanya perlu singgah satu transit, tidak seperti Ottawa yang perlu singgah dua transit.

Katanya, dia pernah mendapatkan nasihat orang-orang agama mengenai McGill, dan kebanyakan mereka memuji Allah kerana Mishal berada di Ottawa dan bukannya di Montreal. Menurut mereka, Montreal adalah antara tempat fitnah yang dahsyat. Masyarakat Islam di sana tidaklah sekomited masyarakat Islam di bandar-bandar lain seperti Ottawa dan Toronto. Dasar diskriminasi di sana juga kuat, di mana McGill sendiri tidak ada surau bagi para pelajar Islam berkumpul dan solat. Dahulu ada, tetapi disebabkan tentangan hebat oleh pendokong idea sekularisme, maka Muslim Student Association McGill terpaksa akur dengan keputusan pentadbir universiti untuk menutup surau.

Wallahu a'lam, inilah cerita dari mulut Mishal sendiri. Kemudian Zhenjiang masuk dan melihat borang permohonan McGill di tanganku.

"I can see that you are applying to McGill for PhD."

"No, I changed my mind."

"Why? McGill is good in Econometrics."

"Yea, but they don't have a Muslim prayer room like Carleton."

Macam bodoh saja alasan yang kuberikan. Tapi itulah hakikatnya. Pada pandanganku, sebaik mana sekalipun status sesebuah universiti, andai aku terpaksa mengurangkan agamaku, baiklah tak payah. Carleton sendiri sudah cukup baik. Pada sebahagian orang, surau mungkin sekadar tempat solat, tetapi bagiku ia lebih dari itu. Surau adalah pusat bagi pelajar-pelajar Islam menjaga agama mereka bersama-sama di samping mengeratkan ukhuwwah. Kewujudan surau seakan memberi kekuatan bagiku untuk sentiasa menjaga iman di rantau orang. Ia seakan-akan memberi suatu motivasi agar aku dapat bersaing secara sihat bersama-sama saudara-saudara seIslam dalam mengejar keredhaan Allah dan kebahagiaan Akhirat tatkala aku sering dilupakan dan dilalaikan dengan dunia. Tanpa adanya surau, mungkin sukar bagiku untuk istiqamah...

Selamat tinggal McGill. Kita berpisah sebelum sempat kita bertemu.

Sunday, January 13, 2008

KUL-MNL-YVR-YOW

Alhamdulillah, perjalanan selama 25 jam dari Kuala Lumpur ke Ottawa selesai juga, walaupun berdepan sedikit masalah di Manila disebabkan pertukaran terminal. Berlepas dari Kuala Lumpur pada 12 Januari 2008 pukul 10:15 pagi, dan tiba di Ottawa pada hari sama pukul 11:05 malam. Philippines Airlines tidak menyediakan makanan MOML seperti dipinta, namun alhamdulillah menu ikan ada. Lagi pula, ayam dan daging hidangan mereka tidak mungkin bermasalah bagi orang Islam kerana Filipina adalah negara Kristian Katolik, maka sudah pasti makanan mereka termasuk dalam kategori makanan ahlul kitab yang boleh dimakan oleh orang Islam. Sepanjang penerbangan juga skrin senantiasa menunjukkan arah Qiblah. Pun begitu, saya lebih gemar untuk bertayammum dari tempat duduk dan solat di tempat duduk juga. Manakala di Vancouver seperti biasa urusan imigresen dan kastam berjalan dengan lancar dan pantas.

Tiba sahaja di Ottawa, lega melihat rakan-rakan telah sedia menanti. Tambah pula ada yang memasak dan menyediakan makanan. Terima kasih daun keladi. Maklumlah, perjalanan jauh seperti ini memang meletihkan, tambah pula polisi Air Canada yang tidak menyediakan makanan untuk penerbangan domestik.

Sayu juga di hati kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta, namun inilah pengorbanan menuntut ilmu. Semoga diberkati Allah.

Nota: Transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila (MNL) melecehkan sekiranya berlaku pertukaran pesawat dengan Philippines Airlines maka penumpang perlu melalui urusan imigresen dan kastam, kemudian mengambil luggage dan naik coaster dari Terminal 1 ke Terminal 2, dan kemudian daftar masuk dan melalui urusan imigresen dan kastam sebelum masuk ke ruang menunggu. Pemeriksaan keselamatan juga remeh, terpaksa buka tali pinggang dan kasut dua kali sebelum ke ruang menunggu. Tak nak dah transit di Manila.

Wednesday, January 09, 2008

Solat Jumaat sebelum Zuhur?

Isu:

Para pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke negara yang mengalami empat musim akan mendapati waktu solat yang berbeza-beza sepanjang tahun. Untuk Solat Jumaat, kebiasaannya para pelajar terpaksa menunaikannya di universiti kerana kesuntukan masa untuk ke masjid. Seperti di Carleton, Muslim Students Association menempah gymnasium. Tempahan dibuat mengikut waktu yang tetap untuk setahun, seperti dari pukul 12:30 tengahari sehingga 2:00 petang, sehingga ada masanya Solat Jumaat akan selesai sebelum masuknya waktu Zuhur ketika musim panas. Bolehkah Solat Jumaat didirikan sebelum waktu Zuhur?

Teori:

Waktu Solat Jumaat

1) Boleh Solat Jumaat sebelum tergelincir matahari. Ini pendapat al-Imam Ahmad ibn Hanbal rahimahullah.

2)Waktu Solat Jumaat ialah waktu Solat Zuhur, iaitu setelah matahari tergelincir ke barat dan tidak boleh sebelumnya. Ini pendapat majoriti 'ulama.

Sebab berlakunya khilaf:

Khilaf dalam memahami hadith mengenai perbuatan mempercepatkan atau mengawalkan Solat Jumaat.

Contoh 1: Daripada Sahl ibn Sa'd radiyallahu 'anhu katanya:
"Kami tidak makan tengahari atau tidur qaylulah (tidur sebentar di siang hari) pada zaman Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam melainkan setelah selesai Solat Jumaat."
[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Tirmidhi]

Contoh 2: Diriwayatkan bahawa mereka menunaikan Solat Jumaat dan bersurai dan bayang-bayang mereka tidak kelihatan pada dinding (menunjukkan seolah-olah matahari masih tegak di atas kepala kerana tiada bayang-bayang pada dinding)

[Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud & al-Nasa'ie]

Mereka yang mengatakan waktu Solat Jumaat boleh didirikan sebelum tergelincir matahari menyatakan bahawa hadith-hadith ini menunjukkan Solat Jumaat pada zaman Nabi sallallahu 'alayhi wasallam ada didirikan sebelum tergelincir matahari.

Mereka yang mengatakan tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur pula faham bahawa hadith-hadith ini sekadar menunjukkan Solat Jumaat ini diselesaikan pada awal waktu Zuhur. Lagi pula pemahaman golongan pertama seolah-olah bertentangan dengan hadith Anas ibn Malik radiyallahu 'anhu:
"Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alayhi wasallam mendirikan Solat Jumaat tatkala
matahari condong."
[Riwayat al-Bukhariy, Abu Dawud & al-Tirmidhi]

Hadith-hadith sebelumnya sekadar menceritakan keadaan situasi setelah selesainya Solat Jumaat, sedangkan hadith Anas ini menyebut secara jelas dan terang mengenai waktu Solat Jumaat. Pun begitu, golongan pertama boleh mengatakan pula bahawa pemahaman mereka tidak bertentangan dengan hadith Anas kerana hadith Anas cuma menyebut waktu dengan jelas tanpa ada suruhan atau larangan padanya.

Golongan kedua turut berhujjah bahawa oleh kerana Solat Jumaat adalah ganti kepada Solat Zuhur pada hari Jumaat, maka hendaklah Solat Jumaat didirikan pada waktu Zuhur juga. Golongan pertama pula berhujjah bahawa oleh kerana hari Jumaat adalah hari raya, maka Solat Jumaat boleh didirikan dalam batas waktu Solat Eid.



Penyelesaian:

Sekiranya kita bandingkan pula dengan pendapat 'ulama kontemporari, hampir kesemuanya berpendapat tidak boleh Solat Jumaat sebelum waktu Zuhur. Saya sendiri cenderung dengan pendapat majoriti. Memandangkan pendapat ini mungkin menyebabkan kesusahan di kalangan pelajar yang perlu menghadiri kuliah, maka ada sesetengah 'ulama memberi keringanan berdalilkan hadith Abu Hurayrah radiyallahu 'anhu yang masyhur daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam:
"...Apa yang aku perintahkan kamu maka laksanakannya semampu yang mungkin..."
[Riwayat al-Bukhariy & Muslim]

Bagi diri saya sendiri, sekiranya tiada apa-apa urusan di universiti pada hari Jumaat tersebut, maka saya sepatutnya pergi menunaikan Solat Jumaat di masjid yang mendirikan Solat Jumaat pada waktu Zuhur. Andainya ada urusan di kampus pada hari Jumaat tersebut, maka saya akan menyertai rakan-rakan menunaikan Solat Jumaat di gymnasium. Lagipun, penyelesaian ini hanya akan menjadi praktikal pada musim panas, iaitu apabila waktu Zuhur terlalu lewat...

Jauhi Pertelingkahan Dalam Persoalan Khilaf


إن مسائل الخلاف في الفروع لا يعبغي أن تكون مثار فتن وشقاق وتنازع والأفضل بحث المسائل في جو ودي علمي فما وصل منه أهل العلم إلى اتفاق فذاك وما اختلفوا فيه فلا ينكر بعضُهم على بعض ويعادي بعضهم بعضا وإنما الواجب أن يعذر بعضهم بعض بما وصل إليه المخالف من الإجتهاد فإن العداوة والبغضاء هو سبب تعريض كلمة المسلمين وتشتيت أمرهم وضعف شأنهم حتى أصبحوا ممزقين قد تسلط عليهم أعداؤهم فاستباحوا بلادهم وأضعفوا كيانهم وصار المسلمون لهم أتباعا وفيما بينهم أحزابا فإن لله وإنا إليه راجعون

Maksudnya: “Sesungguhnya permasaalahan-permasaalahan khilaf dalam perkara-perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab timbulnya fitnah, perpecahan dan pertelagahan, yang lebih utama adalah mengkajinya dalam suasana semangat ilmu, maka apa yang disepakati oleh Ahli Ilmu maka itulah yang diambil, dan apa yang mereka berbeza pendapat, maka sebagian orang jangan mengingkari sebahagian yang lain, sebaliknya yang sewajarnya ialah saling memaafkan antara sebahagian dengan sebahagian yang lain, ini kerana permusuhan dan persengketaan merupakan sebab kepada menjauhkan kesatuan umat Islam dan memecah-belahkan urusan mereka, melemahkan keadaan mereka, sehingga menjadi musnah, sesungguhnya demikian itu menyebabkan musuh-musuh mereka menguasai ke atas mereka dan merampas negara mereka dan melemahkan entiti mereka, maka jadilah kaum muslimin pengikut-pengikut kepada musuh-musuh mereka dan sesama mereka wujudnya berbagai-bagai parti atau puak, Inna lillaahi wa inna ilaihi raji’uun.” (al-Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam, Taudhi al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/80)

*Dipetik dari Laman Web Institut al-Qayyim. Terima kasih buat Ustaz Mohamad Abdul Kadir Sahak. Moga menjadi nasihat berguna buat kita semua, insya-Allah.

Monday, January 07, 2008

Lewat Solat Jumaat sehingga terlepas rukuk bersama Imam pada rakaat kedua


Isu
Terlewat hadir Solat Jumaat, hanya sempat join imam setelah imam mengangkat kepada daripada rukuk pada rakaat kedua. Adakah hanya perlu Solat Jumaat (2 rakaat), atau Solat Zuhur (4 rakaat)?
a
Teori
Sesiapa yang sempat join ketika imam sedang rukuk pada rakaat kedua Solat Jumaat atau sebelumnya, tidak syak lagi ia telah mendapat Solat Jumaat berdasarkan hadith berikut:

“Apabila seseorang diantara kamu datang (untuk) solat sewaktu kami sujud, hendaklah ikut sujud dan janganlah kamu hitung itu satu rakat. Barang siapa yang dapat rukuk bersama imam, maka ia telah mendapat satu rakaat.”
[Riwayat Abu Dawud]
Dan sesiapa yang mendapat satu rakaat, dia telah mendapat solat tersebut secara keseluruhannya berdasarkan hadith berikut:
“Sesiapa yang dapat satu rakaat dari solat, maka dia telah mendapat solat itu.”
[Riwayat al-Bukhariy & Muslim]
Walau bagaimanapun, terdapat khilaf di kalangan 'ulama mengenai mereka yang terlepas daripada menyertai rukuk pada rakaat kedua ketika Solat Jumaat. Hadith yang diriwayatkan oleh 'Abdullah ibn 'Umar radiyallahu 'anhuma, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat bersama imam dalam Solat Jumaat atau mana-mana solat, maka tambahlah bilangan rakaat dan telah sempurna solatnya.”
[Riwayat al-Nasa’ie]

Berdasarkan hadith di atas, sesiapa yang mendapat sekurang-kurangnya satu rakaat bersama imam, maka dia dikira mendapat solat tersebut. Berdasarkan hadith pertama di atas pula, untuk mendapat satu rakaat, sekurang-kurangnya seseorang itu mesti sempat rukuk bersama imam. Jadi seseorang yang terlepas dari rukuk pada rakaat kedua Solat Jumaat telah terlepas dari mendapatkan Solat Jumaat. Antara 'ulama yang berpendapat golongan ini tidak mendapat Solat Jumaat sebaliknya perlu menunaikan Solat Zuhur ialah para 'ulama Mazhab al-Syafi'e, al-Imam Malik, al-Imam al-Auza'ie, al-Imam Sufyan al-Tsauri, al-Imam Abu Yusuf dan al-Imam Ahmad.
aa
Merujuk kepada satu lagi pendapat, sesiapa yang hatta sempat menyertai imam ketika tasyahhud akhir tetap dikira mendapat Solat Jumaat. Sabda Nabi sallallahu 'alayhi wasallam:

“Jika solat itu telah didirikan, pergilah (kamu untuk menunaikannya) dan hendaklah kamu bertenang. Apa (rakaat) yang kamu masih berpeluang untuk menunaikannya, lakukanlah (solat tersebut) dan apa (rakaat) yang kamu telah tertinggal daripadanya, hendaklah kamu sempurnakan kemudian.”
[Riwayat al-Bukhariy dan Muslim]

Daripada hadith ini, lafaz yang digunakan bersifat umum di mana kita diperintahkan agar jangan tergesa-gesa menunaikan solat sebaliknya hendaklah bertenang ketika menyertai jamaah. Kadangkala kita dapat menyaksikan sebahagian sahabat kita yang tergopoh-gapah, bahkan ada yang berlari semata-mata kerana hendak mengejar solat sedangkan ia perbuatan yang ditegah. Apabila kita telah menyertai jamaah, maka sempurnakan apa yang telah ktia tertinggal sehingga sempurna solat kita. Maka begitu juga untuk Solat Jumaat, dan hadith kedua tadi tidak pula menyebut bahawa mereka yang tidak mendapat satu rakaat tidak mendapat solat.

Antara 'ulama yang berpendapat golongan ini hanya perlu menambah dua rakaat (iaitu menunaikan Solat Jumaat) ialah al-Imam Abu Hanifah dan Mazhab al-Zahiri.

Praktik
Sesiapa yang suka dengan pendapat golongan pertama, tunaikan empat rakaat. Saya lebih cenderung dengan pendapat golongan kedua yang menyatakan golongan ini sekadar perlu menambah dua rakaat berdasarkan perbincangan yang telah disebutkan. Ini sekadar pandangan saya... Anda bebas membuat pandangan sendiri.

Friday, January 04, 2008

Industri Pelancongan Negara: Antara Demonstrasi Jalanan dan Hak Asasi Penginap Hotel

Ada diwarwarkan sesetengah pihak, bahawa demonstrasi jalanan akan menyebabkan bilangan pelancong asing berkurangan. Dakwaan ini ada juga kebenarannya jika kita perhatikan, apatah lagi jika demonstrasi jalanan dicemari pula dengan unsur-unsur keganasan. Apabila ada demonstrasi jalanan, biasanya orang ramai yang neutral akan terselit perasaan takut di sanubari mereka. Kedai-kedai ditutup, jadi industri pelancongan akan menerima padah.

Tapi bila pendedahan terbaru mengenai kes rakaman hubungan seks yang melibatkan tokoh politik negara di sebuah hotel tempatan, rasanya ini akan lebih merisaukan pelancong asing dari datang. Hak privasi keluarga mungkin tidak dapat dijamin. Itu pun terpulang pada pandangan para pelancong, andai kes ini dianggap kes terpencil mungkin mereka tak kisah. Bagi yang kisah, mungkin pihak bertanggungjawab perlu pulihkan keyakinan mereka.