Dalam keadaan kacau-bilau di Perak, eloklah jika kita melihat setiap perkara yang berlaku dan tindakan yang akan kita ambil dari kaca mata agama. Krisis politik kini menjadi fitnah yang besar.
Apabila terdapat dua pihak dari kalangan Islam yang bertelagah, maka seharusnya kita cuba mendamaikan mereka. Ini selaras dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[Surah al-Hujurat, 49:9]
Maka pertelagahan di antara dua parti politik, yang diketuai oleh orang Islam, sepatutnya didamaikan oleh umat Islam lain. Bukannya terus menuang minyak ke atas api yang sedang marak.
Menurut ayat ini, perdamaian mungkin tidak akan dicapai sekiranya ada di antara pihak bertelagah yang melampau. Apabila ada pihak yang melampau, maka kita diperintah untuk melawan mereka sehingga mereka kembali patuh kepada ajaran Islam. Dalam situasi yang berlaku di Perak, nampaknya keadaan adalah masih samar kepada kebanyakan rakyat disebabkan masalah perundangan yang rumit. Persoalan kuasa prerogatif Sultan untuk menitahkan Menteri Besar meletak jawatan setelah didapati beliau hilang kepercayaan majoriti ADUN di luar Dewan Undanga Negeri, keabsahan penubuhan kerajaan negeri yang baru tatkala kerajaan negeri asal masih belum meletakkan jawatan, pertikaian status kerusi DUN yang telah diisytihar kosong oleh Speaker Dewan menggunakan surat yang ditandatangani selepas 8 Mac 2008 tanpa tarikh.
Dalam usaha mencari pihak mana yang telah melampau, kita mesti memiliki maklumat dan bukti kukuh yang menunjukkan pihak tersebut benar-benar telah melampaui batas sebelum mereka diperangi. Firman Allah di dalam surah yang sama:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
[Surah al-Hujurat, 49:6]
Disebabkan masalah perundangan yang rumit, pastinya maklumat dan bukti sedia ada kurang jelas. Oleh itu, masih belum dapat dipastikan pihak mana yang telah melampau, dan pihak mana yang berada bersama kebenaran. Oleh itu, krisis politik di Perak telah menjadi suatu fitnah yang besar. Masing-masing BN dan PR mendakwa kebenaran berada bersama mereka. Pakar-pakar perundangan pula telah memberi reaksi yang berbeza. Oleh itu, akibat kesamaran yang melanda, eloklah bagi umat Islam agar berada dalam keadaan tenang dan sabar, sambil berdoa memohon agar kebenaran segera datang.
Mungkin hadith berikut dapat dijadikan renungan:
Akan terjadi fitnah di mana orang yang duduk (menghindar dari fitnah itu) lebih baik daripada yang berdiri dan orang yang berdiri lebih baik daripada yang berjalan dan orang yang berjalan lebih baik daripada yang berlari (yang terlibat dalam fitnah). Orang yang mendekatinya akan dibinasakan. Barang siapa yang mendapatkan tempat berlindung darinya, hendaklah ia berlindung.
[Hadith riwayat Muslim]
Memandangkan keadaan masih samar, eloklah kita mendiamkan diri dahulu daripada terus berkata-kata tanpa maklumat yang jelas. Tuduh menuduh dan pertikaman lidah di antara pihak bertelagah tidak akan berakhir kerana masing-masing menuntut hak dan kebenaran. Biar mahkamah putuskan siapa benar dan siapa salah. Janganlah kita lupa akan hadith berikut:
Sekiranya kamu berkelahi di hadapanku. Boleh jadi sebahagian dari kamu lebih pandai mengemukakan alasannya dari yang lain, maka aku akan memutuskan mengikut apa yang telah aku dengari. Oleh sebab itu, sesiapa yang telah aku berikan sebahagian dari hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya. Kerana sesungguhnya apa yang aku berikan kepadanya itu, tidak lain hanyalah sepotong api Neraka.
[Hadith riwayat Muslim]
Hakim yang zalim pastinya diancam dengan siksa yang berat di Akhirat. Jika hakim berlaku adil, namun pihak bertelagah yang zalim pandai berhujjah, maka di Akhirat tetap diancam dengan siksa yang berat.
Lembaran sejarah umat Islam juga boleh dijadikan panduan. Apabila pertelagahan berlaku dan bukti kebenaran masih samar, eloklah kita diam dahulu. Namun, setelah bukti jelas menunjukkan berlakunya kezaliman, maka hendaklah kita perangi pihak yang zalim sehingga mereka kembali patuh kepada kebenaran.
Tindakan terus berdiam diri tanpa menuntut hak adalah perbuatan pengecut. Kita mesti berani menuntut hak kita dan membela keadilan. Cuma, pastikan dalam usaha membela keadilan dan proses menuntut hak tidak membawa kerosakan yang lebih besar, seperti negara menjadi kucar-kacir, rakyat hidup dalam kepayahan, berlaku tumpah darah insan-insan yang tidak berdosa dan lain-lain. Kita memang dituntut agar mempertahankan hak kita, tetapi sekiranya perbuatan tersebut mengakibatkan kerosakan yang lebih besar, eloklah kita sabar menunggu dan menyusun strategi sambil berdoa kepada Allah. Jangan lupa firman Allah:
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.
[Surah al-Baqarah, 2:153]
Maka sabar dan solat itu kunci penerimaan doa. Bukankah doa orang yang dizalimi itu tersangatlah mustajab?
Allah selamatkan Perak. Allah selamatkan Malaysia.
No comments:
Post a Comment