Senario politik Negeri Perak semakin meruncing. Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dikatakan telah hilang majoriti akibat empat ADUN dari PR keluar parti, seorang masuk semula ke dalam UMNO dan tiga lagi menjadi wakil bebas tetapi menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan baru. Nampaknya, kerajaan PR benar-benar telah kehilangan majoriti.
Cuma yang masih dipertikaikan ialah majoriti tersebut membabitkan status tiga ADUN yang masih samar. Speaker DUN Negeri Perak sudah mengisytiharkan kekosongan kerusi-kerusi DUN terbabit setelah menerima surat perletakan jawatan yang telah ditandatangani pada Mac 2008. Kemudian, ketiga-tiga ADUN ini memberitahu bahawa mereka dipaksa menandatangani surat tersebut selepas pilihanraya umum lalu. Oleh itu, surat tersebut tidak sah. Lantas mereka menafikan bahawa mereka telah meletakkan jawatan sebagai ADUN.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak pula tidak memperkenankan DUN dibubarkan, malah menitah agar YAB Menteri Besar meletakkan jawatan setelah baginda mendapati kerajaan PR tidak lagi mendapat majoriti. Kemelut bertambah apabila Menteri Besar enggan melepaskan jawatan.
Pelbagai pendapat dilontarkan, dan bermacam tafsiran terhadap Undang-undang Tubuh Negeri Perak dibuat. Dalam isu ini, biarlah pakar undang-undang meneliti Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menyemak sama ada perubahan kerajaan yang sedang berlaku sah atau tidak. Adakah perubahan kerajaan perlu menunggu keputusan mahkamah mengenai status ketiga-tiga kerusi DUN yang telah diisytiharkan kosong?
Pendapat peribadi, memandangkan keadaan yang sangat samar dan tegang, eloklah sekiranya DUN dibubarkan sahaja. Biarlah rakyat membuat pilihan kerajaan baru.
Mungkin segala yang berlaku adalah akibat kelemahan sistem demokrasi sedia ada. Seandainya DUN Perak dibubarkan dan pilihanraya baru diadakan, kerajaan baru juga masih terancam sekiranya berlaku insiden lompat melompat lagi.
Dalam keadaan yang kacau-bilau ini, yang penting biarlah hak rakyat terbela.
No comments:
Post a Comment