Bangun Pagi Gosok Gigi
C Cuci Muka Terus Mandi
Pakai Baju Minum Susu
C Salam Ayah Dan Ibu
Azam saya ialah untuk senantiasa membersihkan gigi sebagai memenuhi tuntutan sunnah dan menjaga kesihatan gigi!
Bersiwak atau bersugi. Dalam bahasa moden disebut gosok gigi atau berus gigi di Malaysia dan sikat gigi di Indonesia. Jika zaman dahulu kayu sugi digunakan, pada zaman kini ubat gigi atau pasta gigi lebih popular.
Bersiwak sangat dituntut dalam Islam, terutama ketika berwuduk dan hendak menunaikan solat. Disebut dalam hadith-hadith yang masyhur yang sahih bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam hampir-hampir mewajibkan perintah bersiwak kepada umatnya ketika berwuduk dan solat. Cuma disebabkan sifat baginda yang tidak mahu menyusahkan umat maka baginda tidak jadi mewajibkannya. Maka bersiwak sangat-sangat dituntut ketika wuduk dan solat. (Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Ahmad dan lain-lain)
Bersiwak juga dituntut ketika hendak membaca al-Quran. Diriwayatkan dalam hadith bahawa apabila seseorang itu bangun untuk menunaikan solat, akan datang malaikat berdiri di belakangnya mendengar bacaan al-Quran dan menghampirinya, begitu hampir sehinggalah malaikat itu meletakkan mulutnya di atas mulut orang itu. Maka orang itu akan membaca al-Quran dari dalam malaikat. (Riwayat al-Bayhaqi, sahih lighayrihi menurut al-Albaniy)
Begitu juga tatkala masuk ke dalam rumah. Diriwayatkan ‘A’isyah radiyallahu ‘anha pernah ditanya mengenai perkara pertama yang dilakukan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam apabila baginda masuk ke dalam rumah, dan jawapannya ialah bersiwak. (Riwayat Muslim).
Bersiwak dituntut apabila seseorang itu bangun dari tidur untuk solat malam. Daripada Huzayfah radiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam apabila bangun untuk solat malam baginda akan bersiwak. (Muttafaqun ‘alayhi).
Mudah-mudahan dapat dipraktikkan bersama. Maryam dan Aiman, gigi dah ada, bila nak mula bersiwak ni?